Sunday, May 15, 2011

Catatan seni Amanda bermula


Amanda


PENYANYI muda ini cukup optimis dengan hala tuju hidupnya. Semakin yakin dengan apa dikehendakinya. Usia yang bakal mencecah angka 20 tahun pada Disember depan bukan penghalang. Bahkan dijadikan sebagai titik permulaan buat kerjaya seninya.

Pertaruhan di Festival Muzik Pop Antarabangsa ke-20 yang berlangsung di Varna, Bulgaria pada 13 hingga 15 Mei ini adalah cubaan pertama. Menguji kehebatan diri dengan bersaing dengan penyanyi luar negara pula jadi idaman buat pendatang baru seperti Amanda Imani.

Baginya, menyertai pertandingan sebegini untuk pencapaian diri sendiri. Amanda mahukan sesuatu yang lebih baik untuk pembangunan diri. Berpeluang untuk membuka mata dan menilai kehebatan peserta lain untuk manfaat sendiri. Itu adalah rancangan Amanda.

‘‘Saya memang mengharapkan sesuatu dalam pertandingan ini. Sudah pasti satu kemenangan yang boleh dibanggakan. Tambahan pula saya seorang sahaja wakil dari Malaysia. Itu sudah cukup membuat degup jantung saya bertambah kencang,” katanya.

Berdepan dengan persaingan terutama penyanyi dari Eropah memang satu perkara yang cukup mendebarkan buat diri Amanda. Itu tidak termasuk peserta dari benua Amerika dan Asia Barat. Lantaran itu, dia mengetepikan sedikit rasa tekanan dengan berfikiran positif sahaja.

Tidak mahu membebankan diri dengan kerisauan melampau, Amanda fokus terhadap dua pencalonan dalam festival berkenaan.

Menerusi kategori Lagu Terbaik, Amanda membawa single pertama, Selamilah Cinta yang cukup sinonim dengan dirinya. Sementara lagu Hero dendangan asal Mariah Carey dibawa untuk merebut peluang dalam kategori Penyanyi Terbaik.

‘‘Kedua-dua lagu berkenaan punya lenggok tersendiri terutama lagu Hero. Seminggu selepas pihak menganjur mengumumkan penyertaan saya diterima, saya sudah mula fokus pada nyanyian. Belajar vokal dengan Alwin Santiago terutama dalam teknik mengawal pernafasan.

‘‘Saya juga sudah mula berpantang makan. Makanan berminyak dan sejuk tolak ke tepi. Saya tak boleh ambil remeh perkara ini. Sebab khuatir kalau-kalau ada masalah di sana,” ujarnya.

Amanda tidak keseorangan ke sana. Dia ditemani ibu tersayang, Nina Hamzah, sepanjang pertandingan berlangsung di sana. Sebab itu, semua urusan teknikal seperti pemilihan baju diserahkan kepada ibu yang turut merangkap tugas pembantu peribadi.

Ditanya mengapa Amanda seperti tenggelam timbul sejak kebelakangan ini, penggemar instrumen piano dan gitar ini punya alasan sendiri. Katanya, dia tidak gemar untuk menghebahkan sesuatu berbentuk publisiti murahan.

‘‘Saya tidak akan cari sebarang publisiti murahan. Saya tak mahu cerita tak betul keluar. Kalau tak popular sekali pun, saya tak kisah. Sebab saya tahu nawaitu saya masuk ke industri seni ini.

‘‘Kalau saya keluar ke tempat umum, saya masih ada ruang untuk ‘bernafas’. Mana yang kenal saya, akan bertegur sapa. Tapi alhamdulillah, belum sampai peringkat orang mengerumi saya. Masih tenang untuk ke kolej atau ke mana saja,” katanya menyingkap cerita harian.

Frasa ‘masih ada yang kurang mengenali siapa dirinya’, tidak pernah dihiraukan. Apa yang penting baginya adalah bakat. Selain itu pemasaran yang berstrategi adalah matlamat utama. Perihal sama diguna pakai oleh kebanyakan penyanyi negara luar.

Tambahan pula Amanda sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Psikologi dan Komunikasi di Kolej SEGi di Kota Damansara Petaling Jaya, Selangor. Di bawah silibus Universiti of Iowa, Amerika Syarikat, Amanda menghabiskan banyak masa di sana. Sebelum pengajian berakhir pada tahun depan.

‘‘Sebab itu, saya kena menyeimbangkan masa antara nyanyian dan pelajaran. Tapi sekarang ini, biarlah saya tamatkan pengajian saya dulu. Kesempatan untuk menyanyi hanya berlaku di waktu cuti semester saja.

‘‘Kalau dah selesai semuanya, barulah saya fikir untuk menjadi penyanyi sepenuh masa. Saya tak mahu buat kerja separuh jalan. Takut kalau ada benda yang tidak dijangka terjadi pada masa depan,” katanya menutup perbualan petang Rabu lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: