Tuesday, May 10, 2011

Gejala jual beli pemain landa Rentap Futsal


GELOMBANG B menjuarai kategori lelaki terbuka pada kejohanan Rentap Futsal Putrajaya Kosmo! tahun lalu.


KUALA LUMPUR - Jual beli pemain bukan sahaja berlaku dalam liga bola sepak tempatan malah tempiasnya turut dirasai Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! yang akan berlangsung akhir bulan ini.

Masakan tidak, pasukan-pasukan yang bertanding pasti mahu menampilkan pemain-pemain yang berkaliber dan hebat bagi memastikan mereka berjaya membolot hadiah-hadiah wang tunai yang lumayan.

Bagi para pemain pula, mereka juga mahu beraksi dengan pasukan yang berstatus juara dan kerap menyertai kejohanan-kejohanan besar seperti yang dianjurkan Kosmo!.

Lazimnya, apa yang berlaku ialah ada pengurus pasukan membuat tinjauan terhadap pasukan-pasukan tertentu di beberapa kejohanan futsal sebelum bertindak 'membeli' pemain pasukan tersebut yang terbukti kehandalannya.

Pemain terbabit kemudian ditawarkan menyertai pasukan baru dengan habuan lebih menarik dan seterusnya menyertai kejohanan futsal yang lebih besar.

Apa yang malang ialah pasukan yang kehilangan pemain-pemain hebat bakal berdepan dengan masalah untuk mencari pengganti dalam masa yang terhad.

Pengurus pasukan Gelombang B dari Kuala Terengganu, Yahaya Mohd. Noor berkata, sejak menubuhkan pasukan tersebut, banyak pemain berbakat pasukannya telah dipancing oleh pasukan lain.


PASUKAN Osama Laden turut menjadi mangsa jual beli pemain setiap kali musim kejohanan futsal bermula.


Namun, katanya, apa yang berlaku itu sukar dielakkan memandangkan pemain-pemain tidak terikat dengan sebarang kontrak dengan pasukan lama dan mereka bebas untuk memilih mana-mana pasukan untuk karier mereka.

"Selepas Kejohanan Rentap Futsal Kosmo! tahun lalu, banyak pemain saya berhijrah ke pasukan lain walaupun status kami bergelar juara. Mungkin masing-masing mahukan peluang bermain dengan lebih kerap," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Sementara itu, pengurus pasukan Osama Laden, Khairul Azri Jannury pula berkata, pasukan-pasukan bertaraf kelab banyak 'membeli' pemain pasukannya yang hanya ditubuhkan atas dasar minat yang mendalam terhadap sukan futsal.

Menurutnya, banyak pemain yang pernah dikendalikannya kini beraksi sebagai pemain kebangsaan dan terbabit dalam liga Felda selain bermain untuk pasukan-pasukan elit dalam kejohanan futsal.

"Futsal sudah jadi macam liga bola sepak tempatan, ada jual beli pemain sebab ia bukan sesuatu yang mustahil.

"Pemain mana yang tidak mahu beraksi dengan pasukan yang hebat selain diberi elaun-elaun tertentu sebagai insentif," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: