Wednesday, May 4, 2011

ADM kisah hidup siswi


KARMILA (kanan) terpengaruh dengan ajakan teman karibnya sehingga terjerumus ke lembah pelacuran.


Desakan hidup yang tinggi di kota sering kali menjadi perangkap maut untuk menjerat mereka yang mempunyai jati diri dan jiwa yang rapuh.

Kemewahan hidup yang ditaburi dengan wang ringgit dan barangan berjenama merupakan umpan yang paling berkesan dalam memerangkap para gadis yang bertandang ke ibu kota.

Umpan itu juga yang mampu membuatkan seorang anak membuang ibu yang melahirkan sehingga membiarkan ibu terkapai-kapai di kampung sendirian untuk meneruskan hidup.

Menyedari akan realiti kehidupan sedemikian yang sering menjerat siswi terjerumus ke lembah hitam, Nasreen Pictures Sdn. Bhd., tampil menonjolkan sisi gelap realiti sebenar kehidupan mahasiswi dalam drama Ampunkan Dosaku Mak (ADM) yang akan disiarkan di TV9 malam ini.

ADM menampilkan aktres Ellie Suriati sebagai Suhana, seorang ibu tunggal beranak satu yang ditinggalkan sendirian setelah anak gadisnya Karmila (Fouziah Gous) ke ibu kota untuk menyambung pengajian.

Kisah duka Suhana bermula apabila Karmila terpengaruh dengan gaya hidup mewah di kota dan sering meminta wang belanja daripada Suhana kononnya untuk kegunaan pengajian.

Tanpa disedari Suhana, Karmila sebenarnya telah hanyut dalam kehidupan di kota bersama teman lelaki yang sebenarnya sedang memerangkap Karmila untuk diserahkan kepada bapa ayam.

Namun perjalanan hidup Karmila lebih tragis apabila mengetahui bapa ayam yang merangkap dirinya itu adalah bapa kandungnya sendiri.

" ADM adalah sebuah cerita yang mengisahkan isu semasa yang telah lama wujud dalam masyarakat kita, cuma ia masih lagi tidak disedari dan dipandang serius oleh semua pihak.

" Ramai sebenarnya mahasiswi yang terpengaruh dan terperangkap dengan jalan hitam berkenaan dan ADM tampil untuk menyedarkan masyarakat kita mengenai situasi itu,"kata Nasreen Ngasri ketika dihubungi Hits baru-baru ini.

Nasreen ataupun lebih dikenali dengan panggilan Darling menegaskan, ADM adalah sebagai landasan untuk membuka mata masyarakat agar lebih prihatin dengan masalah sosial yang semakin membimbangkan itu.

Baginya, akibat mudah terpengaruh dengan gaya hidup mewah di kota merupakan antara faktor yang menyumbang kepada pelbagai masalah yang lebih serius yang sedang menjerut leher generasi muda hari ini.

" Jika kita lihat semakin hari semakin ramai yang menjadi mangsa kemewahan ini dan sanggup terjun ke lembah pelacuran ataupun menjadi keldai dadah.

" Jadi sudah sampai masanya semua pihak untuk berganding bahu dalam menyelamatkan generasi muda ini agar mereka menjauhi jalan hitam," ujar kakak kepada Naszriah (Anne).

Mengulas tentang pemilihan Ellie dan Fouziah untuk meneraju ADM, Darling berkata, pemilihan dibuat setelah berunding dengan pengarah dan penggerak ADM lain.

Jelasnya, Ellie dilihat amat sesuai untuk menjiwai watak Suhana dan kolaborasi bersama Fouziah sebagai anak, pasti meninggalkan impak pada penonton.

" Ellie sesuai untuk menjiwai watak-watak berat seperti itu dan gandingannya bersama Fouziah telah berjaya menghidupkan ADM," ujar Darling.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: