Saturday, May 21, 2011

Tarikan Korea


KEINDAHAN tinggalan seni bina lama Korea yang masih boleh dilihat pada hari ini.


POPULARITI dan sambutan pada hiburan popular Korea atau K-pop bukan sahaja menyumbang kepada perkembangan industri hiburan Korea bahkan turut membantu sektor pelancongan di negara itu.

Pulau Namisum yang berbentuk bulan sabit misalnya antara yang cukup popular kerana latar belakangnya sebagai satu salah lokasi pembikinan drama Winter Sonata.

Mencapai kemajuan yang pantas selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, Korea Selatan yang mungkin lebih dikenali berbanding jirannya di sebelah utara kini antara destinasi percutian yang kian popular.

Jika tidak merancang untuk ke lokasi penggambaran Winter Sonata di Pulau Namisum, Pulau Jeju menawarkan percutian yang menarik khususnya bagi bagi pasangan berbulan madu.

Pulau yang merupakan tanah paling selatan di hujung semenanjung negara itu merupakan salah satu daripada tarikan paling utama pelancong ke Korea Selatan.

Pulau gunung berapi yang dikelilingi pantai berbatu hitam itu bukan sahaja menawarkan tiupan angin dan pemandangan laut malah dikenali dengan beberapa tarikan lain seperti air terjun dan kawasan pergunungan.

Puncak Sungsan merupakan salah satu daripada pilihan paling romantik bagi pasangan yang ingin menghabiskan masa bersama sambil menyaksikan matahari terbit manakala

Puncak gunung Halla yang berbentuk dulang teguh sebagai puncak tertinggi di Korea Selatan.

Jeju yang bermaksud pulau dewa-dewa terbentang dengan kelebaran 73 kilometer (km) dari timur ke barat dan 31 km dari utara ke selatan.

Selain keindahan alam, Korea Selatan juga mempunyai lokasi-lokasi menarik dan penuh sejarah untuk dikunjungi pelancong.

Istana Changdeokgung merupakan salah satu daripada lima istana terhebat dari zaman Dinasti Joseon.

Ia merupakan tapak Warisan Dunia UNESCO yang menampilkan kehalusan seni bina tradisional Korea.

Jika ke sana, bayangkan diri sebagai salah seorang penghuni istana dengan melawat Taman Rahsia yang dihiasi landskap yang cukup menarik.

Sebuah lagi istana lama sebagai pilihan adalah Istana Deoksugung yang menjadi pertahanan terakhir raja Korea selepas kesemua istananya musnah semasa Perang Imjin pada 1590.

Pada hari ini, pekarangannya menjadi tarikan pelancong yang datang untuk menyaksikan pertukaran pengawal diraja dan perarakan tentera.

Bagi yang bercuti dengan keluarga dan inginkan sesuatu seperti Disneyland, Samsung Everland yang terletak di Yongin, wilayah Gyeonggi-do selatan negara menawarkan hiburan penuh fantasi. Ia antara 10 taman tema yang menerima kunjungan tertinggi di dunia.

Taman tema itu dibahagikan kepada lima bahagian dengan tarikan seperti roller coaster pertama di negara itu yang diperbuat daripada kayu, taman air, zoo, trek perlumbaan dan persembahan bunga api pada setiap hari.

Membeli-belah

Namun begitu, untuk merasai 'irama' sebenar sesebuah bandar pelawat tidak mungkin pulang tanpa mengharungi kesibukan harian di tengah-tengah kota.

Kesempatan menyelongkar tempat-tempat menarik itu juga tidak harus dilepaskan untuk membeli-belah.

Myeongdong adalah antara nama yang paling dikenali di Korea Selatan untuk tujuan itu.

Ia merupakan satu daerah di Seoul yang dapat memuaskan nafsu berbelanja setiap pelancong.

Pusat perniagaan yang terletak di tengah ibu kota Seoul itu menawarkan produk pakaian dan aksesori harian yang kebanyakannya terdiri daripada jenama berprestij.

Pilihan pasar raya utama adalah seperti Lotte, Shinsegae, Myeong-dong Migliore, Noon Square dan M Plaza.

Jika berkesempatan, rebutlah peluang untuk berhibur dengan menonton persembahan teater nombor satu di Korea iaitu Nanta.

Cerita yang mengisahkan kehidupan tiga orang tukang masak itu merupakan persembahan paling lama bertahan di dalam sejarah hiburan Korea Selatan.

Nanta kini ditayangkan di tiga buah teater di Seoul.

Tidak puas menikmati Seoul? Apa kata ke Menara Namsan untuk menikmati kehebatan sebenar kota metropolitan itu dari ketinggian 200 meter sebelum meninggalkan Korea Selatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: