|
|
TIDAK seperti kanak-kanak lain, pergerakan mereka agak terbatas kerana kesakitan yang ditanggung. Riang tawa ketika menonton persembahan boneka ternyata menyimpan kenangan manis buat mereka.
Tidak seperti biasa, mereka bersama-sama menyaksikan kisah lucu yang dipersembahkan sempena sambutan Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) yang ke-15. Ada antara mereka yang masih terlantar di wad menunggu giliran pembedahan. Tidak ketinggalan, kanak-kanak yang masih melakukan pemeriksaan jantung bulanan. Bagi mereka yang sudah sembuh dan selamat menjalani pembedahan, sokongan terhadap teman-teman yang lain tetap diberi.
Kehadiran 150 pesakit pada hari Sabtu baru-baru ini menyuntik rasa terharu dan gembira sesiapa sahaja yang melihat mereka. Sedikit pun tidak kelihatan seperti pesakit jantung walaupun berkerusi roda atau dipapah ibu bapa. Terpancar riak wajah yang gembira dan bersemangat. Mungkin suasana yang diwujudkan Yayasan IJN bertempat di IJN, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur untuk sambutan ulang tahun tersebut berjaya memberikan kegembiraan.
Kanak-kanak tabah
Seorang suri rumah, Siti Ruzaimie Mohd Sentol memberitahu, sudah setahun anaknya yang menghadapi masalah saluran darah bocor pada paru-paru selamat menjalankan pembedahan. Walaupun baru berusia dua tahun enam bulan, Raeena Jauhera Mohd. Razzdee ternyata tabah dan kuat berhadapan dengan cabaran penyakitnya. Tidak seaktif kanak-kanak lain, Raeena gembira kerana ibu tercinta sentiasa menemaninya. Dua minggu berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), cukup mendebarkan Siti Ruzaimie sekeluarga. Namun, berkat doa keluarga dan teman-teman, Raeena berjaya dibedah. Kini, dia mampu tersenyum dan bermain-main seperti kanak-kanak lain cuma memerlukan perhatian dan kasih sayaang daripada keluarganya.
Sementara itu, Zaiton Ibrahim, 41, gembira kerana dapat menyertai ibu bapa pesakit lain memberi sokongan kepada kanak-kanak yang hadir. Anaknya Zubaer Harith Hisham, 3, yang mengalami salur darah sempit tidak ketinggalan menyertai acara tersebut. Menurut Zaiton, masalah saluran darah tersebut menyebabkan darah sukar dipam hingga ke jantung.
"Pada usia lapan bulan, doktor telah memasukkan sejenis alat yang dipanggil 'belon' untuk membesarkan saluran darah Zubaer. Setakat ini, dia tidak perlu menjalani pembedahan jantung. Namun, dinding saluran darah masih tebal dan jika masih berterusan, pembedahan mungkin perlu dilakukan," ujarnya.
Tidak dinafikan perkembangan Zubaer agak terbatas. Dia sering menangis apabila sakit dan mudah berpeluh. Namun, Zaiton bersyukur setakat ini, anaknya aktif seperti biasa.
Berbeza pula dengan Rozaira Roslan, setahun sepuluh bulan yang baru sahaja menjalani pembedahan masalah injap bocor. Dia ditemani ibunya, Rubina Gudng, 30, dan bapanya yang datang dari Sabah dan berada di IJN selama lebih kurang dua minggu. Rubina bersyukur pembedahan anaknya berjalan lancar dan dia berterima kasih kepada badan kebajikan Sabah yang banyak memberi bantuan.
Dia berharap Rozaira segera sembuh dan dapat bermain seperti kanak-kanak lain.
Meraikan pesakit
Dalam pada itu, Pengurus Besar Yayasan IJN, Alawiyah Yussof berkata, majlis bertemakan 'hari jadi untuk semua' itu bertujuan meraikan pesakit-pesakit yang sedang mendapatkan rawatan di IJN dan kos rawatan dibiayai oleh yayasan tersebut.
"Yayasan IJN adalah sebuah badan amal yang ditubuhkan bertujuan meraih sokongan filantropi bagi IJN dan penjagaan pesakit jantung.
"Kami akan mengumpul dana daripada organisasi dan orang ramai yang prihatin. Dana tersebut akan digunakan untuk membantu pesakit yang kurang berkemampuan dari segi kewangan," ujarnya.
Tambah beliau, terdapat beberapa syarikat swasta yang menghulurkan dana secara tetap setiap tahun selain derma yang disumbangkan dari semasa ke semasa oleh individu dan syarikat tertentu.
Antara syarikat dan organisasi yang menyumbang tetap kepada yayasan itu adalah Pfizer Malaysia, AirAsia, Yayasan Tenaga Nasional dan NU Skin Malaysia.
Majlis itu turut menyaksikan penyerahan derma RM22,606.80 hasil sumbangan para pelajar Universiti Monash cawangan Subang, Selangor.
Orang ramai yang ingin menghulur bantuan kepada Yayasan IJN boleh menghubungi 03-26178200.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: