KUALA LUMPUR - Dalam usaha memerangi jenayah pemerdagangan manusia dan migrasi secara haram di rantau Asia Pasifik, Malaysia dan Australia semalam mengumumkan satu tatacara tindakan dua hala baharu, yang antara lain menampilkan perjanjian untuk bekerjasama dalam memindahkan kumpulan pemohon suaka.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua kerajaan, kedua-dua pihak berkata, di bawah tatacara baharu itu, pemohon suaka yang tiba menerusi laut di Australia akan dipindahkan ke Malaysia.
Sebagai balasan Australia akan meningkatkan program kemanusiaan di samping mengambil tanggungjawab lebih besar dalam berkongsi beban untuk usaha penempatan semula pelarian yang ketika ini berada di Malaysia, menurut kenyataan itu lagi.
Perdana Menteri kedua-dua negara bersetuju supaya unsur penting tatacara itu akan merangkumi pemindahan 800 pendatang yang tiba secara tidak sah, yang sampai di Australia selepas tarikh berkuat kuasa tatacara itu, ke Malaysia, untuk menentukan status pelarian.
"Sebagai balasan dalam tempoh empat tahun, Australia akan memindahkan 4,000 pelarian yang ketika ini berada di Malaysia,'' menurut kenyataan itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: