Thursday, May 5, 2011

Gubahan hantaran sentuhan kaum Adam


Ben Firdaus Azraai dan Anuar Haikal (kiri) tekun dalam menyiapkan gubahan yang ditempah pelanggan.


HANTARAN merupakan hadiah daripada suami kepada isteri dan sebaliknya yang telah menjadi adat dalam majlis perkahwinan orang Melayu sejak sekian lama.

Lazimnya, hantaran yang dibawa semasa majlis perkahwinan berlangsung akan digubah cantik. Untuk menghasilkan hantaran yang cantik dan menarik, ia memerlukan kreativiti individu tersebut agar apa yang dihasilkan mempunyai keunikannya yang tersendiri.

Selain itu bakat juga penting. Namun tidak memiliki bakat bukan bermakna seseorang itu tiada kebolehan malahan hari ini kita sering lihat, mereka yang terlibat di dalam industri ini ialah kaum Adam.

Itulah kelebihan yang ada pada dua anak muda yang berasal dari Selangor dan Kuala Lumpur ini, Ben Firdaus Azraai, 26, dan Anuar Haikal, 23, yang mungkin tidak dimiliki oleh mana-mana anak muda seusia mereka.

Minat mereka yang begitu mendalam di dalam seni kreativiti membolehkan kedua-duanya menghasilkan sesuatu gubahan dan hiasan yang mempunyai keunikannya tersendiri.

Walaupun Anuar masih lagi bergelar mahasiswa di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, ia sedikit pun tidak menghalang kedua-dua anak mudah ini untuk menubuhkan syarikat yang menyediakan perkhidmatan perancang perkahwinan.

Yang pasti, setiap gubahan yang terhasil adalah rekaan dan idea masing-masing di mana ia dilihat lebih berkonsep moden.

Walaupun Qarmasutra Wedding & Events baru ditubuhkan dua tahun lalu, ia mampu mengumpul pelanggan dari serata negara dan tidak ketinggalan turut mempunyai pelanggan tetap.

Selain merancang untuk majlis persandingan, mereka turut dipertanggungjawabkan untuk majlis pertunangan, majlis-majlis korporat, majlis hari jadi dan sebagainya.

Antaranya majlis memperkenalkan duta Safi Rania Gold, majlis pelancaran syarikat Dafi, majlis memperkenalkan duta dan pelancaran produk Safi Balqis dan majlis pelancaran produk Glow.

Usaha gigih kedua-dua anak muda ini berbaloi apabila ada antara pelanggan mereka terdiri daripada selebriti dan orang kenamaan.

Berbicara lanjut mengenai penglibatan mereka di dalam bidang ini, ia adalah secara tidak sengaja dan segala-galanya bermula ketika mereka sekadar membantu seorang rakan yang ingin melangsungkan majlis perkahwinan.

"Walaupun Anuar masih lagi bergelar pelajar, tetapi kami berdua sememangnya dari bidang yang sama iaitu Seni Bina Dalaman.

"Mungkin kerana minat yang mendalam dalam bidang ini, secara tidak langsung ia mampu menjana pendapatan sampingan buat kami berdua.

"Yang penting, apa yang dihasilkan oleh kami baik daripada segi hantaran, reka bentuk pelamin mahupun seni hiasan dalaman ia adalah rekaan yang terkini, cantik, unik dan sudah pasti berkonsepkan moden,'' ujar Ben ketika ditemui di Shah Alam, baru-baru ini.

Bagi Ben dan Anuar, mereka gemar menggunakan bunga-bunga segar serta idea-idea terkini dalam menghasilkan gubahan.

Mengulas lanjut mengenai perniagaan yang diusahakan, jelas Ben, selain menawarkan perkhidmatan perancang perkahwinan, mereka turut menyediakan perkhidmatan hiasan dalam untuk rumah, pejabat atau apa sahaja.

Untuk itu, antara mereka berdua, kedua-duanya telah bersetuju untuk menumpukan bidang masing-masing di mana Anuar telah ditugaskan untuk perancang perkahwinan manakala Ben untuk hiasan dalaman.

Bagaimana sekiranya banyak tempahan diperoleh, kedua-duanya akan saling bekerjasama untuk menghasilkan yang terbaik buat pelanggan.

Dalam masa yang sama, bagi memenuhi impian para pelanggan, Ben dan Anuar tidak keberatan menerima tempahan mengikut konsep dan tema yang dikehendaki.

Menurut Ben, dalam usaha memastikan setiap kerja memenuhi piawai pelanggan, mereka sentiasa berbincang terlebih dahulu dengan pelanggan agar apa yang diingini tercapai.

Bagi mereka di luar sana, jangan memandang rendah akan kelebihan Ben dan Anuar kerana tangan mereka juga mampu mengubah apa jua menjadi cantik dan menarik untuk tatapan umum.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan Ben dan Anuar, anda boleh layari www.qarmasutra.blogspot.com atau hubungi talian 017-3056449 (Anuar) atau 012-2303812 (Ben).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: