Thursday, May 5, 2011

Baby shower ganti lenggang perut


INTAN Suhana juhari bersama anaknya, muhammad luqman wazif yang melakukan majlis baby shower.


BABY SHOWER. Kalau diterjemah secara tepat ke bahasa Melayu 'mandi bayi' memang kedengaran agak janggal memandangkan ia berasal dari budaya orang Barat.

Secara jelasnya, baby shower atau membawa maksud 'sirami bakal ibu dengan hadiah' adalah majlis untuk meraikan bakal ibu yang mengandung sulung ketika usia kandungan mencecah tujuh hingga lapan bulan

Di Malaysia, majlis baby shower masih baru sekalipun ada segelintir masyarakat Melayu yang telah menganjurkannya.

Dalam dunia artis pula, Erra Fazira dikatakan antara yang paling awal terlibat dalam majlis baby shower iaitu pada 9 Februari 2009.

Dituruti pula dengan Dynas Mokhtar pada 17 Mac 2010 dan terbaru Sazzy Falak pada 18 Mac lalu di mana banyak gambar sekitar majlis baby shower telah dipaparkan di dalam blog-blog tempatan.

Sekali gus ini menunjukkan petanda majlis baby shower mula mengambil alih peranan adat melenggang perut atau mandi tian dalam adat Melayu.

Melenggang perut atau mandi tian yang mempunyai pengaruh adat Hindu ini kini dipinggirkan memandangkan ia dikatakan ada unsur kurafat yang bertentangan dengan Islam.

Baby shower dilihat lebih baik berbanding adat melenggang perut kerana majlis ini boleh diubah suai mengikut budaya negara masing-masing.

Pengertian memberi hadiah kepada ibu juga bukan menjadi matlamat penganjuran upacara ini sebaliknya ia merupakan sebuah majlis kenduri bagi meraikan ibu mengandung anak sulung dengan rakan-rakan.

Disebabkan majlis baby shower masih kurang dianjurkan di negara ini maka tidak ramai yang boleh diajak berkongsi pengalaman bagi menganjurkan majlis ini.

Tetapi tidak sukar untuk mendapatkan maklumat baby shower kerana ia boleh didapati dengan banyak di Internet iaitu penyediaan dari peringkat awal sehingga akhir.

Intan Suhana Juhari atau lebih dikenali sebagai Su Anna Joe juga mendapat tahu upacara baby shower hasil dari melayari Internet.

Segala maklumat mengenai upacara baby shower memang menarik sehingga membuatkan Anna, 29, sangat teruja untuk melakukan baby shower.

Lagi pun Anna memang mengimpikan untuk melakukan satu majlis yang boleh dijadikan sebagai kenangan manis ketika mengandungkan anak sulungnya.

''Budaya ini memang dari Barat dan maklumat yang banyak mengenai baby shower ini telah membuatkan saya tak sabar-sabar untuk merealisasikannya,'' katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Bagi Anna apa salahnya dia menganjurkan majlis ini walaupun namanya 'berbau kebaratan' tetapi berlangsung dalam suasana seperti kenduri biasa yang tidak melanggar ajaran Islam.

Lagipun katanya, para jemputan hanya terdiri daripada kaum wanita yang dibuat dalam satu majlis tertutup.

Anna bernasib baik kerana niatnya untuk melakukan baby shower ini mendapat sokongan daripada suaminya seorang peguam, Mohd. Hafiz Zainol Abidin.

''Memang banyak persiapan yang perlu dilakukan supaya majlis yang bakal diadakan itu benar-benar menepati ciri-ciri majlis baby shower walaupun ia tidak mencapai tahap seratus-peratus,'' katanya.

Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh Anna adalah memilih tarikh dan tempat mengadakan baby shower sebelum merancang persiapan selanjutnya.

''Saya tetapkan majlis baby shower diadakan pada 16 Januari 2010,'' katanya.

Kata Anna, tarikh ini sesuai di mana cuma ada masa tiga minggu lagi sebelum dia dijangka melahirkan bayi pada 8 Februari 2010.

Semenjak itu Anna mula merancang senarai jemputan kira-kira 50 orang selain memilih menyediakan makanan, hadiah dan permainan.

Selain itu kata Anna bagi menepati konsep majlis baby shower maka hiasan dalaman rumah juga perlu diubah.

Oleh kerana Anna telah dimaklumkan akan melahirkan anak lelaki, maka barang-barang untuk hiasan utama seperti belon, bendera dan pakaian bayi yang digantung pada majlis baby shower itu hanya dalam warna biru, kuning dan putih.

Beliau juga tidak dapat melupakan perisitiwa tidak tidur hingga pukul lima pagi hanya kerana hendak menyiapkan sebuah kek dari pakaian bayi, tuala dan juga selimut yang juga termasuk dalam persiapan untuk majlis itu.

''Saya tidak menyangka ramai rakan-rakan yang dijemput hadir ke majlis ini dan paling menyeronokkan antara tetamu itu ada yang sedang mengandung dan turut membawa anak masing-masing,'' katanya.

Anna juga menempah sebiji kek tiramisu warna putih di mana bahagian atas dihiasi dengan patung kecil wanita mengandung dan bendera kertas yang dihasilkan beliau sendiri yang ditertulis perkataan can't wait to see you, a bun in over dan oh boy.

Jelas Anna, majlis itu juga dimeriahkan dengan acara memotong kek bersama suaminya.

Paling riuh kata Anna ketika diadakan acara mengukur perut yang merupakan antara bentuk permainan yang diadakan serta menjadi kemestian ketika menganjurkan baby shower.

Anna menambah walaupun dalam tradisi majlis baby shower tetamu akan menghadiahkan pakaian dan barangan untuk bakal bayi tetapi itu semua bukan matlamat utama.

''Apa yang penting majlis ini membolehkan saya bertemu semula dengan rakan lama malah bertukar-tukar pengalaman dengan mereka yang telahpun melahirkan anak,'' kata Anna.

Selain itu tambah Anna, beberapa hari sebelum baby shower itu pihak keluarganya telahpun mengadakan majlis solat hajat dan bacaan doa untuk keselamatan beliau dan kandungannya.

Anna telah selamat melahirkan Muhammad Luqman Wazif pada 5 Februari 2010 dan kini bayi lelaki yang comel itu telah berusia setahun dua bulan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: