Wednesday, May 4, 2011

Dimensi baru lakonan mereka


FILEM Seru menggandingkan Nisha Dirr dan Sharnaaz Ahmad untuk kali pertama.


FILEM Seru arahan Woo Ming Jin dan Pierre Andre yang mula ditayangkan sejak 28 April lalu telah mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.

Apatah lagi dengan pendekatan baru, slasher horror movie yang ditampilkan dalam filem tersebut membuatkan ramai yang telah berpusu-pusu ke pawagam untuk menyaksikan karya seram ini.

Sudah pasti, dua bintang utama filem Seru iaitu Sharnaaz Ahmad dan Nisha Dirr merupakan antara yang cukup teruja menanti kelahiran filem lakonan mereka itu di pawagam.

Dalam sesi fotografi yang berlangsung di ibu pejabat Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini, baik Sharnaaz mahupun Nisha, masing-masing berkongsi rasa tentang filem terbitan Tayangan Unggul Sdn. Bhd. (TUSB) dan Hanamia Services Sdn. Bhd. itu.

Mahu terus raih peluang

PELAKON kacak kelahiran Gelugor, Pulau Pinang ini boleh dikategorikan masih lagi baru dalam dunia lakonan.

Namun, nama Sharnaaz kini sudah mula meraih perhatian meluas lantaran populariti yang dikecapinya menerusi drama-drama tempatan seperti Dottie, Kum Kum, Ungunya Cinta, Penanggal, Ekspres Dania dan K.I.T.A Carefree.

Ditambah dengan wajah kacak yang dimilikinya menjadikan satu bonus untuk Sharnaaz lebih dikenali dan digilai oleh peminat hiburan tempatan.

Justeru, apabila diberi peluang membintangi filem Seru yang merupakan filem pertama lakonannya, Sharnaaz menganggapnya sebagai batu loncatan untuk terus meneroka bakat lakonannya.

Malah, dia juga mengakui cabaran berlakon filem lebih tinggi berbanding drama terutama pada aspek penghayatan.

“Saya bertuah mendapat bimbingan daripada Pierre yang banyak memberi input yang sangat berguna tentang dunia lakonan. Ternyata, dia tidak lokek untuk berkongsi apa yang dia miliki dengan mereka yang memerlukan.

“Sewaktu di lokasi, dia memang seorang yang tenang dan relaks namun, itu tidak bermakna dia tidak serius dengan kerjanya. Sehinggakan Pierre masih lagi boleh bersabar dengan saya semata-mata mahu merakamkan satu adegan saja dalam jangka masa tiga jam.

“Ada kalanya saya fikir saya sudah memberikan yang terbaik tetapi Pierre merasakan saya mampu menggandakan lagi mutu lakonan saya dalam menghidupkan watak Jeff.

“Antara yang paling sukar buat saya apabila saya harus menangis tetapi dalam masa yang sama perlu mengekalkan kejantanan saya. Pierre tidak mahu Jeff kelihatan sebagai seorang yang lemah walaupun berdepan dengan saat genting,” cerita Sharnaaz dalam loghat utara sambil ketawa kecil.

Bukan seram biasa

BUKAN mahu memuji melangit hanya kerana dia membintangi filem seram itu, tetapi dia yakin Seru dapat diterima baik oleh masyarakat.

Bagi Sharnaaz, sudah tiba masanya penonton tempatan mula menerima santapan baru dan segar yang dihasilkan oleh pembikin filem di negara ini.

“Walaupun pendekatan yang ditonjolkan dalam Seru ini sudah digunakan dalam filem Hollywood seperti Quarantine dan Paranormal Activity, tetapi, saya percaya Seru mampu menambat hati audiens,” katanya yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran untuk drama bersiri Kasih Alia yang akan ditayangkan di TV3 sepanjang bulan Ramadan nanti.

Nisha cabar diri

TIDAK keterlaluan dikatakan, peminat hiburan tempatan lebih melihat Nisha sebagai seorang aktres yang serasi dengan watak wanita gedik dan nakal.

Dalam masa yang sama Nisha tidak mahu dilabelkan sebagai pelakon stereotaip.

Sebagai seorang aktres yang hampir tujuh tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, Nisha mahu terus mencabar dirinya dengan watak-watak yang lebih hebat.

Atas alasan itu, dia tidak teragak-agak untuk menerima tawaran berlakon filem Seru kerana merasakan watak Sari mampu melonjakkan dirinya ke satu tahap lebih tinggi sebagai pelakon.

“Bukan mudah sebenarnya untuk membawakan watak Sari kerana ia menuntut cabaran dan memerah tenaga saya semaksimum mungkin terutama untuk babak pergaduhan dengan Jeff selepas dia dirasuk.

“Sepanjang berlakon dalam filem ini, saya mendapat kepuasan kerana inilah kali pertama saya berpeluang membawakan watak seperti ini.

“Dengan bantuan Pierre, saya sudah memberikan yang terbaik seperti mana yang dimahukan beliau,” ujar Nisha atau nama sebenarnya Nik Shahri’ah Nik Dir ini yang membuat kajian wataknya dengan menonton filem Quarantine.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: