KATAKAN apa saja kepada penyanyi berusia 13 tahun ini, yang nyata dia sudah pun mencipta popularitinya sendiri dalam dunia muzik. Biarpun dikecam hebat apabila muncul bersama single sulung berjudul Friday, Rebecca Black pantas menjadi sensasi Internet. Percaturannya meraih kemasyhuran segera di laman YouTube menerusi lagu itu amat menjadi.Tidak hairan namanya berada dalam senarai Top 10 apabila kerap dicari peminat menerusi Google dalam tempoh seminggu, awal April lalu. Turut disenaraikan ialah Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 dan Akademi Fantasia musim kesembilan.
Black mengikuti deretan artis lain, contohnya Justin Bieber, Yuna dan Ana Raffali yang menggunakan medium laman maya untuk berkongsi bakat yang ada. Tuah memang menyebelahinya, namun Black diminati dalam sisi yang berbeza.
Dianggap tidak berbakat, Black tetap yakin diri untuk meneruskan minatnya sebagai penyanyi. Ramai yang menyifatkan lagu Friday sebagai lagu paling terburuk pernah ada di muka bumi ini. Gara-gara lagu itu juga Black menerima ancaman bunuh melalui emel dan talian telefon sejak Februari lalu.
“Nyanyian menjadi keghairahan saya. Saya suka dan mencintai bidang ini. Pada 2008 dan 2009, saya membabitkan diri dalam pementasan teater untuk kem musim panas. Ia permulaan untuk saya terus memacu minat dalam bidang ini.
“Dunia yang saya lalui ini sesuatu yang baru untuk saya. Bagaimanapun sekarang saya berasakan dunia nyanyian semakin dekat di hati. Apa yang saya mahu lakukan adalah untuk menyanyi dan terus menyanyi. Dulu pun saya selalu menyanyi di bilik mandi. Sekarang, saya boleh menyanyi di mana-mana saja,” kata yang pernah menyertai beberapa program pencarian bakat.
Penyanyi remaja ini merealisasikan cita-citanya sebagai penyanyi menerusi rekod label ARK Music Factory. Kerjayanya bermula sekitar hujung 2010 apabila rakan sekelasnya mula bercerita mengenai syarikat rakaman itu. Rentetan itu, ibu Black sanggup membayar sejumlah wang kepada ARK Music untuk menerbitkan lagu Friday.
Selain lagu, turut dirakamkan ialah klip video. Selain YouTube, lagu itu juga dijual di iTunes. Bulan pertama lagu itu dimuat naik di YouTube, ia ditonton 1,000 orang.
Billboard menganggarkan sekitar 40,000 unit lagu Friday terjual sewaktu minggu pertama ia dilancarkan bermula 22 Mac lalu. Lucunya lagu itu juga memanjat carta Billboard Hot 100 dan carta lagu single di New Zealand, masing-masing di tangga 58 dan 33.
Bermula 25 Mac lalu juga, Black mula mendapatkan khidmat pegawai seranta dan pengurus. Pengurusnya juga sudah mengesahkan ada penulis lagu dan rekod label yang berminat untuk bekerjasama menghasilkan album penuh untuk Black.
“Lagu saya selepas Friday diberi judul LOL, yang akan dijadikan single terbaru untuk album sulung,” katanya kepada satu temubual yang diadakan sebuah akhbar.
Namun beberapa minggu selepas itu, menerusi laman Twitter miliknya, Black memberitahu bahawa tiada lagu berjudul LOL seperti kenyataannya di dalam akhbar itu. Hakikatnya, memang tiada single terbaru seperti yang dikhabarkan akan dihasilkannya. Apakah kenyataan Black dan pengurusnya sebelum ini hanya propaganda semata-mata?
Laporan di Internet pernah menyebut, Black sudah mula menyedari kerjaya nyanyian dan lagu Friday yang mula ‘menghantui’ hidup orang yang membencinya hanya akan kekal di laman maya. Bererti, impiannya untuk bergelar penyanyi komersial mempunyai kemungkinan untuk berkubur saja.
“Setiap masa orang memperkatakan mengenai lagu ini. Ia terus melekat dalam kepala saya. Ada masanya ia juga cukup meloyakan saya. Lagu itu sebenarnya menjadi bahan usikan yang akhirnya menghantui hidup saya untuk tahun mendatang,” katanya yang pernah membuat penampilan istimewa dalam program bual bicara bersama Jay Leno, Mac lalu.
Info Rebecca Black
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: