Tuesday, July 13, 2010

Beg plastik lapan km




PADA zaman serba canggih ini, boleh dikatakan hampir kebanyakan kedai atau pusat beli-belah menggunakan beg plastik untuk membungkus barang yang dibeli oleh para pelanggan mereka. Adakalanya beg-beg plastik itu membuatkan kita rimas untuk memegangnya. Justeru, sebagai jalan mudah kita akan membuang beg-beg plastik merata-rata tersebut tanpa mengambil kira kesan jangka panjangnya.

Berapa ramaikah antara kita yang tahu kesan pembuangan plastik sampah dan pernahkah kita terfikir ke mana perginya kesemua sampah sarap itu?

Realitinya, lori sampah yang mengangkut plastik sampah setiap hari tidak dapat menghapuskan plastik-plastik sampah itu begitu sahaja. Sampah-sampah tersebut akan diangkut ke tapak pelupusan sampah yang berhampiran untuk di kitar semula.

Atas insentif pentingnya kitar semula, Politeknik Merlimau Melaka telah mencipta sejarah apabila lebih 5,200 pelajarnya mengumpulkan plastik-plastik sampah terbuang beramai-ramai.

Bahkan, beg plastik yang dikumpulkan oleh pusat pengajian itu berjaya dicatatkan dalam Malaysia Book Of Records (MBR) menerusi program Himpunan Plastik Sampah Terpanjang yang disampaikan oleh wakil MBR, Myra Dzaman. Rekod itu sekali gus menjadikan institusi itu sebagai sebuah pusat pengajian pertama di negara ini yang mengumpul dan menyambung beg plastik sepanjang lapan kilometer (km).

Jika kita bermotosikal atau berkereta, lapan (km) itu satu jarak yang jauh tetapi bayangkan beg-beg plastik itu disambung-sambung untuk jarak tersebut.

Mencuri masa

"Warga Politeknik mengambil masa hanya dua minggu untuk merealisasikan impian tersebut yang secara tidak langsung dapat menyelamatkan alam sekitar," kata Ketua Program Cabaran Beg Plastik, Arman Md. Said.

Arman memberitahu, pelbagai cabaran terpaksa ditempuh dalam menjayakan misi itu kerana pada masa yang sama kelas pembelajaran berjalan seperti biasa.

Menariknya, pelajar-pelajar dan pensyarah di politeknik itu sanggup mencuri masa untuk melakukan kerja-kerja menyambung beg-beg plastik tersebut.

"Lebih lucu, jika mereka menjumpai beg-beg plastik yang di jalanan, sama ada pensyarah atau pelajar pasti berebut-rebut untuk mengambil plastik sampah itu untuk dikumpulkan.


SERAMAI 5,200 warga pelajar Politeknik Merlimau Melaka merakam kenangan manis selepas tamat menghimpunkan plastik bungkusan makanan sepanjang lapan kilometer.


"Secara tidak langsung, kawasan politeknik bersih tanpa plastik sampah termasuk di luar pusat pengajian ini," selorohnya.

Arman memberitahu, pada awalnya program tersebut hanyalah sekadar perbincangan santai dan idea yang dicetuskan adalah secara spontan.

Bagaimanapun, dia tidak sangka idea lucu itu akhirnya menjadi kenyataan apabila objektif sebenar program bukan sekadar mencipta rekod dalam MBR tetapi untuk memupuk kesedaran mengitar semula bahan-bahan terbuang.

Menurut beliau, isu penggunaan plastik yang berlebihan dalam pembungkusan bukanlah perkara baru kerana sebelum ini pun sudah terlalu banyak kempen kesedaran dilaksanakan oleh kerajaan, pihak swasta mahupun badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Menurut Arman, kempen yang dilancarkan sejak 27 April lalu itu telah mengumpulkan sejumlah 500,000 bungkusan plastik terpakai yang akan diserahkan kepada pusat kitar semula bagi tujuan pelupusan.

Cabaran

"Program sebegini akan memberi kesedaran kepada pelajar dan masyarakat sekeliling tentang pentingnya menjaga alam sekitar. Buktinya dalam masa dua minggu ratusan bungkusan beg plastik telah berjaya dikutip,'' katanya.

Selain mengelakkan pencemaran, cabaran itu juga menggalakkan pelajar untuk berfikir dahulu sebelum menggunakan apa-apa bahan dalam kehidupan seharian.

Bercerita lanjut tentang kempen tersebut, kata Arman, idea kempen cabaran beg plastik terpakai timbul setelah melihat kejayaan kempen Cabaran Zero Polisterina yang berlangsung penghujung April lalu.

Seorang pelajar, Norsahaliza Md. Roslee, 18, berkata, dia bukanlah orang yang rajin mengutip sampah terutama beg plastik.

"Apabila masuk ke politeknik pada 23 Jun lalu saya agak terkejut apabila diberitahu kolej akan membuat satu program mengutip beg plastik yang dibuang.

"Nampak lucu tapi apabila kita biasa lakukan, lama-kelamaan ia menjadi satu kebiasaan. Pantang nampak beg plastik, saya rasa tidak selesa dan saya mesti mengutipnya," katanya ketika ditemui.


ISTIREHAT. Para pelajar Politeknik Merlimau tetap kelihatan ceria meskipun letih melakukan kerja-kerja menyambung beg-beg plastik terpakai.


Seorang lagi pelajar Mohamad Idham Zainal, 18, mengakui dalam merealisasikan program tersebut, banyak cabaran perlu ditempuhi kerana ia menuntut kesabaran yang tinggi.

"Saya pernah dipandang pelik apabila mengutip sampah di taman perumahan kerana nampak macam berlagak pembersih namun saya biarkan sahaja asalkan persekitaran nampak bersih," katanya.

Bagi Nur Ezura Huda Anisan, 18, cabaran yang perlu ditempuh apabila terpaksa mencuci beg plastik kotor yang dikutip dari tong sampah.

Lebih memualkan adakalanya beg plastik itu berminyak dan berair. "Saya kuatkan hati mencuci beg-beg plastik itu dan tidak sangka hasil pengorbanan tersebut tercatat dalam MBR," kata pelajar yang berasal dari Selangor itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: