Tuesday, May 24, 2011

Rentap Futsal dapat sokongan AmBank, TM


Ahmad SHabery beramah mesra dengan wakil-wakil penaja pada majlis penerimaan penajaan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 di Menara KBS, Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA – Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 terus mendapat sokongan daripada syarikat-syarikat korporat yang tampil menyerahkan tajaan masing-masing semalam.

Antara mereka yang menyerahkan tajaan pada majlis itu ialah Pengarah Perhubungan Awam Kumpulan AmBank, Syed Anuar Syed Ali, Pengurus Besar Telekom Malaysia (TM), R. Manivannan dan Pengerusi K Klub, Datuk Raja Ahmad Niza Raja Ismail.

Turut menyerahkan tajaan ialah Pengarah Arctic Ice, Datuk Hamzah Mohd. Salleh dan Pengarah YES, Auzir Mohd. Yaacob. Kedua-duanya ialah minuman rasmi kejohanan.

Ketua Bahagian Rancangan KLfm, Sallehuddin Ramlan pula menyerahkan pelantikan KLfm sebagai stesen radio rasmi kejohanan.

Kesemua tajaan itu diserahkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada satu majlis yang diadakan di Menara KBS di sini semalam.

Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin.

Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! akan berlangsung di Putrajaya dari 26 hingga 29 Mei ini.

Kejohanan tersebut merupakan sebahagian daripada agenda sambutan Hari Belia Negara 2011: Himpunan Sejuta Belia yang akan berlangsung di Putrajaya hujung minggu ini.

Kategori-kategori yang dipertandingkan dalam kejohanan futsal itu ialah Terbuka Lelaki, Lelaki Larut Malam, Terbuka Wanita, Lelaki Bawah 18 Tahun dan Lelaki Bawah 12 Tahun.

“Terima kasih kepada Kosmo! kerana mengambil salah satu bahagian daripada segmen yang bakal memeriahkan himpunan Hari Belia Negara tahun ini.

“Ia akan menjadi acara yang menarik, meriah dan dinanti-nantikan oleh belia seluruh negara,” kata Ahmad Shabery pada majlis penyerahan penajaan itu.

Menurut beliau, setakat ini, jumlah pasukan futsal yang ingin menyertai kejohanan ialah kira-kira 1,700 buah pasukan.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery memberitahu, sebuah tabung bagi mengumpul dana untuk membantu keluarga dan mangsa yang terlibat dalam tanah runtuh di Rumah Anak Yatim Al-Taqwa, Hulu Langat pada Sabtu lalu akan ditubuhkan pada sambutan Hari Belia Negara 2011.

“Belia yang tidak berkesempatan melawat mangsa-mangsa kejadian dan ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian pada kejohanan Rentap Futsal Putrajaya nanti,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: