Sunday, May 22, 2011

Erin si manis 17

pix_gal0
“SAYA tak mahu jadi perigi cari timba! Selagi dia tak buka mulut, biarlah saya simpan perasaan itu dalam hati. Sekalipun hati saya berkenan pada dia, tapi beliau tak pernah luahkan apa-apa perasaannya terhadap saya, jadi lebih elok saya pendamkan saja, tak perlulah kita mulakan dulu,” kata aktres remaja, Erin Malek, 17, mengenai status dirinya yang dikatakan sedang rapat dengan seorang pemuda dua tahun lebih berusia daripadanya.

Kata pelakon yang melonjak namanya menerusi drama bersiri Durja Ningsun ini, pemuda yang dimaksudkan itu bukan terdiri di kalangan artis, sebaliknya seorang pelajar yang bekerja sambilan. Akuinya lagi, dia memang menaruh hati terhadap pemuda berkenaan, namun setakat ini beliau belum ada kekuatan untuk meluahkan perasaannya itu lantaran tiada ‘kata azimat’ yang dilontarkan si teruna terlebih dulu.
Justeru, Erin menyerahkan untung nasib perhubungan itu kepada faktor masa dan keadaan. Ditakdirkan suatu hari nanti, pemuda yang diminati Erin secara rahsia itu tiba-tiba meluahkan perasaannya, namun jika tidak sesuai dengan situasi, dia terpaksa juga melepaskannya lantaran fokus utamanya ketika ini ialah terhadap pelajaran.
Lazimnya remaja yang masih berada di alam persekolahan sering terjebak dengan cinta monyet, begitu juga dengan Erin apabila dia mengakui baru saja putus cinta monyet beberapa bulan lalu. Tambah Erin, boleh dikatakan hampir setiap tahun dia gagal dalam cinta monyet.

“Cinta monyet pertama saya ketika berada di Tingkatan Satu. Sampai sekarang, bekas kekasih masih satu sekolah dengan saya, kelas kami sebelah menyebelah lagi. Sebenarnya saya dah malas nak terjebak dengan cinta monyet, sebab itu apabila saya meminati seseorang, saya simpan dalam hati saja. Tapi, jika ditakdirkan 2011 ini saya sekali lagi terjebak dengan cinta monyet, saya tak mampu menolaknya.

“Namanya pun cinta monyet, jika gagal lagi, saya sudah bersedia. Bagi saya, dalam usia begini, love is for fun, maksud saya perhubungan yang tidak membabitkan sebarang komitmen seperti merancang untuk bertunang mahupun berkahwin dalam usia muda. Seperti yang sering saya tekankan sebelum ini, 2011 saya bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tentunya tumpuan saya terhadap peperiksaan yang bakal tiba,” katanya lagi.

Namun, sepanjang minggu lalu Erin berada di Perlis menjayakan penggambaran telefilem Insya-Allah untuk siaran Astro Oasis, justeru dia berterus-terang terpaksa ponteng sekolah kira-kira seminggu. Katanya tadi fokus dia ketika ini ialah terhadap SPM, namun beliau nampaknya mengambil jalan mudah dengan tidak hadir ke sekolah semata-mata memberi keutamaan kepada bidang lakonan.
“Menjelang 2011, saya semakin selektif sebelum menerima sebarang tawaran lakonan, jadi kekerapan ketidakhadiran saya ke sekolah semakin menurun. Saya perlu berkorban. Sekalipun sibuk berlakon, pelajaran tidak harus dipinggirkan. Saya tak mahu jadi artis selama-lamanya atau berlakon sampai tua, tiba masa kita akan berundur, jadi pendidikan sempurna adalah penentu masa depan,” jelasnya.

Beralih kepada isu yang agak sensitif, seks bebas di awal usia remaja, Erin tidak keberatan berkongsi pengalamannya apabila sering berdepan dengan rakan seusia atau teman persekolahan yang tidak segan silu berbicara soal perhubungan jenis secara terbuka di kalangan mereka. Baginya, remaja hari ini lebih terbuka berbicara soal seks dan menganggap isu itu sebagai perkara biasa.

“Lazimnya apabila terserempak dengan remaja yang gemar bercakap soal seks, saya angkat kaki, tak minat masuk campur. Itu lebih baik daripada turut terjebak atau menjadi teruja apabila mendengar cerita atau pengalaman mereka. Secara peribadi, seks pada usia remaja tanpa sebarang ikatan perkahwinan adalah sesuatu yang tidak sihat kerana ia bakal mengundang pelbagai gejala negatif seperti pembuangan bayi.

“Perempuan perlu jaga maruah dan mahkota diri, lebih-lebih lagi remaja. Bagi saya, jangan sesekali mencuba kerana sekali terjebak, ia boleh menjadi ketagih dan yang rosak adalah diri remaja itu sendiri. Justeru, seks yang sewajarnya adalah selepas perkahwinan,” kata Erin.

Namun, adakah Erin pernah berdepan dengan situasi ‘dipelawa’ oleh rakan sebaya melakukan hubungan seks kerana rata-rata remaja hari ini menjadikan hubungan jenis seperti satu permainan atau kebanggaan sekiranya seseorang itu berjaya meniduri sang perawan.

“Tak pernah! Dah saya katakan tadi, apabila berdepan dengan rakan sebaya yang gemar bercakap soal seks, saya beredar, tak mahu dengar. Jadi, melihatkan situasi itu, mereka faham, saya tak berminat dengan seks sebelum perkahwinan. Lama-kelamaan mereka bosan dengan sikap saya, mereka pun tak berani nak tanya, jauh sekali nak ‘pelawa’!,” tegas Erin.

‘Saya reda jika papa kahwini Fiza’

ERIN Malek juga pernah diheret dalam kancah kontroversi apabila bapanya, Abdul Malek Marwi seorang jurukamera dikatakan menjalin hubungan intim dengan bekas anggota Elite yang juga dramatis, Fiza. Fiza ketika itu masih bergelar isteri dan gara-gara `kecurangannya', Fiza kini sudah pun diceraikan suaminya.

Tambah Erin, selepas kontroversi berkenaan, ibu bapanya mula naik turun Mahkamah Syariah sejak Disember lalu dan kini mahkamah mengesahkan perceraian kedua-dua orang tuanya. Akuinya lagi, sejak perceraian itu, dia bersama adik-adik, Fieqa, 16, dan Qiela, 11, kini menetap bersama ibu mereka, Harryzah Hassan atau Liza.

"Gosip cinta antara Fiza dan papa (Malek) adalah punca rumah tangga mama dan papa gagal diselamatkan. Nak marah pun tak guna, benda dah jadi, tak ada apa yang perlu dikesalkan, saya reda. Bagi saya, daripada mama `share' papa dengan orang lain (Fiza), biarlah dia solo," kata Erin sebelum ini.

Justeru, apakah kesudahan ‘percintaan gelap’ antara Malek dan Fiza, Erin tanpa berselindung memaklumkan bapanya masih menjalin perhubungan intim dengan Fiza sekalipun pernah tersiar di media massa sebelum ini Fiza dicanang akan berkahwin dengan pemuda lain, bukannya jurukamera itu.

“Papa masih dengan Fiza, saya hormati keputusannya. Saya malas nak fikir panjang-panjang. Apa saja keputusan papa terhadap Fiza, saya reda,” katanya tenang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: