Thursday, July 1, 2010

Zul 'Dirasuk' Dalam MANTRA

Bukan mudah tanggungjawab yang dipegang, membawakan watak lelaki yang jauh menyimpang daripada agama akibat dianiaya. Mantra yang dibaca secara tidak langsung menyeru makhluk yang tidak sepatutnya hadir dalam pandangan mata. Kuat benar penangan Mantra kepada pelakon utamanya, Zul atau lebih dikenali sebagai Zul Handy Black.

"Saya puas hati dengan hasilnya. Nampak natural sebab memang ia datang dalam diri sewaktu shooting. Sebab kita baca mantera yang betul dari Siam dan Jawa so secara tak langsung menyeru makhluk itu hadir. Saya akui diganggu namun syukur tak ada perkara buruk yang terjadi, sebaliknya filem ini nampak lebih real.

"Tiap kali saya ingin menghafal skrip dan membaca mantera di dalamnya, pasti ada semacam perasaan menakutkan, oleh itu saya dinasihatkan hanya membaca skrip dan mantera hanya dibaca ketika ingin shooting. Ada satu scene sewaktu di Penjara Pudu dan saya perlu membaca mantera yang saya sendiri tak hafal. Waktu itu, entah bagaimana saya bagai dirasuk dan boleh menghafal mantera itu sampai habis. Ketika kami mainkan kembali scene itu, saya tahu itu bukan diri saya namun ia berjaya buatkan watak saya nampak lebih hidup.

"Satu lagi ketika scene dalam kubur di mana kaki saya tiba-tiba berdarah ketika nak masuk ke dalam liang lahad," ujar Zul mengimbau kembali peristiwa sewaktu penggambaran filem Mantra.


Aida Tetap Yang Terbaik

Nampaknya, watak ini benar-benar menjadi di tangan Zul. Bukan hanya sekadar menjiwai watak yang diberikan, menurutnya Mantra telah menguasai diri sehinggakan segalanya terlampau istimewa. Perpisahan dengan Aida Aris selepas tiga tahun menjalin cinta menurutnya banyak membantu untuk masuk ke dalam watak Muzir yang kehilangan cinta selepas dikhianati teman baik sendiri.

"Kami putus secara baik selepas sedar selama ini kami hanya sesuai menjadi kawan. Perpisahan terjadi sebelum shooting Mantra so feel sedih dan kehilangan itu saya salurkan menerusi watak Muzir. Tiada orang ketiga dalam hubungan kami, cuma kami sedar menjadi kawan adalah keputusan terbaik. Saya kecewa kerana wanita yang ingin disunting menjadi isteri selama ini hanya ditakdirkan menjadi teman. Perkenalan dengan Aida hanyalah sekadar mengajar saya perasaan cinta dan rindu.

"Kami sudah kenal rapat dengan keluarga masing-masing dan kalau boleh saya tak mahu ikatan silaturahim tersebut putus. Aida adalah wanita terbaik yang pernah saya kenal dan saya gembira dia sudah bertemu pengganti," kata Zul.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: