DALAM menghadapi bencana global, industri perhotelan pada hari ini beralih ke sektor butik untuk meraih keuntungan. Namun, ia masih menjadi tanda tanya sama ada peralihan itu membawa keuntungan atau sebaliknya.
Pendapatan setiap hotel telah merudum sejak Oktober tahun lalu. Perkongsian hotel kumpulan-kumpulan di Eropah juga jatuh lebih 30 peratus pada tahun 2008.
Pelabur-pelabur dijangka menghadapi tekanan dalam pendapatan yang mereka peroleh pada tahun ini.
Walau bagaimanapun, kumpulan hotel terbesar dunia iaitu InterContinental, Marriott dan Starwood telah melancarkan jenama butik mereka di Eropah. Ia adalah satu strategi menghadapi kemerosotan global yang berlaku.
Perunding firma Pricewater House Coopers dalam ramalannya pula mendapati permintaan ke atas hotel-hotel di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2009 jatuh sebanyak dua peratus. Ia bakal menjadi pendapatan terendah mereka sejak tahun 1971.
Menurut Sekuriti Natixis, pasaran AS dilihat paling terdedah manakala Britain, Sepanyol dan Itali kelihatan lebih lemah di Eropah berbanding Perancis dan Jerman.
Justeru, kumpulan hotel terbesar dunia iaitu InterContinental AS telah membuka hotel butik pertama di luar AS iaitu berdekatan Stesen Paddington di London.
|
|
Barangkali dengan pembukaan hotel butik itu InterContinental mampu mengaut keuntungan.
"Ia adalah satu peluang yang bagus kepada hotel-hotel ini terutama kepada jenama-jenama yang besar," kata jurucakap jenama InterContinental Eropah, Afrika dan Asia Barat, John Wagner.
Tambahnya, pemilik hotel beralih arah ke rangkaian butik kerana ia adalah lebih baik. Mengapa? Menguruskan sebuah hotel butik dilihat jauh lebih mudah dan murah berbanding menguruskan hotel yang besar.
Dalam pada itu, seorang penganalisis Travel Smith, Jan Freitag mendapati pemilik hotel berlumba-lumba untuk beralih arah ke sektor butik kerana situasi ekonomi sekarang bukanlah sesuatu yang sentiasa menjanjikan keuntungan.
Bersifat peribadi
Jelasnya, data terbaru pada bulan November menunjukkan penginapan di butik hotel AS telah jatuh sebanyak 10.6 peratus, manakala harga bilik pula menurun sebanyak 2.5 peratus.
"Hotel-hotel mewah berlumba-lumba beralih ke konsep butik hotel dan tidak bergabung antara satu sama lain. Mereka begitu taksub mengejar keuntungan," katanya.
Mengimbas sejarah hotel berkonsep butik, ia pertama kalinya wujud pada tahun 1980 di AS. Selepas itu, negara-negara lain seperti Eropah mula melancarkan hotel butik mereka.
Antara hotel yang menarik termasuklah parkir empat tingkap tertutup yang diubah suai menjadi hotel butik dan hotel bertema coklat di selatan England.
Pada umumnya hotel butik dikategorikan sebagai hotel berbintang, namun bilik yang ada di hotel butik tidaklah sebanyak hotel bertaraf lima bintang.
Bagaimanapun, hotel butik tetap selesa dan bersifat peribadi. Ramai yang lebih menyukai hotel butik berbanding hotel lima bintang kerana susun atur dan hiasan dalaman bilik yang tampak lebih eksklusif.
Ada juga hotel butik yang menawarkan servis bertaraf lima bintang. Ia menawarkan bilik tidur yang luas dengan reka bentuk Inggeris dan sedikit sentuhan moden yang mewah.
Ramai yang berpendapat hotel-hotel butik sangat mahal, tetapi sebenarnya tidak. Ia mempunyai bilik yang bergaya dengan beberapa rangkaian harga.
Antara hotel butik yang terkenal pada harga yang berpatutan ialah Mama Shelter di Paris yang diilhamkan oleh Serge Trigano iaitu anak kepada pengasas Kelab Med. Sementara itu di Bournemouth, Britain pula terdapat Hotel Butik Coklat. Ia menawarkan pelbagai aktiviti dan acara yang bertemakan coklat untuk pengunjungnya.
Dengan statusnya empat hingga lima bintang, hotel butik menjadi pilihan individu yang inginkan suasana yang glamor tetapi privasi.
Sementara itu, Marriott International Inc. turut bekerjasama dengan ikon gaya, AS, Ian Schrager yang mempelopori konsep Hotel Butik Morgan di Madison Avenue, New York pada tahun 1984 untuk membina jenama hotel butik terbaru.
Marriott dan Sachrager kini dalam usaha untuk membuka lebih 100 buah hotel butik di beberapa buah bandar raya termasuk di Washington, Chicago, Los Angeles, Paris dan Madrid.
Dalam pada itu, pemilik Hotel Starwood iaitu Sheraton adalah pihak pertama yang melancarkan rangkaian hotel butik mewah di New York sejak sedekad lalu dengan label rangkaian W.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: