Monday, July 19, 2010

Masih aktif menyanyi, belum bersara



Kini genaplah 31 tahun penglibatan Datuk Khatijah Ibrahim dalam industri seni bukan saja tempatan malah sudah menjangkau hingga ke peringkat antarabangsa.

Mungkin ada yang menjangkakan penyanyi yang lebih dekat dengan panggilan Kathy, sudah tidak berapa aktif menyanyi lagi berikutan dirinya jarang sekali tampil secara terbuka sama ada membuat persembahan, program tv dan melahirkan album baru.

“Saya masih aktif lagi menyanyi, tidak ada alasan untuk saya tidak menyanyi kerana kecenderungan saya memang ke arah nyanyian. Kalau hendak ikutkan ramai yang ingin saya membuat persembahan dan kalau dibuat senarai memang terlalu panjang. Tetapi tidak semua saya boleh terima berikutan agak sibuk untuk menerima semua undangan sekali gus. Ini pun saya baru sahaja pulang dari Hong Kong untuk persembahan di sana,” katanya yang lebih menumpukan persembahan berbentuk korporat.

Khaty yang muncul dengan album pertama berjudul Sehari Dalam Cinta pada 1979, berkata, bukan niatnya tidak menghasilkan album langsung, namun dia tidak mahu meletakkan album sebagai pertaruhannya untuk dia terus berada di dalam industri.

“Bagi saya bukan tidak mahu menghasilkan album baru tetapi sekiranya tidak diputarkan oleh mana-mana stesen radio tiada guna juga. Ini kerana radio memainkan peranan penting, adakalanya ia memutarkan lagu yang mempunyai permintaan tinggi daripada pendengar. Jadi tidak perlulah untuk melahirkan album hanya sekadar untuk menyatakan pada peminat yang kita masih ada.

“Sekiranya membuat persembahan, saya juga lebih suka menyanyikan lagu-lagu lama. Ini yang menarik perhatian tetamu dan penonton untuk terus mendengar nyanyian saya. Lagi pun saya melihatkan mereka sangat terhibur dengan lagu-lagu seperti Ku Gembira Di sampingmu, Ku Pendam Sebuah Duka dan banyak lagi. Jadi dengan lagu baru belum tentu peminat akan suka,” katanya.

“Selagi saya masih boleh bertahan saya akan terus menjadi penghibur. Ini kerana apa membuatkan saya kekal kerana saya melihatkan kepada permintaan untuk saya melakukan persembahan di sana di sini. Saya tidak memilih pasaran sebagai tempat untuk menyatakan saya boleh kekal lama,” terangnya yang muncul sebagai artis ketika berusia 19 tahun, mengikuti jejak abangnya Latiff Ibrahim dan kakaknya Sophia Ibrahim

Khaty berkata, ada juga yang menyatakan dia berkecil hati dengan industri yang semakin tepu dan lebih suka untuk menumpukan pada persembahan korporat sahaja namun dia menyatakan tempoh selama lebih kurang 30 tahun tidak mungkin dia perlu mempunyai perasaan sebegitu.

“Saya menyanyi hingga sampai ke tahap sudah berpuluh tahun sebegini tidak ada faedah dan ertinya untuk berkecil hati dengan industri. Bukan senang juga bertahan hingga ke saat ini jadi tidak perlu memikirkan soal itu. “

“Saya selesa membuat persembahan kepada golongan korporat dan dalam masa sama inilah masanya untuk memberi peluang serta laluan generasi muda mengetengahkan diri secara lebih terbuka,” katanya yang pernah membintangi filem pertamanya, Kembara� Seniman Jalanan sekitar 1986.

Kathy berkata, andainya dia tidak punya apa-apa aktiviti seni maka dia lebih selesa untuk duduk di dapur restoran miliknya, Kathijah Kitchen yang terletak di Seksyen 11, Petaling Jaya.

Sementara itu, atas usahanya membantu penggiat seni terus membina tapak dan berkarya, Khaty dan krew yang terlibat seperti Majlis Muzik Malaysia, Belia Malaysia, Pertubuhan Pereka Bumiputera (Bumiputera Designers Association dan Saphire Screen Sdn Bhd) telah berkolaborasi untuk menganjurkan satu acara yang menggabungkan satu muzik, seni dan gaya tempatan dan antarabangsa dikenali sebagai, Music, Style International Festival 2010 (MASiF).

Festival yang akan diadakan di Pavillion, Kuala Lumpur mulai 15 September hingga 19 September ini amat yakin dengan penglibatan Kathy sebagai penaung untuk menarik lebih ramai peminat muzik untuk turut sama dalam acara yang julung-julung kali diadakan.

“Dengan acara begini mampu memberi peluang kepada artis bukan saja penyanyi malah pelukis, pereka fesyen dan sebagainya untuk menonjolkan bakat mereka ke peringkat lebih tinggi. Di samping itu, anak-anak muda boleh mempelajari pelbagai aspek menarik dalam dunia seni ini.”

“Melalui adanya festival seperti ini juga, dalam masa sama saya ingin menempatkan nama Malaysia di peta dunia sebagai salah satu tempat pelancongan yang menarik dikunjungi,” katanya yang ditemu bual ketika majlis sidang media memperkenalkan penganjuran MASiF kepada media.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: