|
|
JIKA disebut tentang muzium, pasti ramai yang tahu dan pernah ke sana. Kebiasaannya, mereka hanya melawat muzium ketika berada di bangku sekolah rendah.
Apa yang terlintas difikiran pada waktu itu muzium merupakan sebuah bangunan pameran bagi artifak mahupun barangan antik yang memiliki catatan sejarah.
Sama ada penting mahupun tidak, segala artifak yang terjaga rapi di muzium pastinya memiliki sejarahnya tersendiri.
Selain barangan, peralatan serta hiasan dahulu kala tidak ketinggalan haiwan liar yang telah diawet turut dipamerkan.
"Muzium pada abad ini tidak lagi berfungsi hanya sebagai dewan pameran semata-mata.
"Malah, ia kini merupakan pusat sumber serta merupakan rujukan yang merakamkan detik serta sejarah ketamadunan sesebuah negara," jelas Ketua Pengarah, Jabatan Muzium Negara, Datuk Ibrahim Ismail ketika ditemui baru-baru ini.
Tambahnya, sebagai contoh teknologi serta kemahiran mengawet haiwan yang telah mati turut menjadi tumpuan utama di muzium.
"Ini kerana spesies haiwan yang terdapat di Malaysia juga merupakan aset sejarah kepada negara.
"Justeru haiwan juga turut menjadi bahan rujukan pendidikan yang amat berguna terutamanya spesies-spesies haiwan yang telah pupus," ujarnya.
Pengawetan haiwan atau artifak bukan suatu kerja mudah. Jika tersalah langkah haiwan yang diawet tidak bertahan lama.
Malah jika kemahiran tersebut tidak dipelajari dengan betul maka maklumat yang akan di terima oleh masyarakat juga turut akan menjadi tidak tepat.
Sedar dengan risiko tersebut, Jabatan Muzium Negara telah menganjurkan Bengkel Taksidermi Burung selama empat hari yang disertai oleh kakitangan jabatan tersebut.
Seramai 21 kakitangan terlibat dalam penganjuran tersebut dimana empat daripadanya adalah khusus dalam pengawetan haiwan.
Menurut tenaga pengajar bengkel tersebut, Abdullah Abu Hassan, teknik, penggunaan alatan serta bahan didalam proses pengawetan amat penting bagi memastikan haiwan yang diawet bertahan lama.
Beliau yang juga bekas kakitangan Jabatan Muzium telah berpengalaman lebih dari 15 tahun dalam proses mengawet haiwan.
"Tugas mengawet haiwan memerlukan kesabaran di samping ilmu pengetahuan terhadap jenis haiwan tersebut.
"Selain itu penggunaan bahan pengawetan yang betul serta diperakui juga amat penting," katanya.
Cabaran sebenar
Antara bahan yang digunakan dalam proses pengawetan adalah seperti larutan asid sulfurik, larutan formalin, gliserin, tepung borax, plaster, garam dan kaolin (bahan untuk menghasilkan sebatian menyerupai tanah liat).
Jika untuk haiwan kecil seperti burung, kulit perlu disiat terlebih dahulu dan isinya akan diasingkan.
Seterusnya kulit burung atau haiwan akan di awet dengan menggunakan bahan-bahan pengawet dan antara bahan yang termudah adalah garam.
Terakhir, kulit tersebut akan dijahit pada badan tiruan yang diperbuat daripada jerami atau polisterina.
Namun proses tersebut perlu dilakukan dengan penuh teliti dan pengawet perlu mengetahui kedudukan struktur tulang dan bentuk badan haiwan yang diawet dengan tepat.
Ia bagi memastikan kedudukan serta bentuk haiwan yang diawet sama seperti ia masih hidup.
Bagi salah seorang kakitangan Jabatan Muzium, Namazie Lowe Amran, cabaran sebenar mengawet haiwan adalah bagi memastikan ia menyerupai haiwan hidup.
"Di samping itu penggunaan bahan yang betul juga penting bagi memastikan haiwan yang diawet bertahan lama.
"Justeru bengkel sebegini amat penting bagi kami sebagai kakitangan muzium agar dapat memastikan proses pengawetan berjalan dengan betul," ujarnya.
Sehingga kini, Jabatan Muzium Negara telah berjaya mengawet 4,500 spesimen dan di Muzium Negara sahaja memiliki 4,000 spesimen haiwan pelbagai spesies.
Malah, Muzium Negara turut memiliki spesimen serangga serta tumbuhan yang telah diawet.
Menurut Ibrahim, pihaknya juga sedang berusaha menjayakan bengkel seumpamanya untuk orang awam terutamanya para pelajar sekolah.
Ia bertujuan menarik minat orang ramai untuk menceburi bidang tersebut dengan lebih mendalam.
Selain itu, ia juga dapat menjadikan Muzium Negara sebagai pusat bagi segala maklumat serta pembelajaran dan bukan lagi sebagai bilik pameran semata-mata.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: