Monday, May 23, 2011

Gladiator Angkat Epik Empayar Rom

PERTARUNGAN bukan sekadar antara manusia tetapi turut melibatkan binatang buas seperti harimau dan singa menyerlahkan lagi ‘taring’ mereka yang bergelar Gladiator.

Colosseum disenaraikan sebagai antara tujuh keajaiban dunia.

Kegemilangan epik Empayar Rom dan keberanian pahlawan pada zaman itu diangkat menerusi filem Gladiator pada tahun 2000 lakonan Russell Crowe.

Empayar Rom merupakan fasa tamadun awal Rom yang disifatkan sebagai sebuah kerajaan sangat besar di Eropah dan sekitar Mediterranean.

Kehebatan Russell sebagai General Maximus Decimus Meridius beraksi mengetuai ribuan tentera Roman dalam peperangan tidak terhenti sekadar di layar perak.

Filem pecah panggung arahan Ridley Scott sebenarnya menyaksikan kehebatan Rusell apabila menerima Oscar pada tahun berikutnya sebagai Pelakon Lelaki Terbaik.

Gerai cenderamata di luar Colosseum.

“Semuanya berpakaian tentera, lengkap dengan perisai dan senjata,” penulis melihat beberapa ‘Gladiator’ berdiri dan ada juga berjalan-jalan meraih perhatian orang ramai.

Salah seorang ‘Gladiator’ melaungkan sesuatu yang tidak difahami penulis dan mungkin juga sebahagian besar pengunjung di situ. Mana tidaknya kerana dia berbahasa Itali.

Penulis di Rom, ibu negara Itali yang mempunyai populasi lebih 2.7 juta penduduk menjadikannya sebagai bandar paling ramai diduduki di negara itu.

Tunjuk handal

Para ‘Gladiator’ yang bersorak itu sebenarnya adalah rakyat tempatan yang meraih sumber rezeki dengan menyediakan khidmat sesi fotografi bersama pelancong.

Mana-mana pelancong yang berkunjung ke sini pastinya mahu mengabadikan kenangan dengan bergambar bersama pahlawan dalam sejarah Tamadun Rom.

Hanya tinggal tiang-tiang gergasi.

Menariknya, sesi fotografi itu berlatarkan bangunan Colosseum, lokasi Gladiator menunjukkan kehandalan di hadapan 50,000 penonton selepas ia siap dibina pada 80 tahun sebelum Masihi.

Colosseum yang dahulunya merupakan struktur paling besar dibina dalam sejarah empayar itu dan ia disenaraikan sebagai antara tujuh keajaiban dunia.

“Kenapa tidak sertai kumpulan itu,” kata penulis kepada rakan sambil menunjukkan sekumpulan orang ramai yang sedang berdiri di satu sudut Colosseum.

Ini bukan misi kumpulan tentera Rom untuk bertarung namun sebaliknya rombongan yang diketuai oleh pemandu pelancong bagi menyelami sejarah Empayar Rom.

Penyertaan ini bukan percuma kerana bayaran 20 Euro atau RM84 dikenakan termasuk tiket masuk ke Colosseum dan Roman Forum serta khidmat pemandu pelancong.

Salah seorang Gladiator di Colosseum.

Seolah-olah memasuki muzium di lokasi sebenar berdasarkan gambaran dan penceritaan pemandu pelancong oleh sepanjang tempoh tiga jam itu.

Penulis bukan seorang yang suka menghabiskan berjam-jam lamanya di muzium apabila mengunjungi negara asing namun penceritaannya begitu menarik dan mudah difahami.

Banyak musnah

Selepas lebih sejam berada di mercu tanda paling popular Rom itu, rombongan kami berjalan kaki sejauh 500 meter untuk ke Roman Forum yang hanya terletak bersebelahan.

Roman Forum dilihat sebagai ‘pusat bandar’ kepada orang-orang Roman ketika itu selain menjadi tempat perarakan dan keraian, pengucapan awam dan perbicaraan.

Kerja-kerja pemulihan dan pemeliharaan di kawasan sekitar Roman Forum.

Kebanyakan bangunan dan monumen dibina pada zaman pemerintahan Kerajaan antara 753 sehingga 509 tahun sebelum Masihi dan Republik antara 509 sehingga 27 sebelum Masihi meskipun sebahagian besarnya dimusnahkan dan dibina beberapa kali.

Tidak hairanlah apa yang dilihat di hadapan mata hanya serpihan dan bongkah batu-batu besar yang dahulunya adalah bangunan pentadbiran dan pusat perniagaan.

Kebanyakannya telah musnah dan yang ketara sebagai tinggalan sejarah adalah tiang-tiang gergasi yang memenuhi kawasan antara Palatine Hill dan Capitoline Hill itu.

Penulis melihat kerja-kerja pemulihan dan pemeliharaan oleh pakar arkeologi bagi memastikan yang tinggal terus kekal sewaktu rombongan ‘menjelajah’ Roman Forum.

Antara struktur bangunan di Roman Forum.

Seram juga melihat keadaan Roman Forum. Bagaimana keadaan di sini pada waktu malam mengenangkan Rom terkenal dengan mitos dan legenda mengenai hantu.

Biarlah yang indah saja dalam kembara ini kerana Rom juga mempunyai tarikan lain sehingga menjadi tumpuan pelancong dari serata dunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: