Sunday, May 22, 2011

Nora Danish pasrah

pix_middle

PERIT sendiri, sakitnya seorang. Tidak perlu siapa ambil peduli dan tidak juga adanya sesiapa yang harus simpati kerana semuanya itu dianggap ketentuan. Biar teruk jiwa dilanda badai, namun hatinya tetap sama, optimis dan memandang setiap yang berlaku satu dugaan untuk menguatkan lagi semangat.

Nora Danish Mohd Hanif enggan terus dilabel meraih publisiti murahan, sengaja mencuri perhatian atas insiden lain mengaitkan namanya atau bersungguh-sungguh tampil menjadi mangsa, sebaliknya aktres berusia 29 tahun ini akur dengan nasib yang menimpa.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Pertemuan pertama kali dengannya baru-naru ini menyingkap kisah lain yang membahagiakan dirinya. Tidak mahu terus berbicara soal amarah dan dendam kesumat atau mengungkit kembali cerita lama yang masih berbekas luka, sebaliknya petang itu bintang kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu ini lebih bersungguh membentangkan perkembangan baru dirinya dan pengalaman indah yang tiada gantinya bergelar ibu.

Meskipun gagal dalam perkahwinan sebelum ini, namun semua itu adalah soal jodoh kerana apa yang lebih indah buatnya adalah kurniaan anak tunggal kesayangannya, Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram yang kini berusia dua tahun.


Bukan saja menjadi teman di kala rindu dan sunyinya, malah si jantung hati yang dipanggil 'sayang' ini adalah hadiah paling istimewa dalam hidupnya.


"Rayqal adalah segala-galanya buat saya. Alhamdulillah saya punya peluang untuk membesarkannya sendiri selain keluarga mentua dan saya turut sama membantu. Setiap hari Rayqal adalah kemestian buat saya melepaskan rasa sayang dan rindu. Mungkin doa saya selama ini untuk menjadi seorang ibu termakbul kerana Rayqal sempurna dan indah pembesarannya.

"Berilah sekuat mana sekalipun dugaan, wajah Rayqal sudah cukup menenangkan. Dia adalah ilham dan sumber inspirasi buat saya. Kiranya saya tidak langsung terasa sunyi dan seorang diri kerana setiap hari saya ada dia yang membuat saya tersenyum, suaranya ketawa bagai penawar menghilangkan penat dan gelagatnya yang tidak kenal diam, membuatkan saya ketawa sendiri.

"Rayqal pelengkap hidup yang membahagiakan saya setiap saat," katanya.

Meleret senyum berkali-kali tatkala dihias wajahnya Fauzi HN, membelek busana rekaan Ezuwan Ismail dan sesekali bercanda bersama pembantu peribadinya yang disapa Mat, jelas aktres ini menyembunyikan sesuatu.

Bukan soal peribadi dan terlalu sulit diceritakan, Nora menyorokkan rasa kecewa dan sakitnya hidup sendirian.

"Tiada siapa boleh membayangkan melalui hari-hari dengan pelbagai kisah dan cerita. Status ibu tunggal dan seorang janda bukan semudah yang dilihat. Itu lebih meletak diri saya di ambang kesangsian banyak pihak serta menjemput fitnah sekeliling. Namun itu semua sudah lali saya telan sejak dulu lagi. Malah saya seakan sudah bersedia untuk menerima apa saja persepsi yang datang kerana semua itu tidak dapat dielakkan lagi.

"Hendak disangkal, itu lumrah menjadi selebriti namun ada kalanya kata-kata nakal atau apa saja persepsi yang dilempar memang mengundang air mata. Namun difikirkan semula, itulah semangat yang kian menguatkan lagi jiwa saya untuk terus berdiri. Saya percaya, Tuhan sentiasa bersama hamba-Nya yang teraniaya dan saya tidak mahu ada pihak yang melihat sudut itu sebagai satu kelemahan sedangkan jujurnya, tragedi sebegini adalah ukuran terbaik untuk menilai kekuatan seseorang wanita itu.

"Alhamdulillah saya masih ada keluarga dan teman-teman yang tidak henti menyokong di belakang. Syukur sangat kerana saya masih punya bahu untuk mengalas kepala tatkala sedih dan telinga yang sudi mendengar setiap kali datangnya kesugulan. Mungkin inilah suratan yang tertulis dan saya sentiasa mengharapkan semuanya satu anugerah buat diri saya," katanya.

Lama dipujuk, akhirnya bintang yang mula melakar nama menerusi drama siri popular, Puteri ini akur dan pasrah. Namun janjinya, tidak semua perlu dikongsikan kerana segala pengalaman sudah adalah kiblat buatnya untuk tidak lagi mengulangi kesilapan lama.

Selepas lama keseorangan dan bersilih ganti kononnya kelibat lelaki yang hadir dalam dirinya, akhirnya bintang ini mengakui sedang intim dengan seseorang. Enggan terus membuka setiap inci laci peribadinya, namun baginya, biarlah semuanya berjalan seperti biasa tanpa perlu disimbah publisiti.

"Saya mengakui ada seseorang dalam hati saya ketika ini namun masih terlalu awal untuk diceritakan. Kami masih lagi dalam proses mengenali hati budi masing-masing dan gigih mencari keserasian. Lagipun semuanya hadir tanpa saya duga. Mungkin juga ia hanya satu seloka yang singgah melengkapkan hari-hari saya.

"Alhamdulillah saya tidak pula dihimpit mana-mana lelaki yang hanya ingin mengambil kesempatan atau menyukarkan saya, sebaliknya semuanya hadir ingin membahagiakan. Saya bukanlah seorang yang terlalu cerewet cuma soal cinta dan teman lelaki bukan satu kemestian. Kerjaya masih jauh untuk diperbaiki, percaturan langkah juga perlu terus diperketatkan dan keluarga adalah tunggak utama yang perlu diletak depan.

"Jika ada jodoh dan rezeki, ia tidak lari ke mana. Namun biarlah semuanya ditentukan takdir dan tidak perlu saya letakkan seratus peratus komitmen ke arah itu kerana apa yang lebih menjadi keutamaan adalah Rayqal dan kerjaya," katanya.

Menyentuh soal kerjaya si jelitawan kecil molek ini, setakat ini dia masih mempertimbangkan beberapa tawaran filem dan skrip drama baru.

"Tawaran sentiasa ada dan tidak pernah kering buat saya. Pihak produksi percaya dengan disiplin dan komitmen saya selama ini dan itu lebih penting buat anak seni seperti saya. Insya-Allah saya akan kembali ke set penggambaran filem terbaru tidak lama lagi namun semuanya masih dalam proses perbincangan. Buat masa ini, saya ingin lebih mencuri masa dan ruang untuk bersama Rayqal," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: