Tuesday, July 13, 2010

Perlumbaan kitar semula


SEBANYAK 32 buah sekolah dari Lembah Klang berusaha mengutip hasil buangan tertinggi bagi menjuarai Pertandingan Kitar Semula 2010 anjuran F&N dan MBSA.


MEWUJUDKAN persekitaran yang kondusif melalui pembuangan sampah yang terurus sudah menjadi polemik pelbagai pihak.

Longgokan sampah yang dibuang sembarangan di kawasan terbuka bukan sahaja mengakibatkan pencemaran, malah tindakan itu juga meningkatkan lagi eksplotasi sumber hutan negara.

Meskipun Program Kitar Semula telah direncanakan namun tabiat membuang sampah sesuka hati masih menjadi amalan rakyat Malaysia.

Sehubungan itu, bagi memastikan program tersebut berterusan, syarikat pengeluar minuman terkemuka, F&N Sdn. Bhd. dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Alam Flora Berhad Sdn. Bhd. telah menganjurkan Pertandingan Kitar Semula 2010.

Aktiviti yang berlangsung selama tiga bulan itu menjadikan pelajar sebagai golongan sasaran. Disertai oleh sejumlah 32 buah sekolah dari Lembah Klang, setiap sekolah berusaha mengutip hasil buangan tertinggi.

Setakat ini, persaingan paling sengit dapat dilihat pada dua buah sekolah yang berjaya mengungguli kategori sekolah rendah dan menengah. Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 9 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 2 masing-masing mengutip sejumlah 8,135 kilogram (kg) dan 2,696 kg bahan buangan.

Kedudukan itu membolehkan SK Seksyen 9 mendahului dua kali ganda daripada saingan sengitnya, SK TTDI Jaya yang berjaya mengumpul sebanyak 4,253 kg. Keputusan itu nyata satu kejutan memandangkan tahun sebelum ini SK TTDI Jaya berjaya memenangi kempen tersebut dengan kutipan berjumlah 22,955 kg berbanding SK Seksyen 9 yang hanya menduduki tempat kedua dengan berat pengumpulan sebanyak 5,042kg.

Situasi tersebut jelas menjadi motivasi kepada seluruh kakitangan dan pelajar S.K. Seksyen 9.

Pembantu penasihat kurikulum SK Seksyen 9, Ong Eng Too berkata, pihak sekolah sentiasa menekankan faedah kitar semula.

Justeru, kempen tersebut menjadi aktiviti utama untuk menanam sikap cintakan alam sekitar di kalangan pelajar.

"Sokongan yang diterima khasnya daripada ibu bapa sungguh memberangsangkan. Tanpa bantuan mereka, mustahil kami mampu mencapai hasil sebegini," katanya.

Penasihat Kelab Kelab Kitar Semula SK TTDI Jaya, Zalma Ishak pula memberitahu, sekolahnya belum mahu mengalah.

"Seperti tahun-tahun sebelumnya, kami menggunakan cabaran kitar semula mini di sekolah sebagai satu bentuk motivasi untuk pelajar. Individu atau kelas yang berjaya mengutip amaun tertinggi akan menerima ganjaran menarik.

"Masih ada sebulan. Jadi, kami mempunyai masa yang cukup untuk mengejar kutipan itu," katanya dengan yakin.

Tambahnya, pihaknya akan berusaha lebih keras untuk mendorong pelajar-pelajar supaya terlibat dalam program kitar semula itu dengan meningkatkan koleksi kutipan setiap kelas.

Sementara itu, Penyelaras SMK Seksyen 2, Suraya Hamzah yang terkejut bercampur gembira dengan keputusan itu juga optimis dengan peserta-peserta lain.

"Setiap sekolah mempunyai strategi masing-masing dalam memastikan kejayaan mereka dalam pusingan akhir ini.

"Strategi yang kami gunakan bukan hanya melibatkan pemberian hadiah kepada pelajar tetapi juga pihak guru.

"Dengan ini, seluruh warga sekolah akan berusaha untuk memulihara alam sekitar," katanya.

Tahun lalu, SMK Bukit Jelutong dinobatkan sebagai juara dalam kategori sekolah menengah dengan kutipan bahan buangan berjumlah 10,676 kg.

Kempen Kitar Semula F&N Beverages & MBSA mengajak warga sekolah mengumpul bahan-bahan terpakai seperti tin aluminium, botol plastik dan kertas untuk dikitar semula.

Sekolah yang berjaya mengutip hasil buangan tertinggi dalam kategori masing-masing berpeluang menangi hadiah wang tunai bernilai RM1,500.

Sejumlah wang tunai bernilai RM15,400 telah diperuntukkan sebagai hadiah keseluruhan untuk kempen ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: