Monday, May 23, 2011

Suasana rockabilly di Switchblade


Konsep rockabilly telah wujud sejak 50 tahun dahulu.


Kreativiti dan hiasan yang ditampilkan di setiap sudut restoran menjadikan pengalaman menjamu selera seolah-olah berada di luar negara.

Gabungan dinding merah dan kerusi putih memeriahkan sekitar restoran yang turut menampilkan butik pakaian. Berbeza tempat menjamu selera lain, pemiliknya berani bermain dengan konsep rockabilly. Mungkin bagi sesetengah orang, konsep itu kurang popular di Malaysia. Namun, tahukah anda, ia menjadi kegilaan sama ada yang tua atau muda sejak 50 tahun dahulu.

Melihat suasana dekorasi Switchblade Kuala Lumpur, anda sebenarnya dikelilingi elemen rockabilly yang sebenar.

Switchblade memulakan perniagaan di Solaris Dutamas yang dikenali sebagai pusat gaya hidup di Lembah Klang. Konsep rockabilly ditampilkan dengan jualan produk yang menakjubkan disulami hiasan dalaman yang unik.

Istilah tersebut terhasil daripada perkataan rock 'n' roll dan 'hillbilly' iaitu merujuk kepada konsep muzik yang bermula awal 1950-an.

Rockabilly

Setiap dinding dipenuhi bingkai gambar bercirikan rockabilly. Iringan muzik pula tidak jemu-jemu menghiburkan pelanggan. Hiasan kelihatan artistik namun mempunyai penceritaan sendiri.

Malahan lukisan tatu pada dinding menampilkan ciri kasih sayang kekeluargaan.

Sesuai dengan tema rockabilly, merah dan putih menjadi pilihan utama dekorasi. Menambahkan seri penataan serta pencahayaan yang sesuai dan sedap mata memandang.

Ruang makan yang luas tampak kemas dengan susunan beberapa set meja makan yang selesa.

Bagi ibu bapa yang meminati gaya alternatif kemeja kanak-kanak dan bayi, Switchblade menawarkan label Six Bunnies untuk bayi dan juga kanak-kanak berumur dari setahun hingga enam tahun.

Label dari Belgium itu menawarkan rekaan unik dan warna terang daripada rock 'n' roll, avant garde sehingga rekaan lukisan tatu tengkorak dan juga rama-rama.

"Kami menyediakan pilihan rekaan alternatif yang lebih ringan buat ibu bapa dan juga pelanggan lain. Lebih banyak pilihan yang lebih artistik dan juga "edgy"," kata pengarah urusan Switchblade Kuala Lumpur, Asep Ahmad Iskandar.

Koleksi Six Bunnies merangkumi variasi menarik daripada tikar menukar lampin, bib leher, topi, baju bayi romper sehingga kemeja kanak-kanak.

Fabrik pakaian dibuat "fully combed" dan dicetak dengan pewarna yang dibenarkan oleh Kesatuan Eropah. Pakaian kanak-kanak ini sangat bersesuaian dengan cuaca di Malaysia. Pilihan warna adalah putih, hitam dan merah jambu. Warna terang seperti hijau, biru dan juga merah tidak ketinggalan. Turut dijual koleksi terkini musim bunga/panas untuk kanak-kanak.

Switchblade Kuala Lumpur terletak di A2-G1-07, Solaris Dutamas, No.1, Jalan Dutamas 1. bagi mendapat lebih informasi, sila hubungi 03-6207.9894 atau layari Switchblade™ Kuala Lumpur di Facebook.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: