Saturday, July 10, 2010

Zahid menang, Nita kalah


WALAU menyokong pasukan yang berbeza, Zahid dan Nita tetap menghormati pandangan masing-masing.


TINGGAL beberapa hari lagi perlawanan bola sepak Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan akan berakhir, demam bola kini berada di kemuncak untuk mengetahui negara mana bakal menjadi juara.

Apalagi bila hanya tinggal dua pasukan yang layak ke final iaitu Belanda dan Sepanyol, hampir seluruh penduduk dunia membuat pelbagai ramalan dan ada yang sanggup berhabis duit mendapatkan khidmat bomoh agar pasukan kegemaran mereka boleh menang.

Begitu juga dengan pasangan selebriti Zahid dan Nita, mereka juga tidak senang duduk bila melihat pasukan kegemaran masing-masing iaitu Belanda yang disokong Zahid dan England iaitu pasukan yang disokong Nita bermain di padang.

Tidaklah sampai terlalu obses mahukan kemenangan sehingga membuat perkara-perkara pelik, Nita dan Zahid sekadar bergaduh mulut sekadar mahu menunjukkan kehebatan pasukan mereka.

Tambah pula, satu kebanggaan buat Zahid apabila Belanda berjaya ke peringkat akhir dan Nita pula agak kecewa dengan permainan England kali ini sehingga menyebabkan negara itu kalah setelah dibelasah Jerman 4-1 dalam pusingan kalah mati yang menyaksikan mereka pulang awal.

"Sebenarnya, dari awal lagi saya sudah nampak yang England akan kalah bagi Piala Dunia kali ini kerana tidak bermain dengan baik. Sampaikan saya menitiskan air mata kerana kekalahan itu. Benar, saya tak bohong.

"Malah pemain kegemaran saya, Wayne Mark Rooney atau lebih dikenali sebagai Wazza seperti hilang arah.

"Steven Gerard juga tidak layak menjadi kapten dan England patut mengekalkan John Terry, yang pernah digugurkan sebelum ini sebagai kapten gara-gara isu skandal dan masalah kecederaan.

"Apa yang saya lihat, mereka yang mempunyai kelab seperti Gerard (Liverpool), Wayne Rooney (Manchester United) dan Frank Lampard (Chelsea) terlalu menjaga reputasi kelab masing-masing sehingga lupa tanggungjawab mereka untuk menaikkan nama negara sendiri.

"Yang buat saya sedih sebab Piala Dunia hanya empat tahun sekali, bukan tiap-tiap tahun," katanya dengan nada kesal.

Tambah Nita, walaupun pasukan kesayangannya itu gagal bagi perlawanan Piala Dunia tahun ini, tidak bermakna dia akan beralih arah dengan menyokong pasukan negara lain pula dan akan sentiasa setia bersama England.

Dalam pada itu, walaupun setia menjadi peminat pasukan England, tidak bermakna dia akan membuat pandangan negatif terhadap pasukan-pasukan lain.

Baginya, setiap orang mempunyai pendapat dan citarasa sendiri, bahkan, setiap negara juga mempunyai cara tersendiri dalam merancang strategi.

"Saya tak faham bila orang boleh mengutuk pasukan-pasukan lain dengan kata-kata yang melampau. Sama seperti permainan lain, setiap pasukan dilahirkan menjadi seorang pemain bola sepak yang mempunyai minat yang mendalam tentang bola.

"Saya tak pernah mengkritik pasukan lain kerana saya cintakan bola sepak.

"Sama ada mereka mahu mengutuk atau memberi kritikan, terpulang pada diri masing-masing.

"Tapi, sebelum mengkritik tidak kira positif atau negatif, perlu diingat, ia sekadar permainan sukan sahaja," ujar Nita.

Gembira jejak tanah Afrika

Kemenangan Belanda untuk menuju ke peringkat akhir benar-benar mengubat luka Zahid pada empat tahun lepas apabila Belanda hanya dapat melayakkan diri ke peringkat kalah mati dan dikalahkan oleh pasukan Portugal pada perlawanan Piala Dunia 2006 di Jerman.

Apa yang diinginkan kini, agar pasukan kegemarannya itu dapat ke peringkat akhir.

Bagaimanapun, Zahid agak kesal bila pelbagai 'drama' turut berlangsung di samping perlawanan tersebut.

Malah, beritahu juara Akademi Fantasia musim kedua (AF2) itu, terdapatnya manipulasi dalam perlawanan Piala Dunia kali ini.

"Biasalah, setiap kali Piala Dunia berlangsung, maka pelbagai drama juga akan timbul dan ia sebagai perencah dalam sesebuah perlawanan.

"Cuma kalau boleh, masalah peribadi tidak perlu dikaitkan sekali kerana setiap pasukan sudah diberi tanggungjawab dan kepercayaan untuk bermain di peringkat dunia.

"Malah, terdapat banyak kontroversi sepanjang perlawanan berlangsung dan ia membuatkan sedikit sebanyak saya kecewa dengan Piala Dunia tahun ini.

"Lihatlah seperti kontroversi pasukan Perancis yang bergaduh dengan jurulatih mereka sendiri. Kemudian, Maradona pula mengutuk pasukan lain.

"Benar, selain perlawanan yang sengit, drama-drama sebegini turut menjadi perhatian, dan itu yang sememangnya dinanti-nantikan. Tetapi ia sekali gus dapat menjejaskan imej pasukan mereka," tegasnya bersungguh-sungguh.

Dalam pada itu, walaupun tidak dapat menyaksikan perlawanan Piala Dunia di bumi Afrika Selatan, Zahid masih lagi dapat merasakan kehangatan sebelum perlawanan itu bermula.

Pengalaman ke Afrika Selatan bersama Farish bagi menjayakan program Bola, bagi saluran Astro Ria baru-baru ini banyak mengajar erti kehidupan sebenar bila melihat kesusahan masyarakat negara itu yang mahu mengubah kehidupan mereka dengan bermain bola sepak.

"Kami telah ke Cape Town di mana tempat komuniti Melayu dikenali sebagai Malay Cape. Malah kami turut melihat pasukan Afrika Selatan melakukan sesi latihan.

"Walaupun tidak dapat menyaksikan perlawanannya di sana, sekurang-kurangnya, kami dapat merasakan bahang Piala Dunia 2010.

"Ini merupakan kali kedua saya menjejakkan ke ke lokasi perlawanan Piala Dunia. Sebelum ini, saya juga dapat ke negara Jerman untuk menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2006. Ia akan menjadi kenangan yang paling manis untuk saya," kata Zahid.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: