|
|
KELIHATAN agak letih ketika ditemui di kelab Celebrities Hall of Music, Solaris, Mont Kiara, Nikki Palikat, 25, yang mengandung lima bulan berada di sana untuk mempersembahkan sedikit sedutan teater Shout! The Mod Musical yang dibintanginya bersama Ning Baizura.
Kata Nikki, dia bukan penat kerana mengandung tetapi kerana terpaksa menunggu agak lama sebelum persembahan bermula. Namun, pemilik nama penuh Nicolette Louisa Palikat itu tidak mengecewakan di atas platform persembahan.
Mencuri sedikit masa untuk bertemu dengan media, Nikki berkongsi pengalaman mengandung buat kali pertama. "Pada tiga bulan pertama, saya asyik muntah dan kebetulan ketika itu saya mempunyai banyak persembahan. Jadi ketika itu saya amat penat. Namun, apabila memasuki trimester kedua, keadaan bertambah baik."
Isteri kepada komposer Audi Mok juga memberitahu bahawa selera makannya berubah dan yang paling teruk, dia tidak boleh menonton saluran yang berkaitan dengan makanan. Hanya dengan imaginasi sahaja, Nikki akan muntah teruk.
"Makanan yang digemari dulu tidak lagi disukai. Walaupun hanya tengok sahaja, saya akan muntah. Tapi sekarang keadaan sebaliknya berlaku. Dulu saya tidak ada selera. Namun, selepas kandungan saya berusia 14 minggu, keadaan mula berubah. Saya mahu makan semua benda," jelas Nikki yang memegang watak The Yellow Girl dalam teater tersebut.
Tidak pernah merancang untuk memiliki anak pada usia muda, Nikki bagaimanapun memberitahu kandungan itu merupakan rezeki pemberian Tuhan. Bakal melahirkan anak lelaki pada bulan November nanti, Nikki juga menyatakan bahawa dia lebih bertenaga semasa mengandung.
"Peliknya, saya rasa lebih bersemangat dan bertenaga semasa mengandung. Mungkin saya begitu teruja atau semangat ini datang daripada bayi saya. Lagipun, sekarang saya kuat makan. Jadi adalah lebih baik jika saya lebih aktif," ujarnya.
Merupakan seorang yang aktif bersenam sebelum mengandung, Nikki sekarang sudah mula mengehadkan persembahan kerana perbatasan pergerakan serta kostum. Tambahnya, muzikal Shout! itu akan menjadi persembahan terakhirnya sebelum dia berehat.
"Sekarang saya perlu melihat persembahan yang ditawarkan. Maklumlah, saya sudah tidak boleh membuat persembahan rancak. Jadi muzikal ini akan menjadi persembahan terakhir saya sebelum saya berehat. Lagipun saya tidak mahu berehat begitu awal kerana akan berasa penat dan berfikir yang bukan-bukan.
"Adalah lebih baik saya mengisi hari saya dengan pelbagai aktiviti. Seperti latihan untuk teater ini, ia berlangsung bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang. Walaupun panjang, saya menyukainya kerana mahu mencuba bidang teater. Ia sesuatu yang berbeza daripada apa yang saya lakukan sebelum ini," tambahnya yang pertama kali terlibat dalam pementasan.
Shout! The Mod Musical yang diterbitkan oleh Broadway Academy (M) Sdn. Bhd. diarahkan oleh Michael Voon itu turut melibatkan lakonan Joanna Bessey, Tria Aziz, Shanel Shanty dan Tisha Zarina. Bakal dipentaskan pada 15 Julai sehingga 21 Julai ini, ia akan mengambil tempat di Pentas 1, Kuala Lumpur Performing Art Centre (KLPac).
Sama seperti pelakon lain, Ning yang turut menghadiri sesi uji bakat menyukai pementasan itu kerana lagu-lagunya. Hanya berlatih selama sebulan lebih, Ning memegang watak sebagai The Orange Girl.
"Saya tidak pernah melalui tahun 1960-an. Jadi dengan pementasan ini, saya dapat menyingkap dan merasai apa yang berlaku ketika itu. Pementasan ini mengisahkan lima wanita yang mewakili usia berlainan. Mereka menulis surat kepada pengarang majalah Shout! setiap tahun untuk menceritakan pergolakan diri masing-masing," jelas Ning.
Diadaptasi daripada muzikal asal, keseluruhan jalan cerita dan pengolahan adalah 100 peratus seperti teater asal. Selain daripada Jepun, Korea, Australia, Filipina dan Afrika Selatan, hanya Malaysia mendapat lesen untuk menerbitkan produksi itu. Apa yang berlainan adalah para pelakonnya.
"Sebenarnya masa sebulan sahaja tidak cukup untuk berlatih. Jadi kami sentiasa memberikan 100 peratus tenaga pada sesi latihan. Cabarannya dalam pementasan adalah setiap pergerakan akan diperhatikan. Maka, setiap pelakon perlu bekerjasama dalam menyempurnakan teater ini," tambahnya yang perlu menukar tiga pakaian sepanjang pementasan itu.
Sebelum pementasan itu menjelajah ke Singapura, Thailand, Indonesia dan Hong Kong, pastikan anda menyaksikannya di KLPac. untuk keterangan lanjut, sila layari laman web www.klpac. org atau www. broadwayacademy.asia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: