Saturday, July 3, 2010

Soalan cinta Jennifer Lopez




CUKUP sinonim dengan panggilan J.Lo tetapi sejak tahun 2004, figura jelita itu tidak lagi mahu dipanggil dengan nama singkatan tersebut. Bermula dari saat dirinya bergelar isteri kepada penyanyi Marc Anthony, Jennifer Lopez mahu membuang semua bibit negatif yang telah 'dikumpulnya' dalam tempoh dirinya dipanggil J.Lo.

Seksi dan menjadi fenomena di saluran MTV dengan tariannya, kisah cintanya dengan Sean ''Diddy' Combs serta Ben Affleck juga menarik perhatian ramai. Daripada penglibatan kongsi gelap kepada pembatalan majlis perkahwinan beberapa jam sebelum majlis bermula, pelbagai cerita negatif melekat pada Jennifer rentetan daripada perpisahan kontroversi mereka.

Namun, perkahwinan dalam sebuah majlis rahsia di Los Angeles dengan Marc Anthony telah mengubah hidup Jennifer. Mengambil cuti selama dua tahun sebelum dan selepas melahirkan anak kembarnya, Emme Maribel Muñiz dan Maximilian David Muñiz pada 22 Februari 2008, Jennifer bagaimanapun belum bersedia untuk meninggalkan dunia seni.

"Kita sentiasa sibuk dengan karier, sama seperti apa yang saya lakukan. Tetapi saya percaya untuk menjaga sesebuah perhubungan, ia juga memerlukan banyak usaha. Ia tidak senang. Dalam institusi perkahwinan, kedua-dua insan perlu membesar bersama serta saling menyokong. Wanita perlu mencari keseimbangan antara karier dan keluarga," kata Jennifer.

Kembali dalam bidang muzik semasa dunia disuap dengan irama Lady Gaga, Rihanna dan Katy Perry, penampilan unik dan persembahan liar mereka menjadi kegilaan. Persoalannya, adakah seorang ibu berusia 40 tahun mampu bersaing di arena muzik masa kini dengan barisan tenaga dan aura muda yang menyalurkan muzik esentrik tersebut?

Jennifer dalam nada tenang menyatakan dirinya sedikit pun tidak gentar. "Nyanyian merupakan karier saya. Bukannya bererti saya perlu menghentikan apa yang saya lakukan selepas bergelar isteri atau ibu. Apa yang saya mahukan sebelum ini, saya lebih obses. Tapi bukan dari segi material.

"Saya mahu lebih meneroka dan berfikir. Menjadi artis tidak bermula kerana anda berusia 21 tahun. Ia juga tidak berakhir kerana anda berusia 51 tahun. Anda ialah diri anda sehingga hari anda menghembus nafas terakhir."


MUNCUL dengan album dan filem terbaru, Jennifer membuktikan namanya masih lagi kukuh dalam industri hiburan global.


Album terbarunya, Love? dibikin dengan tema cinta. Melihat rekod kisah cintanya, Jennifer wanita yang punya banyak pengalaman. Selain dua teman lelaki berprofil tinggi, Jennifer pernah berkahwin sebanyak dua kali, Ojani Noa dan yang kedua dengan penari, Cris Judd.

Jennifer yang turut menyumbang kepada lirik mengaku album itu dihasilkan berdasarkan pengalaman lampaunya. "Saya tidak akan bercerita secara spesifik mengenai hubungan cinta saya. Tapi jika anda ingin ketahui, dengar muzik saya.

"Walaupun sudah berkahwin, saya sendiri masih mempunyai soalan mengenai cinta. Perkara itu bukan sesuatu yang pernah berlaku dalam kehidupan saya. Kegagalan cinta adalah benda yang berlaku beberapa kali dalam hidup saya."

Sungguhpun menonjol sebagai penyanyi, kredibiliti lakonan Jennifer mula mendapat perhatian apabila beberapa filem lakonannya termasuk Maid in Manhattan, The Wedding Planner dan Monster-in-Law berjaya di pasaran.

"Mungkin ramai yang berpendapat filem romantik komedi lakonan saya kosong dan tidak berkualiti. Tapi pada saya, Maid in Manhattan dan Monster-in-Law merupakan filem komedi yang ada makna tersirat. Itulah sebabnya mengapa filem-filem itu begitu berjaya dan berjaya mencecah kutipan AS$100 juta (RM340 juta). Penonton tidak menyukai romantik komedi yang mengarut.

Terbaru, dia kini muncul menerusi filem The Back-Up Plan dengan memegang watak sebagai Zoe. Bosan menanti cinta sejati dalam hidupnya, Zoe membuat keputusan untuk mengandung melalui teknologi persenyawaan in-vitro.

Selepas melakukan rawatan itu, Zoe bertemu ditakdirkan dengan jejaka idaman, Stan (Alex O'Loughlin). Mereka jatuh cinta tetapi Zoe tidak dapat memberitahu dirinya sedang mengandung.

Mengulas mengenai Zoe, Jennifer mengakui dirinya amat dekat dengan watak itu kerana dia sudah memiliki sepasang kembar.


MENDAMPINGI aktor Alex O'Laughlin dalam filem The Back-Up Plan, Jennifer melakonkan watak perempuan yang bertemu lelaki idamannya selepas menghamilkan dirinya sendiri menggunakan teknologi persenyawaan in-vitro.


"Walaupun Zoe menjalani rawatan persenyawaan in-vitro, saya tidak pernah terfikir untuk menerima rawatan sama. Apabila anda berbicara mengenai keluarga dan hubungan, saya seorang yang tradisional. Saya percaya Tuhan dan yakin dengan aturannya.

"Jadi, jika saya mengandung, saya akan mempunyai anak. Jika tidak, saya reda. Namun, Tuhan menyayangi saya. Semua emosi dan perasaan dalam skripnya mempunyai kaitan rapat dengan diri saya. Filem itu datang pada tepat masanya," ujarnya.

Jennifer memberitahu dia bersetuju untuk menerima filem itu bukan sahaja kerana dirinya pernah mengandung. Dia tahu kini merupakan masa yang terbaik untuk kembali berlakon. "Maksud saya, ini adalah masa untuk saya kembali berlakon.

"Rasanya saya memang menyukai genre romantik komedi. Ia adalah genre pertama yang ingin saya lakonkan. Semasa mencari, tawaran The Back-Up Plan datang kepada saya. Karya ini melambangkan diri saya pada masa yang sesuai," tambah pelakon kelahiran New York itu.

Ada sebabnya mengapa Jennifer menyukai romantik komedi. Baginya, setiap karya romantik komedi ada lenggok tersendiri. Kelainan itu boleh dilihat menerusi hero, pengarah, set penggambaran serta cerita berbeza.

"Gabungan drama dan komedi memerlukan emosi yang sebetulnya. Contohnya seperti babak intim, kami perlu lakukan kerana ia sebahagian daripada filem.

"Walaupun kami nampak natural, ia sesuatu yang pelik. Bagi saya, sungguhpun anda menyukai orang itu, bercium di hadapan kamera amat pelik. Memang ia sebahagian daripada kerjaya kami. Tapi ia amat pelik."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: