Saturday, May 21, 2011

Ketakjuban Rinjani


SEBAHAGIAN pendaki bergambar kenangan di puncak bukit yang terletak tidak jauh dari tapak perkhemahan.


HARI Pertama: Sudah berjam-jam lamanya kami menyusuri denai berjarak lebih tujuh kilometer ini. Setibanya di Pos 3, kami terduduk keletihan sambil membasahkan tekak yang telah lama kering. Sedikit makanan dijamah bagi melapik perut.

Selesai menunaikan solat jamak takdim zuhur dan asar, kami meneruskan pendakian. Kali ini, tiada lagi hutan tebal, sebaliknya terhampar luas kawasan savanah yang berbukit-bukau dengan rumput dan lalang tebal. Pepohon kayu tumbuh jarang-jarang serta tanah gunung berapi berona coklat kehitaman jelas kelihatan. Tanah tinggi ini sememangnya indah, seindah hari cerah berawan tanpa mentari. Cuaca redup mengiringi perjalanan kami. Tatkala bayu tanah tinggi bertiup lembut, kedinginan mula terasa. Ia amat menyegarkan.

Keletihan semakin menguasai diri. Ini kerana kami mula berjalan sejak pukul 5 pagi. Setiap langkah terasa berat. Saya mengambil masa yang panjang untuk sampai ke Pos 4 di mana sekumpulan pendaki dari Barat bersama porter dan juru pandu arah telah mendirikan khemah di situ.

Hampir-hampir sahaja saya menyerah kalah dek keletihan yang terlampau. Walaupun demikian, perjalanan harus diteruskan. Sementara itu, saya kerap menggigil kesejukan dalam kedinginan lewat petang dengan kabus tebal yang datang menyapa secara tiba-tiba.

Setelah berhempas pulas menongkah laluan yang mencanak, berbatu dan berdebu, ketika mentari merah keemasan mewarnai horizon Barat, tatkala malam mula melabuhkan tirainya, saya berhenti berjalan sambil menarik nafas penuh kelegaan. Kini, saya tidak perlu bimbang lagi sebaik sahaja tiba di Pelawangan Senaru, tempat kami berkhemah untuk malam itu.

Hari Kedua: Pagi ini sungguh indah dengan pemandangan tanah tinggi yang menakjubkan. Nun jauh di ufuk barat, sayup-sayup kelihatan pulau Gili Air, Gili Meno dan Gili Trawangan. Di sebelah timur pula, kelihatan gunung Rinjani di ketinggian 3,726 meter sekali gus muncul puncak tertinggi di pulau Lombok. Ia dikelilingi banjaran tanah tinggi yang menceracak, termasuk Danau Segara Anak dengan gunung Barujari terpacak di tengahnya.

Kami memulakan perjalanan hari kedua dengan hanya menggalas beg kecil. Kami menuruni tebing curam berbatu menuju ke tepi danau yang kaya dengan ikan talapia itu. Kelihatan banyak pokok camar gunung. Hari pula cerah dengan langit biru dihiasi kepulan awan putih serta kelabu.

Saya kerap berhenti untuk merakamkan imej kawasan tanah tinggi yang mengelilingi Danau Segara Anak dengan kedalaman maksimum kira-kira 200 meter. Sememangnya tiada kata-kata yang dapat menafsirkan kecantikannya yang penuh keajaiban ciptaan Ilahi. Panorama ini begitu menenangkan fikiran dan menyejukkan pandangan.

Danau Segara Anak mempunyai luas permukaan 11.3 kilometer persegi. Saya lihat sekumpulan pengembara sibuk mengail berhampiran khemah mereka. Kami kemudian meneruskan perjalanan melalui birai danau yang berbatu. Perjalanan yang sukar itu akhirnya membawa kami ke pondok istirehat sebaik sahaja kami menyeberang sebatang sungai yang mengalir dari danau. Kami berjalan mengikut aliran sungai yang membentuk air terjun bertingkat. Panorama di sebelah sini tidak kurang hebatnya dengan kolam air panas berhampiran air terjun. Agak ramai rakan berendam di dalam kolam air panas yang kaya dengan sulfur itu.

Pemandangannya memang mengasyikkan, sesuatu yang tidak pernah ditatap dalam mana-mana siri pengembaraan di tanah air. Terik mentari tidak terasa dek terlalu leka dengan kamera, merakam di sini dan sana. Kawasan tersebut turut dibayangi gunung Sangkeriang yang menjulang 2,912 meter. Seperti lazimnya, kabus tebal datang dan pergi, mewujudkan suasana misteri yang imej-imejnya hanya mampu ditatap pada skrin televisyen mahupun komputer peribadi. Keindahan alam maya ciptaan Tuhan ini memang mengasyikkan.

Setelah puas meneroka dan merakam imej, kami kembali ke pondok istirehat untuk makan tengahari. Kira-kira pukul 2 petang, kami memulakan langkah untuk balik semula ke Pelawangan Senaru. Kami meniti batu-batu licin untuk menyeberangi sungai, mendaki dan menempuh trek berbatu serta berliku dan tidak sampai tiga jam kemudian, kami tiba di Pelawangan Senaru.

Kami menghabiskan sisa-sisa siang duduk di puncak bukit tidak jauh dari tapak perkhemahan sambil menatap panorama kala senja yang mengasyikkan dengan rona oren keemasan.

Hari Ketiga: Hati terasa berat untuk meninggalkan dunia tanah tinggi yang serba hening dan indah ini. Namun, setiap yang bermula pasti berakhir. Perjalanan menuruni kawasan savanah dengan denai yang kering berdebu membawa kami ke Pos 3, kira-kira sejam kemudian.

Kami berhenti rehat seketika sebelum menyambung perjalanan ke Pos 2. Selepas makan tengah hari, kami meneruskan perjalanan dan singgah di Pos 1 sebelum berjalan ke pintu masuk Taman Nasional Rinjani. Walaupun kembara ini telah tamat, namun kami masih perlu berjalan kaki untuk menaiki bas yang akan membawa kami ke tempat penginapan di Desa Senaru.

Fasa perjalanan terakhir kami mengambil masa kira-kira 30 minit melalui denai sejauh 1.5 kilometer. Bas yang dinaiki membawa kami ke tempat penginapan di Desa Senaru. Walaupun keseluruhan perjalanan ini memenatkan, namun ia penuh dengan kenangan manis yang sukar dilupakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: