Thursday, May 5, 2011

Balai Polis Komuniti tangani kegiatan jenayah di Indera Mahkota


Sharifuddin Ab. Ghani (duduk, tengah) diapit Mohd. Jasmani Yusoff (kanan) dan Riduan Hashim (kiri) bergambar bersama pegawai dari IPD dan IPK di hadapan bangunan Balai Polis Komuniti Indera Mahkota, Kuantan, semalam.

KUANTAN 4 Mei - Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini melancarkan Balai Polis Komuniti Indera Mahkota di sini dalam usaha menangani kegiatan jenayah di kawasan tersebut.

Penubuhan balai polis itu sekali gus memudahkan penduduk di kawasan terbabit menjalinkan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berhubung kegiatan jenayah atau penyalahgunaan dadah di kawasan itu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani berkata, masyarakat perlu terus mempertingkatkan kerjasama dengan polis dalam usaha membantu menangani kegiatan jenayah di kawasan masing-masing.

"Kita sangat memerlukan sokongan maklumat daripada masyarakat dan kedua-dua pihak harus bekerjasama untuk membanteras kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

"Masyarakat sering terdedah dengan jenayah dan mereka juga banyak maklumat mengenainya. Dengan hubungan baik ini, kadar jenayah dapat dikurangkan," katanya ketika merasmikan Balai Polis Komuniti Indera Mahkota, hari ini.

Turut hadir, Ketua cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Datuk Riduan Hashim dan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff.

Seramai lapan anggota ditempatkan di Balai Polis Komuniti Indera Mahkota yang diketuai Sarjan Mohd. Nasri Ibrahim.

Sharifuddin berkata, setiap penduduk perlu melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan termasuk program Komuniti Kepolisan yang banyak memberi kesan positif dalam membendung jenayah.

"Tidak dinafikan kesedaran dan kerjasama orang ramai banyak menyumbang ke arah mewujudkan kawasan yang bebas daripada jenayah dan penyalahgunaan dadah," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: