Saturday, May 21, 2011

Keasyikan bercuti di Hotel Permai


AZMAN ALI (depan) bersama kakitangan hotel yang sentiasa mengalu-alukan kedatangan pengunjung.


JIKA 'permai' membawa makna suatu yang indah, cantik atau elok dipandang dan dirasai, mungkin tidak keterlaluan dan agak setimpal apabila ia diabadikan bagi sebuah hotel ternama di Kuala Terengganu.

Alami pengalaman di Hotel Permai Kuala Terengganu, kira-kira satu kilometer dari pantai yang masih menampan bayu segar Laut Cina Selatan yang turut mencorakkan wajah pusat bandar raya Kuala Terengganu.

Dua penggal berturut-turut memenangi anugerah kecemerlangan dalam perkhidmatan hotel di bawah kategori 3-Bintang 1996/1997 dan 1998/1999, boleh memberi sedikit bayangan awal mengenai hotel ini.

Anugerah kelolaan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia sebagai satu pengiktirafan kepadanya yang memberi perkhidmatan yang cemerlang dari segi layanan dan kualiti servis kepada tetamu.

Ia diterajui oleh pucuk pimpinan baru, Azman Ali selaku pengurus besarnya yang berpengalaman lebih 25 tahun dalam industri perhotelan dan pernah berkhidmat di hotel-hotel bertaraf lima bintang di Kuala Lumpur.

Senyuman mesra, kecekapan khidmat dan layanan kakitangan serta pegawai, memberi kelebihan kepada hotel ini, di samping keselesaan dan kemudahan persis hotel empat bintang, sekali gus menampilkan hotel ini agak berbeza dengan hotel setaraf dengannya.

Dalam usaha membantu industri pelancongan di negeri ini, Hotel Permai berusaha menjanjikan kepuasan kepada pengunjung dengan kelibat Azman mudah kelihatan bertanya khabar dan masalah yang mungkin dihadapi pelanggan.

Mempunyai ciri-ciri kedudukan yang strategik, ia terletak di jalan raya utama dan hanya beberapa minit berjalan kaki ke pantai Batu Burok yang terkenal dengan keindahan pantainya.

Berhampirannya juga terletak lokasi tarikan pelancong seperti pusat kraftangan, pusat pembuatan keris, Pasar Payang, pusat pembuatan batik, pembuatan bot dan pusat memproses keropok yang boleh mengikat anda untuk bermalam lebih lama.

Hotel ini mempunyai 220 buah bilik yang terdiri daripada bilik standard, bilik Superior/Executive, bilik Family, bilik Executive Deluxe, bilik Executive Suite, dan bilik Premier Suite. Kesemua bilik dilengkapi TV LCD dan siaran Astro, selain perabut bermutu tinggi.

Ia juga mempunyai dua restoran yang dinamakan Cahaya dan Permai Cafe. Kemudahan lain adalah kolam renang dewasa dan kanak-kanak, gimnasium, kemudahan layanan bilik, pusat perniagaan (business centre), dobi/cucian kering, surau serta bilik mesyuarat.

Harga bilik yang ditawarkan adalah berpatutan dengan segala kemudahan iaitu daripada RM160 ke atas.

Bagi mereka yang mahu menikmati hiburan live band, kumpulan Fast & Diana menanti kunjungan anda. Sambil itu, nikmatilah makan malam bersulamkan kopi panas di Restoran Cahaya atau sekadar bersantai di ruang terbuka berhampiran kolam renang.

Hotel ini juga terkenal dengan menu popularnya iaitu Mee Mamak dan Teh Herdawati atau Teh Tarik King dengan resipi istimewa yang tidak boleh dinikmati di mana-mana.

Sebanyak 11 bilik persidangan yang boleh menampung maksimum sehingga 900 orang bagi peserta seminar, mesyuarat, pameran atau persembahan pentas turut disediakan.

Setiap bilik persidangan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden seperti audio dan sistem visual. Bilik yang disediakan itu mengikut beberapa gaya susunan bergantung kepada kehendak pelanggan.

Harga-harga pakej seminar yang menarik dan berpatutan ditawarkan kepada jabatan kerajaan dan juga syarikat korporat sesuai dengan kemampuan setiap jabatan.

Selain itu, pakej lain yang turut ditawarkan adalah mencandat sotong dan memancing di laut.

Hotel Permai juga sesuai dijadikan transit bagi pelancong ke pulau atau selepas mendarat dari pulau sebelum ke destinasi lain. Pakej untuk majlis perkahwinan juga disediakan dengan harga serendah RM55 seorang termasuk 'bridal suite'.

Yang pasti, hotel ini menjanjikan keasyikan kepada mereka yang ingin melawat Terengganu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: