Thursday, July 1, 2010

Nadi operasi TUDM


Mohd. Shahrulnaim Hussin (tengah) bersama Mohd. Zakri Mohamad (kiri) dan Omar Yusof bersama piala masing-masing selepas majlis Penyampaian Sijil dan Sayap Penerbangan Kuartermaster Udara TUDM di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


SEBUT sahaja Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), pastinya ramai antara kita akan membayangkan seorang juruterbang yang berpakaian segak dan memandu pesawat pejuang membelah angkasa.

Mungkin itulah juga yang sering bermain di minda kebanyakan rakyat negara ini apabila dikaitkan dengan salah satu cabang utama dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain daripada Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Hakikatnya, ramai terlepas pandang tentang kepentingan satu lagi unit dalam TUDM yang menentukan kejayaan sesuatu misi udara yang dijalankan.

Kuartermaster Udara. Begitulah namanya. Ia merupakan antara unit penting yang menjadi tunjang dalam menentukan kejayaan sesuatu operasi udara yang dijalankan oleh TUDM.

Ketika majlis Penyampaian Sijil dan Sayap Penerbangan Kuartermaster Udara Pesawat Nuri Siri 19/05 dan Pesawat Angkut Siri 05/09 baru-baru ini, Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Rodzali Daud berkata, kuartermaster udara merupakan elemen penting dalam perkhidmatan TUDM.

"Kuartermaster Udara akan membantu dalam operasi pesawat-pesawat bagi memastikan kejayaan setiap misi," kata beliau.

Menurutnya, pesawat-pesawat pada zaman ini serba canggih, berteknologi tinggi dan direka dengan konsep pelbagai krew dan pelbagai fungsi.

Ia bagi melaksanakan pelbagai jenis tugas termasuk mencari dan menyelamat, bantuan kemanusiaan serta bencana alam tanpa mengira waktu dan keadaan persekitaran.

Sehubungan itu katanya, Kuartermaster Udara perlu menanam azam untuk meningkatkan kemahiran dan memperbaiki diri sendiri dari segi kepakaran serta ilmu dalam bidang masing-masing.

"Untuk memastikan tugas yang dilaksanakan menjadi lebih cekap dan efisien, teruskanlah mendalami ilmu penerbangan," nasihatnya pada majlis berkenaan.

Pada majlis itu, seramai 16 anggota TUDM, tiga anggota TLDM serta tiga anggota Unit Udara Bomba menerima sijil dan sayap penerbangan masing-masing.

Kursus

Kursus Kuartermaster Udara bagi Pesawat Nuri Siri 19/05 dan Pesawat Angkut Siri 05/09 itu dijalankan selama sembilan bulan mulai Januari 2009 sehingga bulan September tahun yang sama.

Ia dibahagikan pada dua fasa iaitu enam bulan di Pusat Latihan Terbang 2, Kolej Tentera Udara, Alor Setar sebelum dihantar ke Pusat Latihan Taktikal di Kem Butterwoth pada tiga bulan berikutnya.

Ketika di Alor Setar, pelatih akan mempelajari mengenai pelbagai ilmu asas penerbangan.

Bagaimanapun, apabila memasuki fasa kedua kursus, mereka akan mendalami dan mempelajari mengenai sistem dan keadaan pesawat iaitu Nuri dan angkut.

Selain itu, mereka juga akan menjalani fasa penerbangan peralihan pesawat .

Ketika peringkat latihan itulah, semua pelatih melalui dua fasa iaitu latihan dan penerbangan dan selepas berjaya menamatkan semua peringkat dan fasa latihan, barulah mereka layak dianugerahkan Sayap Kuartermaster Udara.

Mencabar

Bagi Sarjan Udara, Mohd. Shahrulnaim Hussin, 30, Kuartermaster Udara sememangnya mempunyai daya tarikan yang tersendiri.

Dia yang dipilih sebagai pelajar terbaik kursus berkenaan bagi Siri 05/09 berkata, bidang itu sememangnya mencabar dan sentiasa menguji ketahanan fizikal.

Menurutnya, antara cabaran paling getir ialah sepanjang tiga bulan terakhir ketika berkursus.

"Bagaimanapun, disebabkan terlalu minat untuk bergelar seorang Kuartermaster Udara sejak menyertai TUDM, saya tidak menjadikan cabaran itu satu halangan.

"Saya juga berharap dapat meningkatkan pengetahuan dan pengalaman dalam bidang ini pada masa akan datang," jelas bapa kepada seorang anak perempuan itu.

Sementara itu, lain pula kisahnya dengan seorang pegawai TLDM iaitu Bintara Muda Bahagian Teknikal, Marin dan Elektronik 'Kuasa' atau BMTME'K', Omar Yusof, 32.

Omar merupakan antara tiga anggota TLDM yang menyertai kursus selama sembilan bulan itu.

"Ramai yang tidak tahu bahawa TLDM juga mempunyai unit udaranya sendiri yang menempatkan dua skuadron iaitu Skuadron 501 dan Skuadron 502.

"Bagaimanapun disebabkan tiada kepakaran, kami menyertai kursus yang dianjurkan oleh TUDM ini," ujar anak kelahiran Kuala Pilah yang telah berkhidmat selama 11 tahun dalam TLDM.

Kata Omar, kerjaya sebagai seorang kuartermaster memang satu tugas yang mencabar dewasa ini.

"Selain terlibat dengan misi atau operasi yang dijalankan, kami juga perlu lebih peka dan memahami segenap aspek berkaitan pesawat termasuk dari segi penyelenggaraan.

"Justeru, kerjasama antara ketiga-tiga pihak iaitu juruterbang, pembantu juruterbang serta Kuartermaster Udara perlu dalam menjayakan sesebuah misi," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: