![]() |
| Hilmy Ashley dan Zen sering meluangkan masa bersama untuk berenang jika mempunyai kelapangan. |
SEHARIAN menghabiskan masa di konti stesen radio 24 dan studio berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Hilmy Ashley atau mesra disapa sebagai Hill ini kadang kala mencuri masa untuk lari dari rutin hariannya yang memenatkan itu.
Justeru, bagi mencari aktiviti santai yang boleh memberi ketenangan, sesekali apabila diberi peluang untuk berehat, Hill akan menghabiskan masanya di kolam renang yang terdapat di kediamannya di Sri Hartamas.
Jika teman serumahnya juga ada kelapangan, mereka akan sama-sama melakukan aktiviti riadah yang menyihatkan seperti berenang.
Lazimnya, ujar Hill, dia akan berenang pada waktu pagi kerana ketika itu, suasana di kolam renang lebih tenang berbanding waktu petang yang dipenuhi oleh kanak-kanak.
"Sebelum berenang, sama ada saya atau rakan akan pastikan sarapan dibeli terlebih dahulu.
"Sambil berenang, saya boleh berhenti sekejap untuk makan.
"Jadi, saya tidak perlu membuang masa di gerai-gerai semata-mata untuk bersarapan," kata Hill yang bakal melancarkan single sulungnya berjudul Cinta Plastik tidak lama lagi.
Tidak dinafikan, walaupun aktivitinya itu memenatkan, Hill berasa begitu rileks kerana boleh merehatkan mental dan fizikalnya.
Tambahnya, selain boleh menyihatkan badan dengan berenang, aktiviti itu juga akan membuatkan badannya berasa segar dan lega dek kesejukan air.
"Di samping itu, saya boleh menghilangkan rasa lesu dan bersedia untuk menghadapi rutin biasa yang bakal dilalui keesokkan harinya.
"Selepas selesai berenang, selalunya saya akan berehat di rumah sambil membuat pemerhatian dengan menonton berita atau mendengar radio saluran lain," bicaranya kepada S3.
Ditanya lebih lanjut bagaimana dia mula melibatkan diri dengan sukan renang, Hill memberitahu, rakan serumah iaitu Zen yang mula-mula mengajaknya melakukan aktiviti itu setahun yang lalu.
"Ketika itu, Zen memberitahu saya, dia bosan berenang seorang diri. Jadi dia meminta saya menemaninya.
"Tak sangkalah pula aktiviti ini menyeronokkan. Lama kelamaan, ia terus melekat sebagai hobi saya," katanya.
Tambah Hill, berbanding sukan lain, renang lebih mudah dan ringkas kerana tidak memerlukan dia membeli pelbagai kelengkapan sukan yang mahal.
"Cuma perlukan seluar pendek, sudah memadai," jelasnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: