Thursday, May 19, 2011

Jelajah dunia melalui penulisan


BERNICE Narayanan


KETIKA di sekolah rendah, Bernice Narayanan merupakan satu-satunya pelajar bukan Melayu yang menerima anugerah karangan Bahasa Melayu terbaik.

Ia satu pencapaian yang membanggakan buat dirinya dan ahli keluarga. Malah ketika guru bertanya tentang cita-citanya, Bernice dengan bangga berdiri di hadapan kelas di Sekolah Kebangsaan Convent Jalan Peel, Kuala Lumpur menjawab: "Saya ingin menjadi seorang penulis!"

Cinta Bernice kepada dunia penulisan membuatkan beliau tidak pernah berkompromi dalam segala hal berkaitan tugasnya.

Segala amanah yang dipegang, dipikul dan dilaksanakan dengan sebaiknya sehingga beliau juga sanggup meninggalkan rakan-rakan dan keluarga di tanah air untuk menimba pengalaman bertugas di luar negara selama bertahun-tahun.

"Pernah satu hari apabila saya bangun dari tidur dan tertanya-tanya saya ada di negara mana ketika itu. Kerja betul-betul membuatkan saya terlupa segalanya termasuklah keperluan diri sendiri," jelasnya yang ditemui di Royal Commanwealth Society, Damansara Heights, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dek kerana kesibukannya, anak ke lapan daripada 11 beradik ini juga pernah melalui pengalaman jatuh pengsan ketika satu lawatan kerja di Singapura.

"Saya dimasukkan ke hospital dan diberitahu bahawa perut saya mengalami pendarahan dan kebocoran dalaman sebesar ibu jari.

"Malah doktor juga berkata bahawa saya hanya mempunyai 48 jam sahaja untuk hidup. Ketika itu usia saya 29 tahun dan saya berdoa agar Tuhan memberikan memanjangkan usia.

"Saya yakin bahawa Tuhan memakbulkan doa saya akhirnya sihat dan segar hingga kini," imbas Bernice.

Bercerita tentang pengalamannya, Bernice memulakan karier pertamanya sebagai penulis pelancongan di Kuala Lumpur.

Cinta Bernice pada dunia pelancongan dan penulisan membuatkan dia akhirnya berhijrah ke beberapa negara termasuk Australia, Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Asia untuk menambah pengalaman hidup.

"Setelah bertahun-tahun di luar negara, saya akhirnya pulang ke Malaysia dan menubuhkan sebuah syarikat penerbitan, BN & Associates Sdn. Bhd. pada tahun 1987," ujarnya.

Kerana terlalu lama berkhidmat di luar negara, kemahiran Bernice bertutur dan menulis dalam Bahasa Melayu telah pudar sama sekali.

Malah beliau mengaku kini lebih selesa berbahasa Inggeris sahaja kerana apabila takut mesej yang hendak disampaikan menjadi lain apabila berbahasa Melayu.

Walau apa pun cabarannya, syarikat Bernice meraih pelbagai anugerah termasuk Penerbitan Pelancongan Terbaik melalui dua buah buku terbitannya Mystical Malaysia dan 90 Reasons To Visit Malaysia.

Tidak cukup dengan itu, Bernice sendiri turut memenangi anugerah Penulis Pelancongan Terbaik sebanyak dua kali oleh Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia.

Cintanya terhadap dunia penulisan tidak terhad kepada penulisan pelancongan, sebaliknya genre-genre lain termasuk buku cerita untuk kanak-kanak dan sebagainya.

Pada 2003, Bernice menulis buku meja kopinya sendiri bertajuk Mystical Malaysia... Remembering.

Buku itu mengandungi catatan peribadi beliau tentang perjalanan ke segenap negeri di Malaysia dan gambar-gambar yang diambilnya sendiri.

Buku meja kopi kedua Bernice adalah tentang mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ia diterbitkan pada tahun 2007.

"Ketika saya bertanya kepada Tun bahawa saya ingin menulis satu buku tentangnya, Tun berkata 'ada ke orang yang mahu tahu tentang saya'? Malah apabila ia diterbitkan Tun tidak percaya ada yang mahu membelinya," imbas Bernice lagi.

Selepas itu satu demi satu buku tulisan Bernice diterbitkan termasuk buku cerita untuk dewasa bertajuk Tangled Emotion yang diterbitkan dalam dwi bahasa Inggeris dan Melayu.

Hasi kredibiliti yang dibina, Bernice turut diberi kepercayaan untuk mengetuai beberapa projek penulisan dan penerbitan.

Tahun lepas sahaja, Bernice telah berjaya menyiapkan biografi Datuk Seri S. Samy Vellu diikuti dengan buku meja kopi yang bertajuk A Life. A Legend. A Legacy.

Terkini, Bernice menghasilkan koleksi cerita kanak-kanak terbitan Oxford Fajar bertajuk The Fisherman's Daughter and Other Stories. Ia merupakan pengalamannya sendiri yang berada di sebuah perkampungan nelayan.

"Memang satu pengalaman yang tidak akan dilupakan, duduk di salah satu rumah nelayan, makan ikan kering dan merasai kehidupan seperti mereka," katanya yang sehingga kini masih menggemari kisah dongeng pari-pari.

Pencapaian hebat Bernice membolehkan dirinya tersenarai dalam 16 Marquis Who's Who dalam dunia profesional pada tahun 1999.

Malah Pusat Biografi Antarabangsa Cambridge England turut mengiktiraf Bernice dalam kategori World's Outstanding People.

"Saya tidak suka merangka matlamat dalam satu jangka masa panjang, jika diberi hari ini maka saya akan pastikan saya melakukan tugasan yang terbaik untuk hari ini," katanya berkongsi rahsia kejayaan.

Bagaimanapun Bernice punya satu impian iaitu untuk menghasilkan skrip dan filem sendiri.

"Ia akan tercapai satu hari nanti," katanya yang gemar berkebun pada masa lapang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: