TIDAK PEDULI...sebuah bas menunggu penumpang walaupun terdapat papan tanda larangan.
SESAK...deretan bas di kawasan terbabit menyulitkan pemandu lain.
KAJANG: Sikap pemandu bas serta teksi meletakkan kenderaan mereka di jalan sehala di bandar ini menyulitkan orang ramai dan pemandu lain untuk melalui jalan terbabit.
Kedegilan pemandu terbabit yang menunggu penumpang di bahu jalan berhadapan pasar raya Billion sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit disifatkan melampaui batas walaupun terdapat papan tanda melarang perbuatan terbabit.
Larangan pada papan tanda oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengarahkan bas tidak dibenarkan menunggu kecuali menaik dan menurunkan penumpang selain teksi tidak dibenarkan mengambil dan menurun penumpang di kawasan itu tidak dihiraukan pemandu terbabit.
Tinjauan Metroplus mendapati lebih enam bas dan teksi diletakkan sepanjang bahu jalan terbabit sehingga kesesakan menjadi semakin serius apabila bas yang menurunkan penumpang terpaksa berhenti di laluan jalan yang penuh dengan kenderaan lain hingga membahayakan nyawa penumpang yang turun dari bas.
Pemandu, Muzaffar Abd Salam, 30, berkata pihak berkuasa terutama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis trafik perlu mengambil tindakan tegas terhadap pemandu yang melakukan kesalahan itu bagi memastikan perbuatan mereka tidak menyulitkan orang ramai. Katanya, pemandu bas sepatutnya tidak boleh memberhentikan kenderaan mereka terlalu lama di situ kerana ia dikhaskan untuk menurunkan dan mengambil penumpang. “Pemandu terbabit pula menunggu sehingga penumpang bas penuh baru mereka memulakan perjalanan,” katanya. Penunggang motosikal, Shahrul Ahmad, 29, berkata ramai pemandu tidak mempedulikan papan tanda melarang teksi mengambil dan menurunkan penumpang di situ sehingga membahayakan nyawa penunggang motosikal.
“Pemandu teksi tidak sepatutnya menurunkan penumpang di kawasan terbabit apatah lagi menunggu penumpang. Ini kerana perbuatan itu boleh menyebabkan kemalangan antara teksi atau bas yang ingin keluar ke laluan jalan dengan pemandu lain yang berasak-asak melalui jalan berkenaan.
“Selain itu, kedudukan kenderaan bas dan teksi di situ juga melindungi pemandu lain yang menggunakan jalan berkenaan,” tambahnya. Pemilik kedai di kawasan terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Wah Meng, 60, berkata masalah pemandu bas awam meletakkan kenderaan di situ terlalu lama bukan perkara baru dan pihak berkuasa tidak seharusnya membiarkan kesalahan itu berlarutan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: