Sunday, May 15, 2011

Imbas kenangan melalui poskad


Kepingan kertas yang mewakili budaya, pemandangan, mercu tanda, produk atau perkhidmatan.


MUSA Abu Hassan memang seorang yang unik. Dia memang suka kelainan. Antara minat utamanya adalah mengumpul poskad. Tapi kebanyakan poskad yang ada dalam simpanannya dikirim sendiri.

Tidak kira di mana dia berada pasti dia akan mengepos, pernah dia berbuat demikian semasa menuntut di Universiti California di Davis, Amerika Syarikat (AS) atau ke melancong ke mana-mana saja.

Kebiasaannya Musa akan mengepos sekeping poskad untuk dirinya sendiri sementara empat keping lagi kepada ahli keluarganya.

Tumpuan utamanya adalah poskad percuma. Sebab kebanyakan tanda peringatan itu mudah didapati dari hotel penginapan. Kalau tiada, pasti dia bergegas ke kedai cenderamata berdekatan.

Pada masa yang sama, masa tersebut digunakan untuk membelek kad-kad yang sedia ada. Sebenarnya, minat dalam fotografi banyak mendorong bekas profesor dalam bidang komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM) duduk lama di satu-satu premis cenderamata.

Mengambil kesempatan menelek teknik fotografi yang menakjubkan tertera di bahagian depan kad. Sebab, kebanyakan gambar terbaik itu dihasilkan oleh jurugambar profesional.

“Sebenarnya setiap poskad itu mewakili empat kategori lokasi yang dikunjungi. Ia meliputi pemandangan, mercu tanda, budaya dan produk atau perkhidmatan,’’ katanya dalam pertemuan di kediamannya di Taman Sri Serdang, Selangor.

Atas alasan kukuh itu, anak kelahiran Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Melaka memilih poskad menjadi koleksi utama. Sebab sekeping kertas itu mampu menghimpunkan semuanya dalam satu.

Semua maklumat pengembaraan dicatatkan di situ. Masa, lokasi dan tujuan utama. Umpama nota peringatan. Menjadi panduan semula di masa lapang.

Ditanya sama ada ada pihak yang mempertikaikan minatnya itu, bapa kepada tiga orang anak ini mengiyakan.

Bagaimanapun, dia tak pernah mengambil kisah. Apa yang penting, dia tak perlu menyediakan diari yang berat.

Sekadar sekeping kertas yang mampu mengimbas semua kenangan semula. Terutama tatkala menjejaki lokasi yang sama. Biarpun sudah berbelas tahun lamanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: