Sunday, May 15, 2011

Kilafairy di puncak kemasyhuran


Punya rancangan yang jelas dalam merencana perjalanan hidupnya.


NAMA pelakon baru ini meniti di bibir peminat seni. Kehadirannya cukup berkesan. Apabila ramai yang membicarakan perwatakan luarannya. Sisi raut wajah eksotiknya mempermudahkan dia diingati terutama di bibirnya yang dikatakan mirip Angelina Jolie.

Biarpun baru berusia 19 tahun, Kilafairy dilihat lebih matang daripada usianya. Tidak perlu pergi jauh untuk membuktikan kenyataan itu. Sepanjang fotografi penghias kulit Pancaindera ini di Kelab Golf Subang Saujana Subang, mata liar tertumpu pada kelibatnya.

Ada yang menoleh tiga kali kepadanya. Mungkin tak percaya dengan ciptaan Tuhan yang dikurniakan kepada Kilafairy. Cukup asli dan sempurna dari hujung rambut hingga hujung kaki.

Tambahan pula apabila menyarung busana rekaan Jeffriey Ibrahim. Ini menjadikan Kilafairy atau nama sebenarnya Syakila Nisha Jahangir Khan fokus utama sepanjang hari Isnin lalu.

“Kila masih seperti yang dulu. Tak ada bezanya dengan Kila sekarang. Cuma jadual Kila buat masa sekarang cukup ketat,” ujarnya ringkas.

Seiring dengan itu, anak bongsu penyanyi Rohana Jalil ini mengakui dia terpaksa berdepan dengan bebanan kerja tiga kali ganda.

Satu, bertindak sebagai pelajar Diploma Lanjutan dalam bidang Pemasaran Fesyen dan di Kolej Antarabangsa Raffles Ampang, Selangor.

Kedua, dia dihujani tugasan kerja sebagai anak seni. Ditambah pula dengan terkejar-kejar membahagikan untuk ruangan peribadinya.

Namun begitu, Kilafairy lebih mengutamakan pengajiannya. Dia perlu selesaikan tanggungjawab itu sebelum Mac tahun depan.

“Kila tahu kerja sebagai pelakon tak akan berakhir. Sebab itu Kila kena jadi lebih fokus dan menolak banyak tawaran berlakon. Kila tidak terdaya mengejar waktu,” akui gadis yang semakin laris di akhbar dan majalah ketika ini.

Pun begitu dia tak pernah menyesali kesibukan masanya. Sebab Kilafairy yang memilih jalan itu sekalipun ada pihak yang pada mulanya memperkecilkan bakatnya itu.

“Kila tak tamak. Buat apa mengejar semua tawaran sedangkan Kila yang tersepit akhirnya. Sebab itu apa yang melibatkan jadual berlakon, Kila sendiri yang menguruskan. Tak perlu pengurus peribadi. Cukuplah ada mama (Rohana Jalil) dan Jepun (pembantu Rohana).

“Kila rasa cara itu lebih mudah. Kila tak perlu merujuk kepada sesiapa. Bebas untuk menentukan kesesuaian waktu dan mudah untuk Kila,” jelas pelakon yang semakin yakin dengan hala tuju kariernya.

Terkenal sebelum waktu

Gadis yang bakal menyambut hari lahir pada 17 Mei ini sendiri tak menyangka akan lekas meniti tangga kemasyhuran. Kehadirannya dalam bidang lakonan seakan diterima baik semua pihak.

“Ini semua adalah rezeki. Kila tak pernah membayangkan cepat terkenal sebegini. Tapi kita tak pernah menyesal. Sebab Kila yang memilih jalan ini,” ujarnya bersungguh-sungguh.

Pada masa yang sama, Kilafairy mengakui bahawa dia tak mudah hanyut dengan kemasyhuran secara pantas melanda dirinya. Hujahnya, populariti secara pantas berlaku pada masa sekarang ini bersifat sementara.

Namun dia tidak dapat membayangkan keadaan jika tiada pihak yang mempedulikan dirinya pada masa akan datang.

“Terus terang, sejak Kila masuk dalam bidang ini glamor jatuh di tempat kedua. Kila sasar untuk berkongsi bakat yang ada untuk semua. Tak terlintas pun nak lekas dikenali.

“Biarpun Kila pernah diuji dengan cerita-cerita kurang manis pada saat awal pengenalan. Kila anggap ia sebagai dugaan kecil. Sebab selepas ini, Kila tahu pasti ada banyak lagi cabaran berliku mendatang,” hujah pelakon filem muzikal P. Ramlee yang bakal menjalani penggambaran Mei ini.

Tidak berlagak bagus

Disebabkan kelihatan terlalu yakin dengan bidang yang diceburinya itu, pelakon filem Karak ini dikata berlagak bagus. Biarpun tidak banyak hasil lakonannya ditayangkan di kaca televisyen.

Rasa benci juga semakin meluap tatkala ada pihak yang memuji kemampuan Kilafairy mendendangkan himpunan lagu Hindustan dan Hollywood.

“Kila tidak kisah ada orang cakap Kila pura-pura. Sebab Kila tahu kerja Kila. Takkanlah Kila nak halang semua orang berkata tentang Kila. Terpulang kepada masing-masing.

“Kila langsung tidak peduli. Lebih baik Kila tumpukan perhatian pada kelompok orang yang suka kepada Kila. Lagi baik dan lebih tenang.

“Kalau kita asyik mendengar cakap buruk orang terhadap kita, sampai bila nak maju. Biarlah mereka nak cakap apa-apa pun. Bila dah penat nanti, mereka berhentilah,” jawabnya penuh makna.

Dalam perkembangan yang sama, Kilafairy mengakui sedang dalam usaha untuk bersih dari sebarang cerita gosip. Mahu lebih berimej bersih. Tanpa sebarang cerita kurang manis yang boleh mencacatkan perjalanan karier seninya.

VIP menagih cinta?

Sebagai artis muda yang senang meningkat, Kilafairy tidak terlepas ‘gangguan’ daripada golongan orang kenamaan. Apabila ada individu tertentu yang berminat kepadanya. Mahu berkenalan dan tidak kurang juga yang menawarkan cinta terhadapnya.

Bagaimanapun, perihal tersebut ditangani bijak. Kila punya alasan untuk menolak baik semua tawaran yang disifatkan terlalu awal buatnya.

“Kila ada prinsip hidup. Ada keluarga dan nama baik yang perlu dijaga. Sekali pun, ada pihak yang mengakui hartawan punya wang berjuta-juta, Kila tak mudah tergugat.

“Sebab Kila ada matlamat untuk masuk dalam industri ini. Kalau semua nak layan, hidup Kila akan kucar kacir,” terangnya yang enggan mendedahkan siapakah golongan kenamaan berkenaan.

Mengulas tentang kriteria lelaki pilihan, artis di bawah naungan KRU Studios ini, kelihatan wajahnya cukup ceria. Pilihan utamanya adalah seorang yang mengambil berat tentang personaliti, memahami, hormat orang tua dan perempuan, berfikiran terbuka.

Juga seorang yang berfikiran terbuka, penyayang, kelakar dan tahu bagaimana hendak mengawal situasi. Sebagai wanita yang tidak ada pengalaman bercinta, Kilafairy tak mahu langkah awalnya kecundang.

“Memang ada banyak lelaki yang tawarkan cinta. Tapi Kila tak layan. Sebab belum masanya lagi. Kila akui memang seorang yang sukar bagi peluang pada lelaki. Takut kalau dah jatuh cinta, tiba-tiba disakiti,” jelasnya membangkit soal jiwa mudanya.

Rancangan perniagaan

Menyentuh tentang soal rancangan masa depannya, peminat Shah Rukh Khan ini begitu yakin sekali.

Katanya, dia kini sedang dalam usaha untuk membuka perniagaan butik bersama kakaknya, Shakira Idora. Tempatnya di pusat membeli belah di USJ 19, Subang Selangor itu akan beroperasi selewat-lewatnya selepas Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

“Semuanya masih dalam proses. Kakak Kila kelulusan rekaan fesyen dari Universiti Lim Kok Wing. Jadi dia akan mereka bentuk pakaian ditempah khas. Jadi, kami bergabung membentuk satu perniagaan keluarga. Menzahirkan impian Kila yang mahu bergelar usahawan,” katanya bersungguh-sungguh.

Di penghujung perbualan, Kilafairy mengatakan bahawa dia punya banyak rancangan yang telah disenaraikan. Justeru, dia memerlukan sokongan banyak pihak terutama kalangan peminatnya untuk mengukuhkan namanya sebaris dengan pelakon ternama tanah air yang lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: