SEKIRANYA anda memasuki negeri Pahang, sama ada dari arah Kuala Lumpur, Kuantan, Mentakab, Triang mahupun Jerantut, pasti anda tidak akan terlepas pandang binaan replika ikan yang menjadi mercu tanda bandar berkenaan.
Selamat Datang ke Temerloh, Bandar Ikan Patin. Sapaan yang cukup jelas menyatakan betapa sinonimnya Temerloh dengan ikan patin.
“Kalau sudah sampai ke Temerloh tapi tak merasa keenakan ikan sungai, memang rugi, lebih-lebih lagi ikan patin yang cukup terkenal di sini,” ujar seorang penduduk tempatan, Razali Mohd. Noor, 62.
Razali yang ditemui di Pekan Sehari Temerloh turut memberitahu, Sungai Pahang bukan sahaja lokasi terbaik untuk menternak ikan patin sangkar, bahkan menjadi lubuk untuk pelbagai jenis ikan sungai.
“Di sini ada macam-macam jenis ikan sungai. Ada ikan kerai, gohok, kenerok, toman, temelian, tapah, belida, baung, juara, lampam, sebarau, sembilang, lais, seluang dan kaloi.
“Paling mudah ditemui ialah ikan patin. Patin pun ada banyak jenis. Patin sangkar lain dengan patin liar. Patin liar pula ada tiga jenis iaitu patin buah, patin emas dan patin muncung.
“Jika bernasib baik, ikan lain seperti jelawat, kelah merah, temperas, kelisa, tilan, pari dan buntal juga boleh dijumpai di pekan sehari ini,” jelasnya dalam loghat Melayu Pahang.
Menyusuri pekan sehari yang panjangnya melebihi satu kilometer itu, pelbagai gelagat manusia dapat dilihat.
Lokasinya sahaja yang terletak di tepi Sungai Pahang sudah cukup untuk membangkitkan rasa seronok menyelusuri pasar itu yang cuma dibuka pada hari Ahad.
Patin ori
Kunjungan Jurnal seawal pukul 6.30 pagi di tapak niaga tersebut sememangnya menjanjikan pengalaman baru.
Jika ditanya tentang keunikan pekan sehari ini, sudah tentu ia terletak pada kepelbagaian barangan yang dijual di sini.
Daripada pakaian, makanan produk kraf hingga ke sayuran kampung dan hasil sungai, semuanya kelihatan begitu mengujakan dan segar. Harganya pula sangat berpatutan.
|
|
Kemeriahan semakin memuncak sekitar pukul 8.30 pagi. Orang ramai berpusu-pusu mencari barangan dagangan untuk dibawa pulang. Kebanyakannya membawa troli kecil untuk keselesaan berjalan di sepanjang tapak niaga pekan sehari itu.
Tiba di bahagian menjual ikan sungai, suasananya lebih riuh, apatah lagi apabila ada peniaga yang menjual ikan patin liar.
“Ini ikan patin buah, ori ni dik. Baru dapat pagi tadi,” ujar seorang peniaga ikan yang namanya enggan dikenali.
Dianggap sebagai antara ikan eksotik yang mendiami Sungai Pahang, kebolehan untuk menaikkan seekor patin liar atau lebih dikenali sebagai patin ori dalam kalangan penduduk tempatan sememangnya memberi pulangan mewah buat si pengail.
“Susah nak dapat ikan patin yang ori. Sebab itu harganya mahal. Rasanya juga jauh beza dengan patin sangkar. Dagingnya lebih sedap dan manis,” tambah peniaga terbabit.
Biarpun ditawarkan pada harga RM90 sekilogram (kg), patin buah tetap mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri.
Menurut seorang penggemar ikan patin buah ori, Mahfuz Alias, 54, dia tidak akan melepaskan peluang untuk membeli ikan sungai itu sekiranya ada dijual di pekan sehari.
“Ikan ori jarang ada di pasar. Sebab itu kalau ada, saya memang tak lepaskan peluang untuk membelinya. Harganya memang agak mahal namun ia adalah pembelian yang sangat berbaloi.
“Rasanya memang sedap apatah lagi jika dimasak gulai tempoyak. Pendek kata, memang puas hati kalau dapat makan ikan patin ori,” katanya yang hampir setiap minggu mengunjungi pekan sehari terbabit.
Diet
Dalam keluarga patin liar, harga patin buah dianggap yang termurah jika dibandingkan dengan patin emas atau muncung.
Beberapa peniaga ikan di sekitar Temerloh, berkata harga ikan patin emas ialah sekitar RM170 sekilogram manakala patin muncung antara RM200 hingga RM250.
Keenakan ikan patin di Temerloh sering dikaitkan dengan Sungai Pahang yang sentiasa berarus.
Baik ikan sangkar atau ori, patin mahupun jenis-jenis ikan sungai yang lain, kelainan rasa ikan yang mendiami sungai terpanjang di Semenanjung ini sering dikatakan lebih manis berbanding ikan dari sungai-sungai lain.
“Keenakan patin ori dan ikan-ikan sungai yang lain di sini mungkin disebabkan oleh Sungai Pahang sendiri. Selain airnya yang sentiasa mengalir, pelbagai jenis tumbuhan yang tumbuh di tebingnya turut mempengaruhi bau dan rasa ikan tersebut.
“Diet ikan yang memakan buah-buahan, daun-daun, anak-anak ikan serta udang menjanjikan keenakan pada rasanya. Ia lebih manis dan tidak berbau,” ujar Rosdi Harun, 42.
Dia yang berasal dari Kampung Buntut Pulau, Temerloh, turut mengusahakan 26 sangkar ikan di tebing Sungai Pahang sejak 12 tahun yang lalu.
“Ikan patin ori memang menjadi buruan ramai. Memandangkan Sungai Pahang menjadi habitat asalnya, memang ia boleh dijumpai di sepanjang sungai ini, tetapi bukan sentiasa ada.
“Kalau air pasang besar, pencarian ikan patin ori mungkin lebih sukar, begitu juga kalau air surut dan berpasir.
“Lazimnya, ia hidup di lubuk air deras dan kawasan yang terdapat banyak rumpai air atau lumut sebagai sumber makanan,” katanya yang merupakan pembekal ikan patin liar untuk kerabat Sultan Pahang.
10 lubuk
Mempunyai dua sengat di kiri kanan dan satu di belakang badan, saiz ikan yang tidak bersisik dan berisi lembut ini boleh mencecah sehingga satu meter panjang manakala beratnya mampu menjangkau sehingga 20kg.
Sempat berkongsi tip untuk memancing ikan patin ori, Rosdi memberitahu, umpan yang digunakan perlu sesuai dengan tempat ikan yang mahu dikail.
“Untuk pancing patin ori di Sungai Pahang, umpan buah sering menjadi pilihan. Biasanya buah yang digunakan ialah buah ara, jambu air, kuini, bacang ataupun pisang,” ujarnya.
Bagi yang pernah mencuba menakluk patin, lubuk ikan daripada spesies ini dikatakan banyak terdapat di sepanjang Sungai Pahang.
Pada tahun 2009, Jabatan Perikanan Pahang telah mengenal pasti 10 lubuk ikan di sepanjang lapan kilometer Sungai Pahang dari Kuala Mai hingga Kuala Krau.
Kawasan tersebut meliputi lubuk Temperah, Sanggang, Telaban, Kundur, Kuala Seboi, Singa, Seminai, Redap, Seboi dan Sungai Mai.
Pengesanan yang menggunakan alat pengesan satelit itu dikatakan lubuk untuk beberapa jenis ikan antaranya patin, jelawat, kelah, temelian, tengalan, kerai, gerahak, belida dan tapah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: