Thursday, May 5, 2011

Mandi tian sekadar adat

DARIPADA cakap-cakap orang, upacara melenggang perut atau mandi tian di negeri-negeri sebelah utara seakan sudah tidak menjadi amalan lagi.

Bagaimanapun tanggapan ini sebenarnya jauh meleset.

Dalam diam-diam rupanya, masih ada sebilangan kecil di kalangan masyarakat Melayu yang masih melakukan adat yang sekian lama diwarisi dari satu generasi ke satu generasi.

Kemungkinan adat ini diteruskan kerana ia sudah menjadi tradisi di dalam sesebuah keluarga itu secara turun-temurun.

Bagaimanapun untuk melaksanakan adat ini juga sebenarnya tidak mudah kerana bukan mudah di zaman sekarang untuk mencari bidan kampung.

Ini kerana hanya bidan kampung sahaja yang berkemampuan untuk melaksanakan upacara adat mandi tian ini dengan sempurna.

Bagaimanapun di Alor Setar, Kedah sebenarnya masih ada lagi yang bergelar bidan kampung iaitu Norizan Said, 42, atau lebih dikenali sebagai Kak Zan.

Bidang keturunan ini dikatakan mempunyai kepakaran yang datang secara semulajadi untuk menyambut kelahiran bayi dan berurut ibu selepas bersalin.

Yang menariknya, bidan kampung tidak perlu menjalani sebarang kursus di mana-mana kolej kejururawatan tetapi mempunyai kebolehan pakej lengkap berkaitan ilmu perbidanan.

Kak Zan mengakui kepakaran membidan yang diwarisi itu tidak dilakukan lagi kerana tugas itu telah diambil oleh perubatan moden.

Katanya, bidan kampung hari ini lebih kepada melakukan tugas mengurut wanita selepas bersalin.

Selain mengurut wanita selepas bersalin bidan kampung ini juga turut memberikan khidmat untuk melakukan upacara mandi tian.

''Sejak menjadi bidan kampung lapan tahun lalu saya telah menjalankan upacara mandi tian ke atas kira-kira 40 wanita beranak sulung di bandar ini,'' katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Dengan sambutan ini katanya, petanda bahawa adat ini masih dipegang oleh sesetengah keluarga.

Ibu kepada enam orang anak ini menceritakan beliau mewarisi kepakaran sebagai bidan kampung ini yang disebut 'bidan keturunan' sebagai pewaris bagi generasi ketiga.

''Arwah nenek saya yang dikenali sebagai Bidan Chah memang terkenal di sekitar Langgar, Alor Setar, Kedah. Begitu juga dengan ibu yang kini walaupun sudah berusia 72 tahun tetapi masih melakukan tugas mengurut orang bersalin," katanya.

Kebetulan kata Kak Zan beliau memang dilahirkan dalam keluarga bidan keturunan iaitu pada sebelah emak dan juga bapa.

''Saya tidak pernah berguru dan tidak mempelajarinya secara rasmi tetapi boleh melakukan kerja-kerja mengurut ini secara semula jadi apabila menyentuh mana-mana bahagian badan," ujarnya.

Disebabkan mandi tian telah dipertikaikan dari sudut Islam kata Kak Zan, memang upacara mandi tian yang ada sekarang jauh berbeza dengan dahulu.

Ujar Kak Zan, mandi tian hari ini telah diubah suai di mana lebih ringkas dan mudah.

Jelasnya, peralatan yang digunakan untuk mandi tian cuma sintok, limau purut, air sebaldi dan kain batik yang telah dipakai oleh bakal ibu.

Bagaimanapun katanya, beliau masih mengamalkan 'pengeras' yang berjumlah RM25.25 lebih diibaratkan sebagai upah menjalankan upacara tersebut.

''Saya akan mencampurkan akar sintok, limau di dalam sebaldi air yang disertakan dengan bacaan doa," katanya.

Katanya, air ini nanti akan diratakan ke seluruh badan ibu tadi pada siraman mandi yang terakhir.

Selepas itu kain basahan yang dipakai oleh ibu tadi akan dikoyakkan dan kemudiannya akan dikeringkan untuk digunakan sebagai pelapik pada tempat tidur ibu tadi semasa menjalani tempoh berpantang.

Jelasnya, biasanya adat itu akan dilakukan apabila usia kandungan ibu yang mengandung sulung itu mencecah tujuh bulan.

Katanya, ketika upacara itu juga beliau akan menyentuh perut ibu bagi memastikan kandungan berada di dalam kedudukan yang akan memudahkan bayi mudah untuk dilahirkan.

Jelasnya disebabkan sekarang ini ada ujian yang boleh mengesan jantina bayi maka sebahagian daripada proses mandi tian iaitu meletakkan kelapa ke atas perut ibu mengenal pasti jantina bayi sudah tidak diperlukan.

''Teknik dan perubatan moden telah banyak melakukan tugas yang sebelum ini dilakukan oleh bidan kampung,'' katanya.

Beliau berkata, kebiasaannya selepas menjalankan upacara mandi tian akan diadakan majlis kenduri dan doa selamat supaya ibu dan anak dilindungi Allah.

Secara tidak langsung katanya, pada majlis ini juga memberi peluang kepada ibu berkenaan untuk mendapat pengalaman daripada tetamu yang hadir petua dan sebagainya untuk menyambut kelahiran anak sulung.

Tambahnya, disebabkan bidang kampung kini semakin pupus maka permintaannya juga semakin tinggi.

Kak Zan mengakui dia tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan ini yang hanya dihadkan di sekitar bandar Alor Setar sahaja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: