Tuesday, July 13, 2010

Rahsia identiti kekasih


KERJAYA Sarimah semakin berkembang dengan menerima pelbagai tawaran mengacara termasuk menjadi duta produk kecantikan.


BERAHI Sarimah Ibrahim, 32, terhadap yang namanya cinta tidak pernah mati. Itu jelas terlihat. Sungguhpun rumah tangga dibentuk sebelum ini dengan lelaki pilihan, Amir Andrew Abdullah, 39, menemui titik penamat pada Disember 2008, pintu hatinya belum pernah tertutup menerima kembali kehadiran sang arjuna dalam hidup.

Dalam dibalut kesibukan meladeni tanggungjawab sebagai anak seni, dalam diam dia sempat bermain cinta dengan pemuda Melayu. Hal tersebut tidak dikongsi dengan sesiapa. Malangnya, hubungan mereka tidak mampu mendaki lebih tinggi. Baru dua bulan berpacaran, Sarimah dan kekasih hati mengambil kata putus menoktahkan cinta masing-masing.

Alasannya, teman lelaki Sarimah yang juga kenalan lamanya mahukan dia mengucap selamat tinggal kepada dunia seni selepas akad nikah. Spontan jawabnya: "Siapa saja tidak sedih mengenang perkara ini ditambah saya suka dia. Tapi, hendak buat macam mana, saya belum bersedia berhenti daripada melakukan tugas dicintai ini."

Kini, tiada lebih membahagiakan apabila hati wanita berdarah Melayu dan Irish itu apabila ia dicuri kembali. Entahkan kerana kebetulan ataupun telah direncana oleh-Nya, kecintaan Sarimah terhadap lelaki berbangsa asing bersemi tanpa mampu ditolak. Baru dua bulan menjalin asmara dengan lelaki istimewa itu, Sarimah mengambil sikap enggan terburu-buru.

Ketika berbicara tentang gerangan individu beraja di hatinya, penyanyi popular dengan lagi Kini Kau Tiada itu kelihatan malu-malu untuk memukul gendang.

Bukan sengaja tidak mahu menjaja soal privasi, pengalaman pahit lepas bagaimanapun dilihat banyak mendidik diri tambahan pula prestasinya di laman hiburan ini semakin menunjukkan barometer membanggakan.

"Dia merupakan kawan lama saya yang bekerja selama tiga tahun di sini sebelum mengembara ke negara lain. Sekarang, dia pulang semula ke Malaysia menyambung tugasnya.

Daripada situ, hubungan terpisah seketika ini disambung kembali. Buat masa ini, kami masih dalam proses mengenal hati budi antara satu sama lain.

"Yang penting, dia yang seusia saya bukan anak kelahiran Australia, Ireland atau Amerika. Cukup sampai di sini saya cakap tentang dia. Takut hendak beritahu lebih-lebih. Kalau kami sudah serius, barulah saya boleh ulas panjang," jelas Sarimah yang sebelum ini digosip bercinta dengan lelaki berwajah mat saleh tanpa mengetahui individu berkenaan merupakan adik kandungnya.

Belajar percaya

Menjadi tabiat diri, Sarimah mengaku dia bukan seorang wanita yang mudah mempercayai orang lain lebih-lebih lagi bercakap tentang teman lelaki. Di laut fikir dan pemerhatian diri, jangan sesekali menaruh impian tinggi melangit terhadap seseorang jika ia belum nampak pasti.

"Biarlah saya uji dia terlebih dulu. Buat permulaan, saya ingin bawa dia jumpa orang tua terutama emak yang agak 'ganas' setiap kali bertentang mata dengan teman lelaki saya. Kalau dia tidak suka, emak akan cakap terus tanpa perlu berselindung. Saya lihat restu keluarga amat penting dalam kita melakukan setiap perkara.

"Selain itu, saya mahu tengok ketahanan dirinya sama ada dia mampu mengharungi cara hidup dan mulut saya ini. Terus terang, selepas perkahwinan berakhir, saya tidak mudah percaya kepada sesiapa lagi. Bayangkan, saya kena belajar percaya orang semula dari bawah. Diakui, ini tidak mudah seperti disangkakan.

"Setakat ini, saya telah meletakkan 50 peratus penerimaan diri sebelum hubungan kami mencapai tahap lebih serius iaitu pernikahan. Ia sudah semakin hampir ke tempatnya. Lagipun, saya tidak sabar hendak jadi seorang ibu kerana bosan tinggal bersendirian ditemani kucing.

"Insya-Allah, kalau ada perancangan untuk mendirikan rumah tangga semula, saya ingin buat dalam suasana meriah berbanding sebelum ini tertutup dan kecil-kecilan saja," luah Sarimah sambil menyatakan dia terbiasa dengan sikap posesif kerana menginginkan teman lelaki sentiasa berada di sisinya.

Dalam kegembiraan berbicara perihal hidup, Sarimah yang dilahirkan pada 19 Februari 1978 itu tidak ketinggalan meluah isi hati tentang tawaran mengacara program realiti, The Biggest Loser Asia yang kini melangkah musim kedua bersiaran di saluran The Hallmark.

Tawaran

Bergelar hos The Biggest Loser Asia musim pertama tidak dinafikan menjadi saat terpaling indah buat Sarimah. Masakan tidak, itu kesempatan paling dinantikan setiap orang. Mengacara sebuah program bertaraf antarabangsal, ia dilihat mampu menjadi platform terbaik mengembang sayap seni pada tahap lebih tinggi.

Cuma, anak kelahiran Dublin, Ireland itu sedang berbagi perasaan melakukan pertimbangan untuk muncul semula di skrin televisyen mengepalai rancangan kesihatan itu. Ironinya, ada rintangan tertentu menanti di depan sebelum dia boleh menurunkan tandatangan pada kertas kontrak.

"Dengan keadaan program ini, saya tidak patut berpakaian seksi. Ada banyak benda kena fikir dulu terutama pihak media dan peminat di Malaysia. Saya tidak mahu berpakaian mendedahkan anggota badan termasuk nampak pusat sambil berjalan di tepi laut. Tidak manis kelihatan kalau orang Timur macam saya buat perkara ini.

"Saya sedang berusaha hendak terangkan kepada produksi The Biggest Loser Asia tentang hal ini. Jangan bimbang, saya akan bermati-matian memperjuang soal pakaian dan adat masyarakat Timur. Harapan saya agar mereka mampu berkompromi bagi menyelesaikan dilema ini.

"Sejujurnya, walaupun mengacara sebuah program dikenali seluruh dunia, saya tetap kena jaga batas sebagai artis Malaysia, muncul dengan imej berpatutan ditambah saya telah mengikat perjanjian dengan Astro Production sebagai Hos Eksklusif Astro sejak dua tahun lalu. Saya baru saja sambung kontrak beberapa bulan lalu.

"Apa yang dilakukan dalam The Biggest Loser Asia harus bertepatan pada karier saya dan nama baik Astro. Saya mahukan sesuatu yang boleh menaikkan graf sendiri, bukan menjatuhkan ia pada tahap terendah," tutur Sarimah yang terkilan dengan sikap segelintir selebriti kerana sanggup mengenepikan isu maruah dan bayaran semata-mata ingin bergelar hos program sama.

Selepas menyelesaikan amanah pengemudi The Biggest Loser Asia dan Akademi Fantasia 8 (AF8), rezeki nampaknya terus berpihak kepada anak sulung daripada empat beradik itu. Satu persatu tawaran mendatang di depan mata sekali gus komitmennya untuk tahun 2010 terisi dengan pelbagai projek.

Khabarnya, dia bakal dirisik untuk bergelar jurucakap produk kecantikan dan kosmetik beribu pejabat di United Kingdom, The Body Shop. Bukan calang-calang, selama ini, jenama itu tidak pernah mengangkat mana-mana selebriti menjadi wajah barangan mereka. Benar ataupun tidak, kita nantikan sahaja kesahihan perkhabaran berkenaan.

"Selepas buat AF8, saya terus bercuti dengan adik ke Pulau Sipadan selama 12 hari menjalankan pelbagai aktiviti menarik. Balik saja daripada percutian, saya didatangi banyak tawaran bergelar jurucakap produk berupa gula gantian kepada gula pasir, Equal yang mampu menyihat serta menghindar penyakit.

"Menariknya, saya juga menerima pelawaan sebagai duta Reebok sebaik saja mengendalikan The Biggest Loser Asia. Tidak ketinggalan, saya terlibat dengan kempen barah rahim dan AIDS Aware, mengacara program baru berbentuk kekeluargaan di Astro, ingin ambil peperiksaan bergelar jurulatih pilates dan terlibat dalam terbaru arahan Mamat Khalid, Apokalips," jelasnya yang turut mengacara Simfoni Amal Diraja - Harmoni Itu Indah naungan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 2 Oktober ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: