Saturday, May 14, 2011

Perginya sekuntum bunga

Industri seni kehilangan seorang lagi bintang tersohor, Datin Orchid Abdullah, yang telah pergi ke rahmatullah, tengah hari semalam.
Seniwati ini telah tiga tahun menderita penyakit tumor atau ‘paraganglioma.’

Mengimbau sejarah seninya, Allahyarhamah mula dikenali menerusi lagi lagu Seruan Kasih, pada era 60an.

Berbekalkan wajah Pan Asian, Orchid Abdullah, mudah meraih populariti, seiring dengan keharuman sekuntum bunga.

Lagu Penawar Kasih menaikkan namanya dengan mudah malah menjadi sebutan ramai peminat.

Pernah menjadi vokalis untuk kumpulan Les Coaster, Allahyarhamah cukup mahir mendendangkan lagu-lagu berentak langgam, pop yeh yeh dan ghazal.

Bernaung di bawah syarikat EMI Singapura, Orchid, pernah muncul dengan tujuh buah album.

Walaupun tidak pernah menerima sebarang anugerah di zaman kegemilangannya, namun Orchid mempunyai aura yang cukup luar biasa kerana sering menjadi artis pilihan istana.

Sepanjang hayatnya, Orchid pernah menerima Anugerah Seniman Veteran menerusi Anugerah Bintang Popular 2003 (ABP2003).


Guru dan nyanyian seiring


Ramai yang mengetahui, sebelum bergelar anak seni, Orchid merupakan seorang guru.

Bertugas sebagai guru sementara di Sekolah Sri Mersing, ia tidak mematahkan minatnya dalam bidang seni suara.

Meneruskan pengajian di sebuah Maktab Perguruan di Johor, Orchid tetap aktif dalam aktiviti kesenian di kawasan tempat tinggalnya di sekitar Johor.

Namun, kerana komitmennya pada perguruan, Orchid berhenti menyanyi buat seketika.

Wanita berdarah campuran Arab-Inggeris ini hanya memenuhi tuntutan minatnya pada musim cuti sekolah.

Selepas tamat pengajian dan bergelar guru barulah Orchid berani untuk menyanyi semula.

Ada cerita yang mengatakan, Orchid pernah membuat sesi latihan nyanyian di sekolah lain.

Namun ia seiring tanpa mengabaikan tanggungjawabnya terhadap kerjaya sebagai guru.

Biarpun sudah glamor, tidak terlintas di hatinya untuk meninggalkan kerjayanya itu malah tetap menabur bakti sehingga bersara.


Tidak minat berlakon


Berjaya sebagai guru dan penyanyi, Orchid menerima banyak tawaran untuk berlakon, namun kerana tidak punya kepercayaan dalam diri, Orchid tidak betah di pentas lakonan.

Percubaan pertama hanyalah berlaku untuk filem Ago Go ’67. Itu pun sekadar penyanyi kelab malam.

Sebuah lagi filem lakonannya adalah filem Merah arahan Datuk M Nasir. Menjadi ibu kepada Ziana Zain, Orchid menganggap tiada jiwa baginya sebagai pelakon.

Namun, keutamaannya adalah pada tanggungjawab rumah tangga. Berkahwin dengan Datuk Mokhtar Omar, 70, pasangan ini dikurniakan empat orang anaknya, Norshakina, 42, Mohd Nor Shareen, 39, Mohd Nor Shafri, 34 dan Nor Syafinaz, 31.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: