Saturday, May 21, 2011

Julia Ziegler tidak memilih jenama


RAMBANG mata melihat perhiasan rumah.


BARU-BARU ini S3 sempat mengikut Julia meluangkan waktu di pusat membeli-belah AEON Jusco, di AU2, Keramat, Kuala Lumpur.

Kata Julia, kalau tidak berlakon, beliau gemar mengemas rumah, membaca atau membeli-belah di KLCC, Pavillion dan Plaza Sungei Wang, Bukit Bintang di ibu negara.

"KLCC sering menjadi tempat lepak saya kerana ia berhampiran dengan rumah. Kalau ke situ, saya bukan sahaja suka window shopping tapi juga meluangkan waktu di kedai buku Kinokuniya.

"Kalau bab buku ni, saya sanggup menghabiskan ratusan ringgit. Paling banyak beli RM400. Buku terakhir yang saya baca ialah Ambition. Buku ini memberi motivasi kepada kita untuk mengatasi kelemahan diri," ceritanya.

Julia yang menyambut hari lahirnya hari ini berkata, beliau tidak pernah menetapkan bajet setiap kali membeli-belah kerana semua itu bergantung kepada keperluan.

Selain itu, beliau juga tidak menetapkan jenama terkenal menjadi pilihannya setiap kali membeli pakaian, kasut atau beg tangan kerana Julia lebih suka membeli berdasarkan kesesuaian.

"Saya seorang yang simple dalam bab membeli pakaian atau keperluan lain. Kalau saya sudah berkenan dengan satu-satu baju itu, tidak kiralah berjenama atau tidak, pasti saya ambil.

"Bagi saya, kita membeli kerana suka produk itu bukan kerana jenama. Tapi kalau membeli yang tidak berjenama, kita kenalah tanggung risikonya kerana kadang-kadang sekali basuh baju jadi mengecil," katanya yang baru selesai berlakon filem Tokak.

Menurut Julia, selain window shopping, beliau juga boleh menghabiskan masa berjam-jam di kedai perabot atau keperluan rumah kerana melihat barangan di situ hatinya terasa tenang.

Julia yang sempat menjenguk ke kedai peralatan sukan, Erke, untuk membeli bulu tangkis serta kasut sukan berkata, kalau tidak berlakon, beliau juga akan meluangkan masa bermain badminton dengan rakan-rakan artis.

"Semasa belajar di Sekolah Menengah Sri Garden, Kuala Lumpur dulu, saya memang aktif bersukan. Saya sertai acara balapan, bola keranjang, badminton dan bola jaring.

"Sekarang ini kalau ada waktu saya akan bermain badminton dengan rakan artis seperti Dynaz Mokhtar, Sherina atau sesiapa sahaja yang lapang.

"Selalunya saya tidak berjanji, main telefon dan tanya. Siapa free turunlah. Lokasi yang sering jadi tumpuan kami adalah di Ampang atau Bandar Sri Damansara," katanya yang pernah menuntut di Kolej Savannah, Amerika Syarikat.

Julia yang turut mengambil kesempatan membeli barangan dapur itu berkata, sejak menetap di Kampung Baru, beliau dan ibunya sering ke pasar Chow Kit untuk membeli barangan basah.

Beliau yang pakar memasak spaghetti bolognese untuk hidangan keluarga berkata, minat memasak bermula kerana sering melihat ibunya memasak.

"Saya suka memasak sebab ibu pun selalu memasak di rumah. Lagi pun masa sekolah ada mata pelajaran kemahiran hidup. Sebab itulah, kalau pergi pasar saya tahu mana barang murah atau mahal," katanya.

Julia yang bakal tampil dalam filem Man Sewel Datang KL berkata, sekarang ini beliau sedang menunggu kata putus untuk membawa watak bidan dalam sebuah telefilem.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: