Tuesday, July 20, 2010

Hobi istimewa Dr. Primuharsa




DENGAN penuh berhati-hati, satu demi satu peralatan yang elok tersusun di dalam sebuah almari perhiasan dikeluarkan. Ia kemudian disusun semula di atas meja di bilik berkenaan.

Ada bekas kaca lut sinar yang bermuncung bulat, picagari yang sedikit sumpik di bahagian tengahnya, beberapa batang jarum dan banyak lagi yang tidak begitu lazim dilihat.

Cuma yang pasti kesemua peralatan itu pernah digunakan untuk merawat pesakit di hospital suatu ketika dahulu.

"Inilah antara koleksi peralatan perubatan lama yang saya kumpulkan. Kebanyakannya sudah tidak digunakan lagi pada zaman sekarang memandangkan teknologi perubatan di Malaysia sudah berkembang.

"Tetapi, hakikatnya inilah peralatan yang berjasa dan memberi sumbangan besar dalam konteks perubatan negara sejak beberapa dekad lalu.

"Mungkin bagi orang lain tiada apa yang eksklusif pada peralatan seperti ini, namun bagi saya ia mempunyai nilai sentimental yang sukar digambarkan," ujar pemilik nama unik, Dr. Primuharsa Putra Sabir Husin Athar, 46, ketika ditemui Kosmo! di Hospital Pakar Seremban (KPJ) baru-baru ini.

Menurut Dr. Primuharsa, minatnya untuk mengumpulkan barang-barang berkenaan hadir tanpa paksaan. Tiada sesiapa yang memintanya mengumpulkan koleksi peralatan perubatan tersebut. Sebaliknya, beliau mengakui hobi istimewanya itu bermula dengan kesedaran untuk mengelakkan ia pupus ditelan waktu.


BEKAS menyimpan benang untuk menjahit anggota badan yang tercedera.


Sebagai anak sulung kepada seorang pengamal perubatan, beliau memberitahu, sejak kecil dia sudah berjinak-jinak dengan peralatan perubatan yang sering digunakan oleh bapanya, Sabir Husin Athar ketika merawat pesakit.

Ditakdirkan beliau juga berjaya mengikut jejak langkah bapanya menjadi seorang doktor. Memilih untuk menjadi pengamal perubatan yang mengkhusus dalam bidang telinga, hidung dan tekak (ENT), Dr. Primuharsa akhirnya mula menjadi pengumpul peralatan perubatan lama sejak tahun 1993.

Koleksi terawal yang dimiliki merupakan peralatan kepunyaan arwah bapanya. Peralatan itu disimpan rapi sebagai kenangan dan tanda ingatan kepada arwah bapa yang telah pulang dijemput Ilahi. Antaranya termasuklah picagari dan branula iaitu alat menyambung drip jika pesakit dimasukkan air.

"Dari situ, saya mula menapak perlahan-lahan untuk mencari koleksi alat perubatan lama. Jika mendengar ada hospital yang mahu melupuskan barang-barang tersebut, saya akan pergi untuk mendapatkannya. Namun, saya hanya mengambil alat yang perlu sahaja dan dalam kuantiti yang kecil.

"Menariknya, hobi saya ini langsung tidak memerlukan saya untuk mengeluarkan sebarang modal. Tidak seperti pengumpul barang-barang antik atau klasik yang lain, mereka adakalanya perlu membelanjakan beribu-ribu ringgit semata-mata untuk mendapatkan barang yang diingini. Situasi ini tidak berlaku pada saya," kata Dr. Primuharsa menguntum senyuman.

Tinggalan arwah bapa

Sehingga kini, Dr. Primuharsa mempunyai ratusan peralatan perubatan. Malah, ada antaranya telah berusia melebihi seratus tahun.


JIKA tidak mengetahui nama alat yang dimiliki, Dr. Primuharsa akan merujuk buku perubatan lama.


Selain jarum suntikan, branula dan picagari, beliau turut memiliki alat ujian pendengaran tahun 1960-an, bekas menadah air kencing tahun 1930-an, alat merebus air elektrik, stateskop tahun 1960-an, jarum intravena gordh, spinal manometer greenfield, picagari telinga tahun 1980-an dan radas ujian kalori.

Tidak ketinggalan, beliau juga ada menyimpan beberapa buah buku perubatan yang diterbitkan pada tahun 1945 yang memaparkan aneka peralatan perubatan yang wujud pada masa itu.

Tambah Dr. Primuharsa, ada juga peralatan yang diperoleh tidak diketahui namanya. Justeru, beliau akan merujuk pada buku tersebut untuk mengetahuinya.

Di samping barangan tinggalan arwah bapanya dan peralatan yang dipungut dari hospital-hospital di seluruh negara, Dr. Primuharsa juga mendapat koleksi peralatan tersebut sebagai hadiah daripada teman-teman dan saudara-mara.

"Saya ingat lagi, alat ujian pendengaran yang kini berusia lebih 40 tahun itu dihadiahkan oleh Datuk Dr. Harnam Singh kepada saya kira-kira tujuh tahun lalu. Apabila beliau mengetahui hobi saya, maka dia pun memberikan alat berkenaan pada saya.

"Bekas tadahan air kencing kaca ini pula saya dapat daripada generasi keluarga mertua adik saya," tutur bapa kepada empat cahaya mata yang berusia di antara tujuh hingga 16 tahun itu sambil menunjukkan bekas kaca lut sinar di hadapannya.

Apa yang pasti, hobi Dr. Primuharsa turut mendapat sokongan daripada isterinya, Dr. Nor Mahani Harun yang merupakan pakar pediatrik di sebuah hospital swasta.

Jelas Dr. Nor Mahani, dia memang tidak menghalang minat suaminya, sebaliknya berbangga dengan usaha murni itu.


ALAT ujian pendengaran, Amplivox Audiometer Model 83 dijadikan hiasan di bilik rawatan Dr. Primuharsa.


"Apa yang saya lihat, hobinya itu mempunyai manfaat kepada generasi baru terutama anak-anak kami dalam mengenali aneka peralatan perubatan zaman dahulu.

"Secara tidak langsung, kita juga akan lebih pandai menghargai setiap barangan tersebut.

"Justeru, saya berharap usaha beliau akan mendapat pengiktirafan yang sewajarnya. Mungkin sebuah muzium khas boleh diwujudkan untuk menyimpan dan mempamerkan koleksi barang tersebut," katanya sambil memberitahu bahawa suaminya banyak meluangkan masa membuat penyelidikan dan membaca buku-buku berkaitan peralatan perubatan lama.

Sementara itu, Perunding Perubatan Pernafasan dan Perubatan Dalaman, Hospital Pantai Ampang, Dr. Zal Ab. Rahim @ Ahmad berkata, hobi yang dimiliki Dr. Primuharsa jika dilihat dari segi teknologi perubatan mungkin tiada nilainya.

Nilai estetika

"Pada zaman serba moden ini, peralatan yang digunakan berteknologi tinggi dan dibantu sistem komputer. Namun, dalam aspek estetika, ia memang mempunyai makna yang besar.

"Siapa tahu, dalam tempoh beberapa dekad akan datang, koleksi barangan peralatan perubatan itu akan menjadi amat bernilai dan dicari-cari kerana semua yang lain sudah lupus ditelan masa," ungkap Dr. Zal.

Kenyataan Dr. Zal itu ada benarnya. Jika sesuatu barangan sudah tidak wujud lagi di dunia ini, namun jika ada seorang yang memilikinya, tentulah ia akan menjadi begitu berharga.


ALAT yang dikenali sebagai spinal manometer Greenfield.


Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Datuk Ibrahim Ismail berkata, beliau tidak mempunyai masalah dengan apa yang telah dilakukan oleh Dr. Primuharsa selagi beliau mengikut prosedur.

Adakah terdapat cadangan untuk menubuhkan sebuah muzium khas berkaitan peralatan perubatan zaman silam? "Buat masa ini memang tiada muzium khusus di bawah kendalian JMM yang menyimpan dan mempamerkan barangan berkaitan," kata Ibrahim.

Bagaimanapun, katanya, terdapat sebuah hospital di Sibu, Sarawak iaitu Hospital Lau King Howe telah dijadikan sebagai Muzium Peringatan pada penghujung tahun 2008.

Orang ramai boleh melihat koleksi-koleksi barangan peralatan perubatan lama seperti mesin dialisis, alat pembedahan, mikroskop, pakaian seragam jururawat, replika bilik pembedahan dan sinar-X serta model rangka manusia.

"Mungkin pihak muzium boleh menimbangkan untuk melaksanakan sebuah pameran khas mengenai koleksi barangan tersebut sebagai pengetahuan kepada orang ramai," kata Ibrahim sambil menegaskan bahawa fungsi muzium bukan terikat pada sejarah semata-mata tetapi mencakupi pelbagai aspek lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: