Thursday, May 19, 2011

Temui Islam di usia muda


Dialog antara agama bukanlah sesuatu yang baru di seluruh negara. - Gambar hiasan


DIBESARKAN dalam suasana yang kuat kepercayaan kepada Tuhan sedari kecil lagi, pergi ke gereja adalah rutinnya pada setiap hari Ahad. Malah, anak kecil ini juga menghadiri kelas pengajian kitab Injil dan menyertai persembahan koir gereja.

Pun begitu, kesemua yang dilakukan itu bukan jaminan pemilik nama Natassia M. Kelly untuk menjadikan agama sebagai sesuatu yang benar-benar penting dalam hidupnya.

Akui gadis yang berasal dari Amerika Syarikat itu, ada waktu-waktunya dia merasakan seolah-olah dirinya berada hampir dengan Tuhan.

“Saya selalu berdoa kepada Tuhan agar Dia memberikan saya petunjuk dan kekuatan pada ketika saya ditimpa kesusahan atau meminta sesuatu ketika saya menghendakinya.

“Tetapi antara saya dengan Tuhan rasanya semakin lama semakin luput apabila saya sudah tidak lagi merayu dan merintih kepada Tuhan untuk sesuatu hajat. Saya sedar walaupun saya mempercayai Tuhan, tetapi kepercayaan atau pegangan itu begitu lemah.

“Apatah lagi, saya melihat dunia ini seperti sebuah permainan yang mana Tuhan sendiri terlibat di dalamnya dari semasa ke semasa. Dia mengilhamkan orang untuk menulis kitab Injil dan entah bagaimana orang ramai pun mendapat satu kepercayaan daripada ayat-ayat yang tertulis di dalamnya,” luahnya.

Lantas, apabila semakin meningkat dewasa dan semakin sedar tentang dunia, Natassia mula lebih yakin kepada Tuhan. Baginya, Tuhan itu mesti wujud bagi memastikan dunia ini terus berjalan dalam keadaan yang teratur. Seandainya Tuhan itu tidak ada, pastilah dunia ini sudah hancur lebur atau kacau bilau.

Perasaan itu katanya, mewujudkan satu perasaan selamat dengan anggapan terdapatnya satu kuasa ghaib yang memandu dan menjaga manusia.

Tambah Natassia, lumrah kanak-kanak, mereka selalu menerima agama yang dianuti oleh kedua-dua ibu bapa.

Ia tidak ada beza dengan dirinya. Tetapi pada usia 12 tahun, dia mula memikirkan tentang soal-soal kejiwaan atau kerohanian dengan lebih mendalam.

“Apabila berada dalam kesusahan atau memerlukan sesuatu, saya dengan mudah akan berdoa kepada sesuatu yang saya panggil Tuhan. Tetapi siapakah Tuhan ini sebenarnya? Saya pernah bertanya kepada ibu saya, kepada siapakah saya harus berdoa, kepada Nabi Isa atau kepada Tuhan?

“Mempercayai bahawa ibu pasti betul, saya pun berdoa kepada Nabi Isa dan kepada dialah saya memberikan segala pujian dan sanjungan. Saya pernah diberitahu bahawa persoalan agama itu tidak boleh dihujah.

“Pun begitu, saya dan rakan-rakan kerap melakukan perkara yang dilarang ini. Ini kerana, kami sering berdebat tentang aliran-aliran Protestan, Katholik dan agama Yahudi.

“Menerusi perdebatan-perdebatan inilah, saya mencari diri sendiri dengan lebih mendalam dan sedar bahawa saya perlu lakukan sesuatu untuk mengisi kekosongan jiwa.

“ Justeru, sewaktu berusia 13 tahun, saya memulakan pencarian mencari kebenaran,” katanya.

Perubahan sikap Natassia mula disedari oleh ibunya. Ditambah pula dia berkongsi secara terbuka dengan keluarga apa juga ilmu baru yang diterimanya.

Dia mula mempelajari tentang kepercayaan, amalan dan doktrin-doktrin di dalam lingkungan agama Kristian dan sedikit kepercayaan serta amalan dalam agama Yahudi.

“Beberapa bulan dalam pencarian itu, saya sedar bahawa saya juga percaya saya memang ditakdirkan masuk ke neraka.

“Tanpa mengambil kira apa juga dosa-dosa atau kesalahan yang telah dilakukan, saya tetap akan meneruskan perjalanan saya ‘ke neraka', seperti mana yang sering diucapkan oleh paderi-paderi di gereja.

“Saya tidak boleh mempercayai segala ajaran yang terkandung dalam agama Kristian. Walau bagaimanapun saya terpaksa akur dan cuba untuk mempercayai kesemuanya.

“Saya masih ingat banyak kali juga ketika berada di dalam gereja, saya terpaksa bertarung dengan diri sendiri sewaktu diadakan upacara ‘panggilan kepada ketaatan' (Call to Discipleship).

“Saya diberitahu bahawa dengan hanya mengakui Nabi Isa itu Tuhan dan penyelamat, saya akan dijanjikan kehidupan yang kekal abadi di dalam syurga. Saya tidak pernah berjalan di antara kerusi-kerusi gereja untuk menuju kepada paderi yang berdiri di hadapan dengan kedua-dua tangannya terbuka luas.

“Keengganan ini membuatkan saya berasa lebih takut bahawa saya akan menuju neraka,” terang Natassia.

Katanya, sejak itu dia sering dalam keadaan gelisah. Tidurnya diganggu mimpi-mimpi ngeri dan semakin dicengkam kesunyian.

Kebingungan Natassia semakin memuncak apabila kepercayaannya kepada ajaran Kristian semakin goyah. Apatah lagi banyak persoalan yang cuba diajukan kepada penganut Kristian yang berpengetahuan tinggi, tidak pernah mendapat jawapan yang memuaskan hati.

Persoalan mengenai ketuhanan semakin menambahkan kekeliruan dan ketidaktentuan dalam hidupnya.

Untuk selama 15 tahun, Natassia sedar dia sekadar mengikuti suatu kepercayaan atas dasar ia merupakan kepercayaan kedua-dua ibu bapanya semata-mata.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: