Tuesday, May 24, 2011

Deejay KLfm ceriakan Rentap Futsal


SIMBOLIK... Ahmad Shabery (kanan) menerima pelantikan KLfm sebagai stesen radio rasmi kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 daripada Sallehuddin (tengah) sambil disaksikan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin (kiri) di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Stesen radio KLfm selaku radio rasmi kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 sudah bersedia untuk menceriakan kejohanan futsal terbesar tersebut yang akan berlangsung selama empat hari bermula Khamis ini.

Pengurusnya, Normah Abdul Aziz berkata, ramai penyampai KLfm akan turun padang bagi memeriahkan acara itu seperti Hezry, Mimie, Sonic, Aenraen, Salma dan ramai lagi.

"Kami akan menghangatkan gelanggang futsal sepanjang acara tersebut berlangsung bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang," katanya ketika ditemui selepas majlis pelantikan penajaan kejohanan itu di sini semalam.

Pada majlis itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menerima pelantikan KLfm sebagai stesen radio rasmi kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 daripada Ketua Bahagian Rancangan KLfm, Sallehuddin Ramlan.

Normah memberitahu, pemilihan KLfm sebagai radio rasmi acara tersebut sememangnya satu keputusan tepat memandangkan selebriti KLfm telah mempunyai pengalaman menjayakan acara yang sama pada tahun lalu.

"Saya berbesar hati kerana sekali lagi KLfm dipilih dan ia bersesuaian dengan sasaran pendengar kami yang terdiri daripada golongan belia.

"Kita tahu bahawa futsal merupakan antara sukan yang dekat dan sinonim dengan jiwa belia sekarang.

"Jadi kerjasama KLfm dan Kosmo! dalam acara ini tampak seiring kerana masing-masing sering dijadikan medium oleh golongan belia bagi menyuarakan pendapat mereka," jelas beliau.

Menurut Normah, kerjasama seperti itu juga secara tidak langsung dapat memberi ruang kepada KLfm untuk menyumbang sesuatu kepada sambutan Hari Belia Negara 2011.

Tambah beliau, pengalaman yang dimiliki KLfm pada kejohanan yang sama tahun lalu telah memudahkan mereka membuat perancangan lebih rapi agar kelemahan masa lepas dapat diatasi.

"Kejohanan yang akan berlangsung di Kompleks Futsal 1Malaysia, Putrajaya itu juga dijamin akan lebih meriah berbanding tahun lalu berikutan wujudnya beberapa kategori baru," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: