Monday, May 23, 2011

Lima sekolah terbaik ke Perancis


Eliza Lewin, John Spencer dan Tony Materna membuat pemilihan dan menyediakan Laporan Penuh Keputusan Jawatankuasa Pemilihan Reka Bentuk Kapal Angkasa di Los Angeles, Amerika Syarikat, baru-baru ini.


Jawatankuasa Pemilihan Space Tourism Society (STS) telah memilih lima sekolah yang berjaya menghasilkan reka bentuk kapal angkasa terbaik untuk bersaing di peringkat akhir pada Persidangan Agensi Angkasa Eropah di Paris, Perancis pada Oktober depan.

Lima sekolah itu ialah Sekolah Menengah Teknik Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan; Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kubang Pasu, Kedah; Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Selangor; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintang Selatan, Kuala Lumpur dan SMK Bandar Baru Sg. Buloh, Selangor.

Pemilihan lima daripada sembilan sekolah yang telah disenarai pendek itu dibuat oleh satu jawatankuasa yang terdiri daripada Presiden dan Pengasas STS, John Spencer; Timbalan Presiden dan Jurutera Aeroangkasa Bristol Spaceplane, Tony Materna dan Ahli Eksekutif STS, Eliza Lewin.

Ia diadakan pada majlis Penganugerahan Orbit di Los Angeles, Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Menurut Tony Materna, kesemua sembilan reka bentuk berkenaan adalah amat mengkagumkan kerana mempunyai ketepatan kejuruteraan yang boleh diterima walaupun bidang reka bentuk kapal terbang angkasa suborbital adalah suatu bidang kejuruteraan yang baharu dan tidak mempunyai ramai pakar.

Malah pertandingan ini, katanya, adalah antara pertandingan yang merintis ke arah pembangunan dan perkembangan bidang kejuruteraan kapal terbang angkasa suborbital.

"Melalui usaha yang berterusan, Malaysia boleh menghasilkan seorang jurutera ataupun pereka kapal terbang angkasa suborbital yang terkenal di dunia," katanya.

Pemilihan dibuat berasaskan lima kriteria iaitu keaslian reka bentuk; kefahaman teknikal dan practicality; mudah untuk dibangunkan; beroperasi secara ekonomi dan inovasi keseluruhan.

Pertandingan Mereka Bentuk Kapal Angkasa Kebangsaan ini anjuran STS Malaysia Chapter (STS-MC) dengan kerjasama Utusan Malaysia dan disokong oleh Kementerian Pelajaran.

Pemenang utama akan berpeluang untuk mengikuti lawatan ke Kem Angkasa di Eropah.

Walaupun ia julung kali diadakan namun sambutan yang diterima amat menggalakkan kerana ia membuka ruang kepada pelajar sekolah menengah untuk mempamerkan hasil kreativiti mereka di peringkat antarabangsa.

Sebanyak 66 penyertaan sekolah dari seluruh negara diterima untuk pertandingan yang bermula pada Januari dan berakhir Mac lalu.

Maklumat lanjut berkaitan pertandingan ini boleh dirujuk di portal berita www.adap.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: