Tuesday, July 13, 2010

Kentang putar 'import'

SEMUANYA bermula ketika kali pertama berkunjung ke Korea Selatan. Ketika itu wanita kecil molek ini dibawa suami (berbangsa Korea), Haikal Jin Won buat kali pertama melawat keluarga suaminya di Korea.

BEGINI CARANYA...Marini bersama kakitangannya di gerai di Ampang  Park.
BEGINI CARANYA...Marini bersama kakitangannya di gerai di Ampang Park.
pix_topright
Ketika itu Marini Mahbob, 27, melihat kegilaan masyarakat Korea yang gemar memakan kentang disalut perisa yang dicucuk pada sebatang lidi.

Keenakan makanan ini dapat dilihat apabila mereka bukan saja membeli satu, malah berbatang-batang kentang dihabiskan sambil berjalan menuju destinasi. Lebih menarik gerai ini bukan saja dalam pasar raya, tetapi di tepi jalan menggunakan pelbagai warna menarik.

Namun, Marini tidak pernah mencuba disebabkan ragu-ragu mengenai status halalnya. Daripada suami, Marini cuba mendapatkan maklumat mengenai resipi serta cara penyediaannya kerana dia ingin membuka perniagaan seperti ini di Malaysia.

"Kali pertama berkunjung ke Korea saya terus tertarik membawakan perniagaan kentang ini ke Malaysia kerana saya tidak pernah melihat kentang yang diputar seperti ini. Biasanya kentang dipotong panjang dan digoreng," katanya.

Setelah mendapatkan pandangan suami serta dorongan keluarga, sebagai permulaan Marini membuka gerai dengan nama Spring Potato di pasar malam Masjid India.Percubaan pertama memang tidak diduga kerana perniagaannya mendapat perhatian ramai. Tiga jam dibuka, ribuan batang kentang habis dijual.


"Saya tidak sangka dengan sambutan pelanggan yang sangat menggalakkan. Dalam tempoh tiga jam saja, 10 guni kentang berjaya dihabiskan."Malah, permintaan semakin bertambah disebabkan kali pertama dijual, pelanggan membeli dengan banyak," jelasnya.

Menariknya, Marini menghasilkan resipi sendiri sama ada tepung atau perisa yang digunakan. Dia mendapatkan pandangan adik-beradik mencari resipi sesuai untuk tepung dan enam perisa iaitu jagung berkrim, keju, tomato, barbeku, bawang putih dan lada hitam.

Setelah membuat pilihan perisa, kentang yang sudah dibersihkan dimasukkan ke dalam mesin pemutar. Setelah siap, sebatang lidi besar akan dicucuk pada kentang dan ditarik sepanjang 30 sentimeter. Untuk menyedapkan rasa, kentang digoreng menggunakan tepung khas dan disalut perisa mengikut pilihan pelanggan.

"Ramai pelanggan menggemari perisa yang kami hasilkan kerana rasanya lain daripada lain serta memikat selera. Namun, untuk menghasilkannya kami terpaksa mencuba berkali-kali bagi mendapatkan rasa yang enak serta beraroma seperti sekarang," katanya.

Menurut Marini, selepas mendapatkan resipi tepung dan perisa mereka bergabung tenaga menghasilkan konsep sesuai untuk perniagaan. Ini kerana dia tidak mahu menjalankan perniagaan sekadar melepas batuk di tangga sebaliknya sehingga ke peringkat nasional.

Lebih penting, perniagaan Marini bukan hanya menguntungkan diri sendiri atau keluarga sebaliknya orang ramai.

"Saya mahu menjalankan perniagaan seperti konsep francais. Semua orang boleh berniaga, namun harus mendapatkan hak cipta daripada Spring Potato. Untuk mendapatkan konsep perniagaan sebegini bukanlah sesuatu yang mudah kerana memerlukan usaha serta kesabaran yang tinggi bagi mendapat kepercayaan ramai," katanya.

Berbekalkan modal RM100,000, Marini memberanikan diri mencuba, tambahan pula dia mendapat sepenuh galakan daripada suami yang dilantik sebagai pengurus pemasaran. Selepas membuat penyelidikan, Marini membeli mesin pemutar kentang dari Korea serta membuka rangkaian perniagaan kepada orang ramai.

"Bagi yang berminat menjalankan perniagaan ini, mereka akan dibekalkan dapur untuk menggoreng, kereta tolak, mesin pemutar kentang, pakaian seragam, topi dan apron serta gerai bersama perisa dan tepung untuk menggoreng. Ini bagi memastikan keaslian rasa kentang tetap terpelihara walau di mana pelanggan mendapatkannya," katanya.

Marini satu-satunya pengedar sah di Malaysia yang menjual mesin pemutar kentang, malah mendapat sijil ISO. Ini bagi mengelak orang ramai tidak terkeliru sekiranya ada peniaga menggunakan nama yang sama dengan Spring Potato dan mengaku menjadi pengedar mesin pemutar sah di Malaysia.

Anak ketiga daripada lapan beradik ini sejak kecil mempunyai minat dalam perniagaan. Malah, dia bersama adik yang lain tidak pernah malu menjual burger, air tin dan jambu di gerai tepi jalan.

"Keseronokan berniaga memang sudah ada sejak kecil. Tambah pula ayah terkenal sebagai penjual serunding di kawasan Gombak. Jadi saya sudah terbiasa mengikut ayah berniaga.

"Kakak pula membuka butik pengantin di Gombak. Jadi semua adik-beradik saya menceburi perniagaan. Walaupun suatu ketika dulu saya pernah bekerja sebagai perunding kewangan di sebuah syarikat kewangan, saya berhenti kerja disebabkan ingin mencari kepuasan dalam perniagaan," kata Marini yang memiliki ijazah dalam bidang kewangan matematik.

Kini gerai Spring Potato dibuka di Ampang Park, Kuala Lumpur dan mempunyai wakil jualan di semua negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Harga berbeza antara kentang yang dijual di pasar raya dan pasar malam.

Untuk pasar raya satu kentang berharga RM3 untuk ukuran kecil manakala besar dijual RM4 yang diletakkan berasingan bersama sos cili dan mayonis. Harga pasar malam pula RM2.50 disalut sos cili.

Di gerai Ampang Park, dia turut menjual minuman ais kisar berperisa strawberi, durian belanda, mangga, kopi dan capucino yang dihasilkan mengikut resipi sendiri. Mereka yang inginkan maklumat lanjut, kunjungi laman sesawang http://potatoboom.blogspot.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: