Saturday, May 14, 2011

Heliza 'jatuh cinta' dengan fasilitator


Hubungan Heliza dengan kakitangannya seperti sebuah keluarga.


RUPA-RUPANYA pejabat yang beroperasi sejak setahun lalu itu bukan menerbitkan drama, sebaliknya mengendalikan urusan jual beli peralatan pejabat dan ubah suai pejabat.

Orang yang bertanggungjawab meneraju perjalanan syarikat tersebut ialah Heliza atau Nur Heliza, 25, bekas pelajar Akademi Fantasia musim ke lima (AF5).

Melihat pada penampilan Heliza yang lemah lembut dan anggun itu, pasti ramai tertanya-tanya, mampukah pemegang Ijazah Sarjana Pendidikan dan Sains dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu menjadi Pengarah Urusan HHP.

"Kalau Heliza seorang, tidak beroperasilah pejabat ini. Heliza dibantu oleh lima orang kakitangan yang bekerja dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.

"Selalunya, kami bekerja tidak ikut waktu. Kadang-kadangsampai malam masih di pejabat. Hubungan Heliza dengan kakitangan macam kawan-kawan, sebab usia kami yang tidak jauh berbeza," ceritanya.

Selain menjadi tulang belakang memastikan kecemerlangan HHP dalam bidang perniagaan, Heliza turut mempunyai kegemarannya tersendiri.

Kata anak kedua daripada empat adik-beradik itu, buat masa sekarang minat utamanya menjadi fasilitator yang dimulakan sejak menjalani latihan praktikal pada tahun 2009

"Ternyata tugas sebagai fasilitator ini banyak mengajar Heliza menjadi orang yang lebih bersikap terbuka. Dulu Heliza ini seorang yang pemalu. Sekarang macam tidak percaya pula.

"Apa pun Heliza suka kerana matlamat utama adalah untuk berkongsi ilmu dengan orang lain. Sebagai fasilitator, Heliza perlu buat persiapan sebelum berceramah," akuinya.

Beliau yang mengagumi penceramah motivasi Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah, Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood dan Profesor Madya Md. Izuddin Ali (Prof. Izzi) berharap dapat mengikut jejak langkah mereka.

Setakat ini, Heliza sudah berkesempatan mengadakan ceramah motivasi di sekolah menengah di Tawau, Pulau Langkawi dan Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah.

"Saya selalu berpegang teguh pada motto, jika anda ingin mencapai kecemerlangan, anda harus mencari peluang dalam setiap kesulitan bukan mencari kesulitan dalam setiap peluang.

"Saya percaya kejayaan yang diraih daripada kesulitan memberi seribu makna kepada setiap insan," katanya yang boleh dihubungi menerusi laman sosial Facebook dan emel helizahelmiproduction@heliza.com.

Disebabkan kesibukan sebagai penceramah, Heliza meletakkan karier seni di tempat kedua.

Heliza yang pernah muncul dalam filem Syurga Cinta menerusi watak Cikgu Syuhada dan telefilem Doa Ibu pada tahun 2009, berkata beliau tidak kesal mengurangkan kegiatan seni. Baginya, kalau mendapat undangan mengadakan persembahan pentas dan jadual kerjanya tidak bertentangan, sudah pasti beliau terima.

"Bukan berhenti menyanyi, cuma kurangkan sahaja. Kalau orang panggil, saya pergi juga tapi bergantung kepada jadual kerja. Sekarang ini selain melakukan kerja-kerja pejabat, fasilitator dan menyanyi, sesekali saya dipanggil untuk menjadi pengacara.

"Selagi termampu untuk dilakukan, saya akan cuba. Kalau ada peluang saya ingin menjadi pengacara untuk rancangan bual bicara remaja. Mungkin dengan cara ini saya dapat membantu mereka mengatasi masalah," katanya.

Kini syarikat Heliza sedang giat menerbitkan terjemahan al-Quran berjudul Al-Quran Perkata yang bakal berada di pasaran sebelum Ramadan.

Projek menerbitkan terjemahan al-Quran itu dilakukan bersama rakan kongsi, Yamani Angle yang juga menjadikan wajah Heliza sebagai penghias sebuah novel sebelum ini.

"Selain terjemahan Al-Quran, kami juga bakal menerbitkan buku motivasi karya Heliza yang berjudul Diari Heliza. Buku ini adalah hasil nukilan Heliza yang ditulis dalam blog sejak 2006 hingga 2008," jelasnya yang mengharapkan kehadiran seorang lelaki beriman menjadi pasangan hidupnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: