Monday, May 23, 2011

Citarasa Makanan Laut Portugese Grill

Tan bersama hidangan istimewa Portueguese Grill.

UNTUK menikmati makanan laut yang segar dan sedap kebiasaannya kita perlu pergi ke pusat pelancongan di tepi pantai yang banyak menawarkan pilihan hasil laut yang beraneka jenis.

Namun begitu jarak yang jauh sentiasa membataskan niat untuk menikmati sajian itu yang rata-rata susah untuk dicari di bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Antara hidangan istimewa di kedai milik Tan.

Bagaimanapun tidak dinafikan ada beberapa restoran di ibu negara menawarkan hidangan masakan laut tetapi harga yang mahal dan lebih bersifat eksklusif membuatkan ia hanya dikunjungi oleh golongan berada sahaja.

Kesegaran hasil laut yang dihidangkan juga turut menjadi keraguan kerana penggunaan bahan yang tidak segar akan mencacatkan rasa makanan laut itu.

Ajakan seorang teman baru-baru ini telah menemukan penulis dengan Portugese Grill di Asia Cafe terletak di Seksyen 15 Subang Jaya yang menyediakan masakan laut segar dan lazat.

Lala kukus.

Bukan sebuah restoran mewah seperti kebiasaannya yang terdapat di Kuala Lumpur, Portugese Grill hanyalah sebuah gerai kecil terbuka di mana pelanggan boleh menikmati hidangan secara kasual. Pun begitu, tarikan utama di gerai itu adalah pemilihan makanan laut yang segar menarik perhatian.

Menurut pemilik Portugese Grill, Tan Choo Chan, 47, semua masakan dibakar atas dapur menggunakan kertas aluminium nipis yang dilapik dengan daun pisang untuk menaikkan aroma sesuatu masakan.

Kebiasaannya semua masakan itu akan dicampurkan bersama sayuran seperti bendi, kacang botol, petai dan sebagainya.

Udan dan sotong digoreng kering.

Bagi yang menggemari sajian bakar atau panggang, Portugese Grill adalah tempat yang tepat untuk dikunjungi. Antara hidangan yang disediakan seperti sotong goreng tepung, ikan pari bakar, lala kukus, anak ikan yu masak kunyit, bawal putih masak kicap dan sebagainya.

Menariknya mengenai hidangan ini, sambal yang digunakan menjadi tarikan pengunjung ciptaan khas pemilik dan sambal untuk sajian itu boleh dipilih mengikut citarasa pelanggan.

Anak ikan yu masak kunyit.

Penekanan kepada hasil laut segar dan cara masakan yang dititikberatkan oleh pemilik nyata tidak mengecewakan. Aroma masakan segera membuka selera untuk menikmati hidangan itu.

Bercerita lanjut mengenai Portugese Grill, Tan memberitahu dia memilih untuk membuka sebuah restoran makanan laut kerana menyedari tidak banyak pilihan kedai yang menyediakan sajian makanan itu.

Mempunyai sebuah lagi cawangan di Klang, Tan berkata, tidak banyak tempat yang menawarkan makanan laut segar dengan harga berpatutan dan rata-rata peniaga di Kuala Lumpur tidak menitikberatkan kesegaran bahan mentah yang disediakan.

Ikan pari bakar.

“Agak susah untuk peniaga di bandar besar seperti Kuala Lumpur mendapatkan bahan yang betul-betul segar untuk dihidangakan kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui Mingguan mStar baru-baru ini.

Tan bagaimanapun beruntung kerana pengalamannya selama 30 tahun sebagai pemborong hasil laut di Klang telah memberikan kelebihan untuk mendapatkan bahan segar dengan mudah.

Katanya, dia akan memastikan semua hasil laut yang disediakan kepada pelanggan adalah yang berkualiti dan setiap hari dia akan mendapatkan bahan segar dari pemborong di Sungai Besar dan Pulau Ketam bagi memberikan kepuasan kepada pelanggannya.

Sotong goreng tepung.

“Kesegaran makanan laut adalah menjadi keutamaan saya. Pengalaman sebagai pemborong memberikan kelebihan kepada saya untuk mendapatkan bahan segar dari kenalan dengan mudah.

“Bagi saya untuk menghidangkan masakan menggunakan hasil laut adalah penting kerana ia memberi rasa yang berbeza kepada masakan yang disediakan,” ujarnya telah membuka Portugese Grill sejak sembilan tahun yang lalu.

Dijamin halal, Portugese Grill dibuka pada setiap hari dari pukul enam petang hingga dua pagi. Setiap hidangan juga dijual pada harga berpatutan iaitu RM10 (kecil), RM15 (sederhana) dan RM20 (besar).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: