Sunday, May 22, 2011

Jurugambar pertaruh nyawa

BAGAI BUNGA API.... imej letupan gunung berapi di Iceland, antara gambar yang dirakam oleh Thrainsson.
BAGAI BUNGA API.... imej letupan gunung berapi di Iceland, antara gambar yang dirakam oleh Thrainsson.

BERMAIN dengan maut di sekitar percikan lahar gunung berapi yang panasnya mencecah sehingga 1,000 darjah selsius bukan sesuatu yang diminati oleh ramai orang.

Tetapi bagi jurugambar nekad, Skarphedinn Thrainsson, berada di sekitar gunung berapi paling bahaya tidak sedikitpun menakutkannya. Malah dia menganggapnya satu cabaran tugas yang menyeronokkan.

  • Foto

    PANCARAN KILAT... kilat sabung- menyabung di langit ketika asap hitam tebal keluar daripada gunung berapi.

  • Foto

    SELAMBA... imej menggerunkan menunjukkan seorang lelaki berjalan ke arah kamera atau menuju ke gunung berapi.

  • Foto

    TAK GENTAR... sekumpulan petugas dirakam memeriksa kawasan sekitar manakala gunung berapi di belakang memuntahkan asap debu.

  • Foto

    PERCIKAN... sebuah gunung berapi memuntahkan lahar, mewujudkan imej yang menarik di sebalik warna langit.

  • Foto

    BERANI... dua jurugambar bersiap sedia untuk bergerak jika lahar mendekati mereka.

Meskipun bernasib baik kerana tidak cedera atau terbunuh kerana terkena debu volkanik, imej yang dirakamnya begitu menakjubkan.

Daripada percikan lahar berwarna oren yang menghambur ke atas menerangi langit malam seperti bunga api, hingga gambar rakan jurugambar berdiri hanya beberapa meter dari tempat batu gunung berapi turun seperti hujan dari langit, gambar yang dirakamnya mempamerkan pelbagai sudut kemusnahan.


Thrainsson, 39, berkata: “Ia perkara paling menakjubkan pernah saya saksikan dalam hidup saya.”


“Amat sukar untuk anda luahkan perasaan apabila anda berada di depan gunung berapi yang sedang meletus - kepanasannya, kebingitan, bau dan percikan api.

Ia menyebabkan anda merasa begitu kerdil dan lemah di depan sebuah gunung berapi. Selepas pengalaman itu, kegiatan merakam lanskap biasa adalah sesuatu yang membosankan.

“Namun begitu, keadaan sudah pasti amat berbahaya dan kadang kala saya terpaksa merentas lahar baru yang boleh menyebabkan saya melecur.

“Ia juga berbahaya untuk berada di kawasan sekitar Eyjafjallajokull di Iceland, tempat saya merakam banyak gambar kerana kilat sabung menyabung di celah asap debu.”

Thrainsson berkata, dia masih ingat bagaimana satu malam ketika merakam kilat, angin tiba-tiba beralih arah dan awan hitam mula menghala ke arahnya.

“Saya berundur dari kawasan itu dengan debu dalam mulut dan bau busuk di udara. Apabila berjaya keluar dari kawasan itu, saya sempat merakam beberapa gambar kilat berkenaan.

Ia menyambar hampir di tempat saya berdiri sebelum itu. Dua orang mati dalam kejadian seumpama itu apabila mereka sesat malam berkenaan selepas melihat gunung berapi itu.

Thrainsson, yang berasal dari Reykjavik, Iceland, merakam gambar menakjubkan itu ketika gunung berapi Fimmvorduhals dan Eyjafjallajokull meletus. Letusan itu mencetuskan kekecohan di seluruh Eropah dua tahun lalu.

Kedua-dua gunung berapi itu terletak di pantai selatan Iceland tetapi dengan kesan yang berbeza.

Gunung berapi di Fimmvorduhals mengeluarkan lahar merah tetapi letusan yang kedua memuntahkan awan debu tinggi ke langit menyebabkan ruang angkasa Eropah terpaksa ditutup kepada penerbangan.

“Eyjafjallajokull pula meletus di tengah glasier, memuntahkan asap volkanik kerana letusan itu berlaku jauh di bawah ais.

“Saya berulang kali pergi melihat gunung itu, biasanya pada waktu terbit dan terbenam matahari serta di sebelah malam untuk mendapatkan gambaran paling baik dan memerhatikan lahar mengalir.

Thrainsson kini merancang untuk ke Hawaii dan beberapa tempat lain untuk merakam gambar seperti yang dilakukannya di Iceland.

Namun, buat masa ini katanya, apabila satu lagi gunung berapi di Iceland meletus, dia sudah bersedia.

“Saya sudah bersedia dan bersiap untuk kembali menikmati pengalaman itu sekali lagi.

“Saya memperoleh kamera berkualiti pertama saya pada 2007 dan amat tertarik dengan lanskap dan fotografi aurora. Kini, merakam gambar gunung berapi meletus menjadi kegemaran baru saya.”

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: