Saturday, May 7, 2011

Dikir barat pulau


DIKIR barat dijadikan sebagai aktiviti paling popular yang menarik perhatian pelancong tempatan dan asing ke D'Lagoon.


Ini kerana pulau-pulau seperti yang terdapat Terengganu dan Pahang, mula beroperasi setelah kerja-kerja pembersihan dilakukan bagi menerima kedatangan pelancong.

Bukan sahaja pelancong tempatan, malah warga asing juga mula membuat tempatan bagi menghabiskan musim percutian masing-masing.

Antara tumpuan pelancong ialah di Pulau Perhentian yang terletak di Besut, Terengganu.

Setelah resort-resort dan calet di pulau berkenaan ditutup kira-kira empat bulan lalu, kini ia mula beroperasi semula bagi menerima kedatangan pelancong.

D'Lagoon antara yang menjadi tumpuan ramai disebabkan pakej menarik disediakannya.

Malah, faktor geografi kedudukan D'Lagoon itu sendiri yang terasing dari resort dan calet-calet lain, turut menambah hati pelancong.

Keadaan itu, menjadikan D'Lagoon sebuah penginapan yang tenang dan menyajikan suasana damai.

Seperti resort dan calet lain, masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri dengan menawarkan pelbagai produk bagi menarik kedatangan pelancong.

Berbeza bagi D'Lagoon, ia cuba sedaya upaya mengetengahkan seni budaya masyarakat Melayu agar dapat dikongsi bersama oleh pelancong asing.

Mereka yang sering berkunjung ke D'Lagoon pasti mengetahui bahawa penginapan tersebut memang terkenal dengan persembahan dikir barat.

Ekoran itu, pelancong asing yang menginap di D'Lagoon pasti tertunggu-tunggu untuk melihat serta menyertai sendiri persembahan dikir barat berkenaan.

Pengurus D'Lagoon, Abdul Razak Mohd. Nor memberitahu, bagi menarik kehadiran pelancong, pihaknya turut menyediakan pelbagai kemudahan melibatkan resipi masakan, bilik penginapan, aktiviti laut, skuba dan banyak lagi.

''Sejak kebelakangan ini, pelancong asing yang menginap di sini akan membuat permintaan bagi menyaksikan persembahan dikir barat.

''Kami di D'Lagoon akan memenuhi permintaan pelancong.

''Selalunya persembahan dikir barat akan diadakan pada sebelah malam,'' katanya.

Abdul Razak berkata, setiap persembahan dikir barat sering disertai oleh para pelancong asing yang begitu berminat menghayati seni budaya masyarakat Melayu itu.

Di samping itu, dari segi aktiviti luar, orang ramai juga boleh bersiar-siar menaiki bot, memancing, snorkeling, menyelam dan menaiki banana boat,'' katanya.

Aktiviti menyelam di Pulau Perhentian sepanjang Mei hingga Oktober dianggap paling menarik dan sesuai berdasarkan airnya yang jernih.

Mereka yang meminati aktiviti menyelam itu boleh berbuat demikian dengan menghubungi Turtle Bay Divers di talian 019-3336647 atau layari www.turtlebaydivers.com.

Pihak D'Lagoon juga menguruskan permintaan mana-mana pengunjung yang berminat memandu sendiri bot kecil mengelilingi Pulau Perhentian.

''Kalau ada pengunjung yang berminat melakukan snorkeling sambil melihat penyu, permintaan itu akan dipenuhi. Begitu juga yang berminat memancing, kita akan penuhi permintaan mereka,'' katanya.

D'Lagoon turut menyediakan bilik-bilik penginapan dan antara yang menjadi rebutan dan tempahan utama pengunjung ialah penginapan ala 'tree house'.

Bilik penginapan 'tree house' begitu menarik seolah-olah pelancong tinggal dalam rumah yang dibina di atas pokok.

Menurut Abdul Razak, kalangan pelancong yang datang ke situ, sentiasa mahukan suatu kelainan bagi menghiburkan diri mereka.

''Kalau pelancong asing, mereka mahukan suasana kehidupan masyarakat Melayu.

''Ini termasuk seni budaya melibatkan muzik. Jawapannya ialah dikir barat.

''Kakitangan D'Lagoon akan memainkan alat-alat muzik dikir barat dan pelancong juga boleh mencubanya,'' kata Abdul Razak.

Menurutnya, semua bentuk lagu sama ada berirama tradisional Melayu, Inggeris, lagu moden dan sebagainya, boleh dinyanyikan dan disesuaikan dengan rentak dikir barat.

Bagi mereka yang hendak kelainan semasa bercuti boleh mencuba penginapan di D'Lagoon dengan menghubungi Abdul Razak di talian 019-9857089 atau layari www.dlagoonperhentian.net.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: