LATAR belakang kehidupannya dikelilingi dengan pucuk pemerintahan negara yang kini disandang bapanya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengulangi perjuangan bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein selaku Perdana Menteri Malaysia kedua.
Norashman Razak Najib, anak bongsu Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, walaupun mempunyai perjalanan yang masih jauh dalam kehidupannya namun mewarisi satu persamaan yang ketara dengan bapa dan datuknya dari segi hubungan dengan negara China.
Bermula dengan Tun Abdul Razak yang menandatangani perjanjian hubungan diplomatik dengan Pengerusi Parti Komunis China, Mao Zedong pada 1974, ia disusuli dengan kunjungan Najib selaku Perdana Menteri ke negara itu pada 2009 sebagai memperingati ulangtahun ke-35 terjalinnya hubungan diplomatik yang dirintis oleh bapanya.
Selaku generasi ketiga, Norashman pula menyambung legasi itu dengan kejayaannya menamatkan kursus tiga minggu pengajian bahasa Mandarin di Beijing Foreign Studies University (BFSU) baru-baru ini.
Merungkai latar belakang anak muda berusia 19 tahun ini mengikuti pengajian bahasa Mandarin, Norashman menjelaskan dia memilih mendalami bahasa Mandarin setelah mendapati kemungkinan bahasa tersebut akan menjadi bahasa kedua yang banyak ditutur di dunia pada masa akan datang.
Menurutnya, adalah satu kelebihan yang besar sekiranya seseorang itu boleh bertutur bahasa Mandarin, malah begitu unik untuk dipelajari termasuk komuniti dan budaya masyarakat Cina.
Beliau tertarik dengan satu amalan bahawa kepentingan individu itu tidak sesekali berlaku di dalam masyarakat apabila sentiasa memikirkan tentang orang lain.
“Bagi saya, dua tahun adalah tempoh yang membolehkan seseorang itu untuk bertutur bahasa Mandarin kerana keutamaan adalah membiasakan dengan intonasi bahasanya.
“Bukan mudah untuk mendapatkan intonasi yang sesuai kerana tanpa keupayaan itu mungkin menyukarkan orang lain memahami apa yang anda perkatakan,” katanya.
Baru-baru ini, Norashman berpeluang membuat satu ucapan dalam bahasa Mandarin sehingga mengkagumkan guru dan rakan pelajarnya.Ucapan yang banyak menggunakan ungkapan itu dilakukan pada satu majlis tamat kursus lanjutan selama tiga minggu di BFSU.
Norashman menyifatkan peluang itu satu kepuasan kerana beliau berupaya bertutur dalam bahasa lain yang dapat difahami khalayak.
“Lebih menarik, apabila saya dapat berjenaka dalam bahasa Mandarin sehingga membuatkan mereka ketawa. Itulah cabaran, tetapi saya berasa amat puas,” katanya.
Norashman mendapat gelaran nama Cina, Ji Ping malah mendapat pujian daripada Presiden BFSU, Profesor Chen Yulu kerana usaha dan kegigihannya mengikuti kursus.
Menceritakan detik pembelajaran, beliau dan rakan-rakan menggunakan kaedah rakaman bagi merekodkan perbualan dalam bahasa itu dan dihantar kepada guru untuk penilaian.
Kaedah pembelajaran itu membantu beliau untuk fokus mendalami bahasa itu berbanding apa yang diamalkan sebelum ini sewaktu mula belajar bahasa berkenaan di AS.
“Saya tidak sekadar bertutur bahasa Mandarin di dalam kelas, tetapi turut mengamalkannya di luar sepanjang kursus malah di restoran sekalipun,” katanya.
Sepanjang kursus, Norashman banyak dibantu oleh guru-guru dan rakan-rakan. Fasih untuk berturut bukan satu kewajipan apatah lagi paksaan, tetapi percubaan itu amat dihargai.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: