Monday, May 23, 2011

Keceriaan musim bunga


BEG tangan motif hati ideal digayakan dengan busana konsep santai


YAKIN melangkah dalam gaya santai, funky dan ranggi, barisan model di pentas peragaan di Minggu Fesyen Mid Valley Megamall 2011 baru-baru ini berjaya mencuri perhatian khalayak.

Menyarung koleksi musim bunga Carlo Rino yang mengangkat tema The Rhythm of Spring, para tetamu memberi tepukan gemuruh dengan seleksi busana ilham pereka jenama itu.

Demikian gambaran kemeriahan acara yang berlangsung dalam suasana dekorasi pentas yang mempesonakan itu.

Selain berpeluang menyaksikan barisan model profesional mengatur langkah dalam persalinan busana menawan, para pengunjung acara tidak ketinggalan mencuci mata dengan seleksi aksesori dan pakaian daripada pelbagai jenama yang diperagakan.

Jenama Carlo Rino yang sememangnya popular menghasilkan koleksi beg tangan dan sepatu mengikut cita rasa anak muda ternyata tidak mengecewakan penggemarnya. Jenama antarabangsa tersebut sudahpun bertapak di sembilan buah negara seperti Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand, Vietnam, China, Hong Kong, Jepun dan Arab Saudi.

Saban tahun, Carlo Rino yang diasaskan oleh warga Itali iaitu Carlo Pollini dan Rino Luiza sekitar tahun 1986 itu tidak pernah menghampakan pencinta fesyen tempatan. Ia sentiasa menampilkan rekaan dan potongan produk yang cantik sekali gus menjadi koleksi wajib buat wanita Malaysia.


KONSEP suai padan antara pakaian polos dan bercorak menyuntik gaya funky pada penampilan remaja.


Selain ideal digayakan sewaktu bersantai atau menghadiri majlis formal, himpunan kasut dan beg tangan jenama Carlo Rino juga menarik untuk diperagakan ke majlis minum petang mahupun melancong bersama teman.

Namun, keistimewaan Carlo Rino tidak terhad pada koleksi kasut dan aksesori semata-mata.

Dalam majlis peragaan itu, suasana pentas bagaikan kembali ke era fesyen retro yang berwarna-warni dan sarat motif flora serta corak. Kombinasi pakaian yang dipamerkan tampak menarik dengan kehadiran item pakaian popular dalam kalangan kelompok wanita moden hari ini seperti sarung kaki ketat (legging), jaket mini dan skirt pendek.

Lebih menarik perhatian, koleksi blaus dan baju-T polos rona lembut tidak dibiarkan kelihatan ringkas begitu saja. Ia dipadankan bersama skirt dan seluar bercorak.

Melihat kreativiti dan keberanian wanita kini yang tidak lagi konservatif dalam bab berfesyen secara tidak langsung mendorong Carlo Rino memperkenalkan himpunan beg tangan dan kasut rona terang serta kontra.

Barangkali, segelintir wanita enggan melakukan sedemikian kerana terlalu biasa dengan pemilihan warna-warna selamat. Walau apapun alasannya, tidak salah kalau sesekali mencuba kelainan agar dapat mempelbagaikan imej mengikut situasi dan acara yang mereka hadiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: