Wednesday, July 21, 2010

Pengurusan Sampah Perlu Anjakan Baru

Lambakan sisa pepejal mengehadkan kawasan pelupusan.

WALAUPUN jumlah sisa pepejal atau sampah dijangka meningkat kepada 30,000 tan setiap hari menjelang tahun 2020, namun tahap pengurusannya di negara ini masih terkawal.

Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Datuk Dr Nadzri Yahaya bagaimanapun berkata, urusan kutipan masih kurang memberangsangkan kerana kontrak antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat konsesi membabitkan bayaran interim.

“Perjanjian dari tahun ke tahun itu menyebabkan syarikat konsesi tidak dapat mengembangkan pelaburannya berikutan aliran tunai yang terhad.

“Kekangan kewangan itu menyukarkan usaha penambahbaikan mutu pengurusan kutipan sisa pepejal terutama melibatkan operasi,” katanya kepada Mingguan mStar.

Terdapat tiga syarikat konsesi yang menguruskan sisa pepejal isi rumah iaitu Alam Flora Sdn Bhd (wilayah tengah), Southern Waste Management Sdn Bhd (wilayah selatan) dan E-Idaman Sdn Bhd (wilayah utara).

Mesra alam

Menurut Nadzri, kebanyakan PBT hanya mengendalikan tapak pelupusan sisa pepejal biasa berbanding tapak pelupusan sanitari yang mesra alam.

Katanya, ini mengakibatkan kualiti pelupusan kurang memuaskan kerana tiada kemudahan yang boleh mencegah pencemaran alam sekitar apatah lagi menangani kesihatan awam.

“Sehubungan itu, semua tapak pelupusan sisa pepejal baru akan dibangunkan secara sanitari malah tapak pelupusan sedia ada akan dinaiktaraf kepada jenis itu.

“Pun begitu, saya tidak menolak pengurusan sisa pepejal mungkin menjadi kritikal sekiranya tapak pelupusan tidak dinaiktaraf bagi membendung masalah alam sekitar terutama pelepasan air larut resap dan tidak di tutup selamat apabila ia tidak digunakan lagi,” ujarnya.

Berdasarkan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kerajaan kini sedang menaiktaraf tapak pelupusan yang agak kritikal dan berada di kawasan sensitif kepada jenis sanitari.

Selain itu, ia juga boleh ditutup selamat. Semua usaha tersebut akan diteruskan dibawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).Walaupun terdapat 290 tapak pelupusan sisa pepejal di negara ini, namun kebanyakannya tidak begitu sensitif dengan sumber air, hidupan dan persekitaran.

Beliau berkata, kos pengurusan sisa pepejal di Semenanjung adalah kira-kira RM1 bilion setahun yang membabitkan proses kutipan sehinga ke peringkat pelupusan.

“Ia adalah kadar yang ditetapkan oleh pengurusan di bawah PBT sejak tahun 1997 dan tidak termasuk kos membangunkan tapak pelupusan jenis sanitari.

“Jumlah itu merupakan kadar 13 tahun lalu, maka jumlah semasa mungkin jauh lebih tinggi daripada RM1 bilion mengambilkira kos inflasi dan kenaikan kos pengurusan,” tambahnya lagi.

Bagaimanapun Nadzri berkata, kos tersebut mampu dikurangkan sekiranya keberkesanan pengurusan dipertingkatkan seperti pengukuhan pengasingan punca sisa pepejal.

Kos pengurusan

Peningkatan kecekapan juga mengurangkan kos pengurusan membabitkan jentera dan tenaga kerja, mengemaskini laluan serta penggunaan lori bersaiz optimum.

Tanpa pemantauan akan menyebabkan pengurusan semakin kritikal seperti tapak pelupusan tidak mencukupi, kenaikan kos dan wujud pembuangan sampah secara haram.

Berdasarkan kajian, seorang rakyat Malaysia menghasilkan secara purata 0.8 kilogram sampah setiap hari. Komposisi sisa pepejal terdiri daripada sisa makanan iaitu 45 peratus, plastik (24 peratus), kertas (7 peratus), besi (6 peratus) manakala kaca (3 peratus) dan bakinya lain-lain.

Dengan kaedah rawatan loji larut resap yang berteknologi tinggi, Nadzri berkata, diharapkan ia dapat mengurangkan 50 peratus daripada 45 peratus sisa makanan.

Bagaimanapun jelasnya, Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab menampung kenaikan kadar berkenaan berikutan peningkatan mutu perkhidmatan.

“Kos pengurusan amat tingi di mana PBT memperuntukkan daripada 30 sehingga 70 peratus daripada hasil mereka untuk pengurusan berkenaan,” katanya.

Berdasarkan kajian berkaitan amalan 3R (pengurangan, guna semula dan kitar semula) lebih 80 peratus rakyat Malaysia sedar kepentingan kitar semula, namun hanya 50 peratus sahaja mengamalkannya.

“Justeru, masyarakat perlu mengambil langkah bijak mengurangkan pembuangan dan amalkan kitar semula. Ini menjimatkan perbelanjaan kerajaan melupus sisa pepejal.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: